Categories
NASIONAL

Pemimpin PKR desak henti paksa murid beli ‘Dimensi 108’

dimensiSHAH ALAM, 30 OGOS – PKR hari ini menggesa Kementerian Pelajaran supaya menghentikan segera penjualan makanan tambahan, Dimensi 108 yang dipaksa ke atas murid untuk membelinya.

“Tidak boleh diterima apabila ada guru besar yang menyalah guna kedudukan mereka untuk memasarkan produk ini kepada pelajar sekolah.

“Aduan diterima dari ibu bapa pelajar SK Taman Segar, Cheras. Guru besar didakwa mewajibkan murid membeli. Kes sama berlaku di SRK Bukit Kemuning 2, Kota Kemuning melibatkan penolong kanan sekolah pula,” kata pemimpin PKR.

Ia dinyatakan menerusi kenyataan media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, hari ini.

Mereka turut meminta kementerian membentang kajian terperinci keberkesanan produk ‘projek rintis’ di Mersing dan Kota Tinggi, Johor jika benar ia mampu meningkatkan prestasi murid.

Dimensi 108 kononnya mampu mengubah tingkah laku dan keupayaan minda pelajar untuk lebih cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

Pemimpin PKR juga mendedahkan bukti menunjukkan pemegang saham syarikat produk itu, Glomind Enterprise Sdn Bhd ialah kakitangan Kementerian Pendidikan.

“Ahmad Abdul Rahman menerusi laman sosial facebooknya mengesahkan beliau bekerja di Kementerian Pelajaran. Ia jelas melanggar peraturan kontrak pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan konflik berkepentingan.

“Cara pemasaran melalui sekolah dan menggunakan logo Menteri Kesihatan juga tidak beretika dan mungkin menyalahi undang-undang.

“Kami menyeru kementerian untuk siasat perkara ini. Ibu bapa diminta tampil untuk bersama membuat aduan kepada kementerian,” kata kenyataan itu.

– FZL