Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika ‘ghost smoke’ ada nikotin

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ sekiranya bahan nikotin ditemukan dalam kandungan produk itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang dan aktiviti penjualan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

“Kementerian telah memulakan kajian serta penelitian melalui sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti kesan memakan gula-gula ‘Ghost Smoke’ kepada kesihatan kanak-kanak dan hasil kajian itu akan diambil serius pihak kami.

“Sekiranya gula-gula ‘Ghost Smoke’ ini ada kandungan nikotin, kementerian boleh terus keluarkannya daripada pasaran dan mereka yang menjual itu juga boleh diambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula itu yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Menurut Dr Lee, sekiranya pelabelan gula-gula itu menepati piawaian dan tiada bahan terlarang ditemukan, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan dan pengedarannya dalam pasaran.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam boleh mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing sekiranya penjualan gula-gula itu didapati tidak mematuhi peruntukan dalam penjualan dan pengedaran.

“Kami semua masih mengkaji sama ada pelabelan dan kandungan yang dipamerkan adalah selamat ataupun sama seperti yang terkandung dalam gula-gula itu.

“Di Kementerian Kesihatan, kami cenderung untuk melarang produk ini di pasaran kerana ia mempunyai unsur galakan kanak-kanak untuk terlibat dalam tabiat merokok apabila dewasa kelak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu air minuman tercemar dalam siasatan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Siasatan sedang dijalankan ke atas air minuman dalam botol dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia yang dilarang masuk ke Singapura kerana didapati mengandungi bakteria.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, lebih banyak maklumat diperlukan untuk melakukan siasatan dan kementerian mendapati pengeluar berkenaan turut mempunyai beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan.

“Kami perlukan lebih banyak maklumat mengenai produk berkenaan, kelompok mana yang terjejas dan punca masalah. Jika produk yang dijual di pasaran tempatan terjejas, kami akan memanggil balik produk berkenaan, “ katanya dalam satu sidang akhbar di majlis makan malam Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran dan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Awal hari ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata import kesemua air minuman dan air mineral dalam botol daripada pengeluar itu tidak dibenarkan, dengan serta merta selepas ia mengesan Pseudomonas aeruginosa, sejenis bakteria yang selalunya ditemui pada najis, tanah, air dan kumbahan buat kali kedua.

Lee berkata jika didapati bersalah, tindakan wajar akan dikenakan ke atas pengeluar terbabit mengikut Akta Makanan 1983.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan sedang bekerja sama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menggalakkan semua industri berkaitan untuk menggunakan sistem jejak dan kesan bagi memastikan produk makanan adalah suci dan selamat.

“Dengan sistem jejak dan kesan, kami boleh memastikan proses pengagihan produk makanan, daripada pembungkusan ke logistik sehingga penghantaran adalah selamat.

Daripada sistem itu, sekiranya ada masalah tentang kebersihan berlaku, kami perlu memanggil balik untuk melihat di mana produk itu telah pergi dan pasaran atau cawangan mana dan dari sana kami boleh mengesan puncanya,” kata beliau.

Beliau berkata sistem jejak dan kesan juga penting untuk perniagaan eksport makanan yang mana negara lain menerima makanan dari Malaysia, selain sebagai satu garis panduan bagi memastikan produk yang dikeluarkan adalah selamat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan tegas terhadap pengamal perubatan warga asing

IPOH, 25 MEI: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengamal perubatan warga asing yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan mengusahakan klinik atau farmasi secara haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, di bawah Akta Jualan Dadah 1952, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Walaupun mendaftar (di negara asal), mereka sepatutnya mempunyai sijil pengamalan tahunan bagi membolehkan mereka menjalankan khidmat perubatan (di Malaysia).

“Jika mereka tidak mendaftar, tiada sijil pengamalan tahunan dan memberi perkhidmatan perubatan, mereka boleh didenda atas kesalahan itu.

“Selain itu, apabila mereka memberi ubat yang bukan dikeluarkan doktor, bukan oleh farmasi, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sukan tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gunung Rapat, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris (The Star) berkenaan beberapa klinik dan farmasi yang diusahakan warga Bangladesh secara haram di Jalan Silang, Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut bahawa premis itu diawasi ‘doktor’ dari Bangladesh dan menjual ubat-ubatan yang diseludup dari negara Asia Selatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tiada kuasa larang merokok dalam kenderaan persendirian

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan merokok di dalam kenderaan persendirian, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kenderaan persendirian adalah ruang peribadi seseorang dan ia tidak boleh diganggu.

“Merokok dalam kereta itu kawasan persendirian, kita tidak boleh ganggulah melainkan kalau perokok (merokok) dalam kenderaan awam kerana ia berada di bawah peraturan sedia ada dan ia memang kawasan larangan merokok.

“Kalau ibu bapa yang memandu dan dalam kereta ada kanak-kanak sepatutnya (mereka) tidak merokok. Mereka (ibu bapa) patut jaga anak supaya tidak merokok. Kalau dia pandu seorang, itu hak dia untuk dia merokok atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menanam Pokok ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengerusi LFM Datuk Dr Zainudin Md Zain.

Dr Lee mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim semalam berhubung cadangannya agar kerajaan mempertimbangkan kempen kesedaran bagi menghalang perbuatan merokok di dalam kenderaan kerana mereka yang melakukan perjalanan dalam satu kumpulan terdedah secara langsung kepada asap rokok basi jika seorang daripada mereka merokok di dalam kenderaan itu.

Katanya, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Sementara itu, Dr Lee berkata sebanyak 22,767 notis amaran telah dikeluarkan kepada premis makanan dan restoran yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dari 1 Jan hingga 24 Feb di seluruh negara.

Katanya, setakat ini belum ada saman dikeluarkan namun Julai ini kementeriannya akan mula mengeluarkan saman ke atas premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pulangkan ubat darah tinggi guna bahan terlarang

IPOH, 30 MAC: Pengguna yang memiliki dan masih menyimpan ubat darah tinggi dikesan mengandungi bahan aktif losartan diminta tidak panik, sebaliknya memulangkannya kepada pembekal, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata pembekal tidak boleh menjual ubat tersebut selepas Kementerian Kesihatan menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan tersebut bermula 7 Mac lepas.

“Ubat tersebut untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan karsinogernik, tetapi tidak ada kesan untuk jangka masa pendek. Pengguna yang sudah makan jangan panik, cuma pulangkan ubat tersebut kepada pembekal supaya boleh dapatkan gantian ubat tersebut untuk jenama lain.

“Sepatutnya, kalau ikut rekod tidak ada lagi ubat tersebut dalam simpanan dan mereka (pembekal) yang ada simpan stok lama memang kita sudah tarik balik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Perak di Meru di sini hari ini.

Tujuh produk yang digantung ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg); LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg) dan Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg).

Turut digantung adalah produk Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg); TOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide); Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan produk berkenaan sudah dikeluarkan daripada pasaran Malaysia kerana dikesan mengandungi losartan dengan sumber bahan aktif keluaran Hetero Labs Limited, India, yang digantung status pendaftaran di Malaysia bermula 7 Mac 2019.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan serta bekerjasama dengan agensi yang berkenaan di luar negara mengenai ubat yang dipasarkan di negara ini.

“Kita berkongsi maklumat dengan semua bahagian farmasi di negara-negara lain dan sekiranya ada sebarang ubat yang ada masalah kita akan berkongsi maklumat supaya tindakan setimpal boleh diambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata kementerian itu mengenal pasti lebih tiga juta golongan berumur 50 tahun dan ke atas layak menerima Skim Peduli Kesihatan B40 (PekaB40) yang akan dilancarkan bulan depan.

“Bagi peringkat awal kita memperuntukan RM100 juta untuk 800,000 peserta. Sekiranya sambutan baik kita akan menambah peruntukan untuk menampung keperluan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan bagi kumpulan isi rumah B40 yang akan memberi tumpuan terhadap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan kanser.

“Kita harap sekiranya (peserta) layak untuk mendaftar (PekaB40), guna kesempatan ini untuk melakukan saringan kesihatan di klinik berdaftar secara percuma,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Adib: Guna platform betul salur maklumat

IPOH, 24 MAC: Mana-mana petugas perubatan perlu menggunakan saluran yang betul dan tidak menyebarkan sebarang maklumat menerusi media sosial berkaitan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana sebarang maklumat berkaitan kes Muhammad Adib akan digunakan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Apabila mereka (petugas perubatan) menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan maklumat, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak benar seterusnya akan menganggu siasatan kes tersebut.

“Gunakan platform yang betul dengan tampil sebagai saksi pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib supaya maklumat yang diperolehi itu boleh dikenal pasti sama ada mempunyai kesahihan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega Hapuskan Denggi Di Taman Rapat Setia Baru di sini, hari ini.

Lee berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang jururawat yang tular di media sosial kononnya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat kenyataan tidak tepat pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner.

Jumaat lepas, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada (toraks) bukan seperti biasa dialami seseorang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen balas di laman sosial media Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).

Bagaimanapun, jururawat terbabit membuat permohonan maaf semalam dan membetulkan kenyataannya serta berharap pihak yang menularkan dakwaannya agar memadamkan kenyataan tersebut.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penghidap kanser dinasihat tidak percaya rawatan tanpa bukti keberkesanan

IPOH, 17 FEB: Individu yang dikesan menghidap kanser dinasihat tidak percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya individu terbabit perlu mendapatkan pemeriksaan untuk mengetahui tanda-tanda awal penyakit kanser kerana kebanyakan penyakit itu boleh diubati di peringkat awal.

“Kita perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kledang Hill Challange bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Anggota Kesihatan Kinta dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Batu Gajah itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui bersukan.

Boon Chye yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata, kesedaran rakyat Malaysia mengenai penyakit kanser masih ditahap rendah berbanding negara maju lain,

Katanya, kebanyakan pesakit di negara ini hanya menyedarinya apabila ia sudah di peringkat terakhir.

“Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan kanser secara percuma seperti mamogram dan pap smear di hampir kesemua klinik kesihatan untuk mengesan kanser di peringkat awal,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kurang penggunaan gula dalam minuman

BATU GAJAH, 13 JAN: Syarikat pengeluar minuman di negara ini diminta mengurangkan kandungan gula berbanding menggunakan gula alternatif dalam setiap produk minuman dihasilkan, menjelang pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula, mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, hal itu kerana penggunaan gula alternatif bagi menggantikan gula sebenar akan meningkatkan kos sesuatu produk.

“Ini akan menjadi satu isu (kenaikan kos) dalam kalangan syarikat pengeluar minuman kerana kita mahu mereka mengurangkan kadar gula dalam produk minuman (paket atau tin).

“Tidak bermakna minuman itu tidak mengandungi gula jika kadar penggunaan gula dikurangkan, cuma rasa minuman itu akan jadi lain sedikit berbanding jika menggunakan gula dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah serta Kempen Anti Merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang turut dihadiri anggota parlimennya, V. Sivakumar, di sini hari ini.

Pada 2 November 2018s, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Katanya, ia membabitkan minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

*Sumber: BERNAMA