Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Habuan RM20,000 lapor maklumat jenayah alam sekitar

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran RM20,000 kepada pelapor kegiatan jenayah alam sekitar di Selangor sehingga menjurus kepada penangkapan dan pendakwaan.

Dato’ Menteri Besar berkata penglibatan orang awam penting dalam membantu Kerajaan Selangor memelihara sumber air sekali gus menggugat kegiatan jenayah tidak beretika.

“Maklumat berterusan dan berguna diperlukan supaya mereka yang tidak bertanggungjawab ini dapat diberkas dan didakwa sehingga disabitkan kesalahan di mahkamah,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Dato’ Seri Amirudin Shari semasa pelancaran program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang turut dirangka bagi meminimumkan kesan pencemaran sungai terhadap warga Selangor.

Pada 9 November, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Belanjawan Selangor 2021 menyediakan peruntukan khas bagi menangani isu pencemaran termasuk meluaskan penggunaan teknologi antaranya dron.

Mengikut belanjawan tersebut, Skuad Pantas akan membuat pemantauan 24 jam di lokasi sumber air, manakala bilangan stesen telemetri kualiti air sebagai sistem amaran awal di hulu muka sauk
ditambah.

Pengepaman air mentah dari kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas) dibuat jika berlaku gangguan bekalan.

Usaha tersebut diyakini mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas di loji rawatan air, seterusnya mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Boost tambah ganjaran ePenjana kempen #KasiTambah

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: E-dompet tempatan, Boost, melancarkan kempen #KasiTambah bersempena dengan inisiatif ePENJANA, yang mempunyai manfaat dan ganjaran khas menarik serta meluas yang melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

Menurut syarikat itu, bagi menuntut kredit RM50 ePENJANA dengan Boost, pengguna perlu melakukan proses pengesahan akaun eKYC (Know Your Customer) serta memuat turun dan menjadi pengguna berdaftar di MySejahteraApp.

“Sepanjang empat bulan lepas, rakyat Malaysia telah menjalani gaya hidup digital yang mana penggunaan e-dompet telah menjadi tabiat pembayaran mereka setiap hari. Kami percaya insentif RM50 ePENJANA akan menggalakkan lagi penggunaan meluas e-dompet dalam kalangan rakyat Malaysia” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah.

E-dompet tempatan itu juga berharap apat memainkan peranan dalam usaha padu untuk membina semula ekonomi Malaysia dan perniagaan tempatan serta merancakkan semula mata pencarian rakyat Malaysia agar lebih kukuh dalam situasi normal baharu ini, katanya.

Insentif RM50 e-PENJANA bermula secara rasmi semalam dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan di bawah RM100,000 berdasarkan kepada rekod terkini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menjadi pengguna berdaftar MySejahtera App.

Kempen Boost’s #KasiTambah menawarkan faedah dan ganjaran menarik termasuk peluang membawa pulang kereta Perodua Myvi atau motosikal Yamaha bagi melengkapkan kredit RM50 ePENJANA yang diberikan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganjaran RM10,000 individu tampil maklumat kes kucing dibakar

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai insiden membakar kucing supaya tampil membantu siasatan.

Menurut persatuan itu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini bahawa ia mendapat maklumat tidak lengkap dengan ada yang mengatakan kejadian berlaku di Pahang namun butiran tidak disertakan untuk siasatan seterusnya.

“Malaysia Animal Association menaikkan tawaran ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk mana-mana individu atau kumpulan yang boleh mengesahkan aksi bakar anak kucing dengan mencurah minyak lalu mencucuh api menggunakan pemetik api”.

Persatuan itu turut merayu agar maklumat lengkap dengan laporan polis dapat diambil sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membakar anak kucing itu hidup-hidup sekiranya benar kejadian dan pelaku berada di Malaysia.

Terdahulu, persatuan tersebut memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya.

Orang ramai digesa untuk memberikan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-20901097.

-BERNAMA