Categories
EXCO SELANGOR

EXCO sokong henti jual ‘Ghost Smoke’

SHAH ALAM, 24 JULAI: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyambut baik usaha kerajaan yang mahu menghentikan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’.

Beliau juga meminta ibu bapa supaya memantau perkembangan anak masing-masing supaya gejala berkenaan dapat dibendung.

“Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tiada yang terbabit.

“Macam-macam sekarang ni. Selain jam digital boleh bertukar menjadi vape, gula-gula yang disedut dan boleh dihembus menjadi asap pula semakin menjadi-jadi.

“Apa yang dimaklumkan serendah RM1. Duit yang diberi untuk makan, beralih pula untuk beli gula-gula seperti ini. Ibu bapa pantaulah anak-anak,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

Akhbar baru-baru ini melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Isu itu mendapat reaksi banyak pihak, termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang mahu tindakan proaktif diambil segera untuk menangani isu berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika ‘ghost smoke’ ada nikotin

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ sekiranya bahan nikotin ditemukan dalam kandungan produk itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang dan aktiviti penjualan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

“Kementerian telah memulakan kajian serta penelitian melalui sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti kesan memakan gula-gula ‘Ghost Smoke’ kepada kesihatan kanak-kanak dan hasil kajian itu akan diambil serius pihak kami.

“Sekiranya gula-gula ‘Ghost Smoke’ ini ada kandungan nikotin, kementerian boleh terus keluarkannya daripada pasaran dan mereka yang menjual itu juga boleh diambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula itu yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Menurut Dr Lee, sekiranya pelabelan gula-gula itu menepati piawaian dan tiada bahan terlarang ditemukan, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan dan pengedarannya dalam pasaran.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam boleh mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing sekiranya penjualan gula-gula itu didapati tidak mematuhi peruntukan dalam penjualan dan pengedaran.

“Kami semua masih mengkaji sama ada pelabelan dan kandungan yang dipamerkan adalah selamat ataupun sama seperti yang terkandung dalam gula-gula itu.

“Di Kementerian Kesihatan, kami cenderung untuk melarang produk ini di pasaran kerana ia mempunyai unsur galakan kanak-kanak untuk terlibat dalam tabiat merokok apabila dewasa kelak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gerak operasi pantau penjualan ‘ghost smoke’-MBM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengesyorkan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggerakkan operasi pemantauan dalam memastikan penjualan gula-gula ‘ghost smoke’ dihentikan serta-merta.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, pihaknya bimbang melihat gejala ‘ghost smoke’ berpotensi menjadi wabak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Katanya, kebimbangan itu berasas kerana MBM amat khuatir ia mampu mendorong kanak-kanak terus terjerumus dalam gejala sosial yang lebih besar.

“Bermula dengan gula-gula, berubah angin kepada rokok dan tidak mustahil kepada gam dan dadah. Tambah membimbangkan, pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ‘ghost smoke’ mudah didapati dan murah harganya.

“Pelajar sekolah boleh mendapatkannya di gerai jualan makanan ringan atau jajan di persekitaran luar sekolah atau membelinya di portal jualan dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, katanya, kadar perokok dalam kalangan pelajar sekolah mencatatkan jumlah yang tinggi, iaitu 68,321 pelajar pada tahun lalu.

“MBM tidak mahu melihat jumlah ini terus meningkat pada tahun mendatang ekoran terdedahnya mereka kepada wabak ‘ghost smoke’ ini,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula berkenaan dihentikan segera selain meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

Categories
BERITA UTAMA

TPM mahu penjualan ‘Ghost Smoke’ dihenti segera

PUTRAJAYA, 22 JUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa yang sama meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ‘Ghost Smoke’ selepas majlis Siri Wacana Sri Satria di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

“Dulu smoking (merokok), kemudian dadah dan syabu,” katanya.

Pada majlis Wacana Ilmu Sri Satria hari ini, Ketua Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Roslina Othman menyampaikan syarahan bertajuk ‘Model Ansar dan Muhajirin Dalam Pengurusan Pelarian’.

Wacana itu merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri untuk mengimarahkan Sri Satria, yang merupakan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, sebagai pusat perkembangan ilmu.

Seorang tokoh akan menyampaikan syarahan sebulan sekali bagi berkongsi ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara. – BERNAMA