Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Wanita rancang hamil perlu lengkapkan suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Wanita yang merancang kehamilan digesa untuk membuat persiapan awal dengan melengkapkan diri dengan suntikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu, bagi mengurangkan risiko dan kesan jangkitan virus berkenaan.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid berkata ia amat penting sebagai langkah perlindungan memandangkan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 lebih berisiko untuk mengalami jangkitan serius yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi, berbanding wanita yang tidak mengandung.

“Buat masa ini saya menggalakkan semua wanita yang dalam proses mendapatkan bayi, sama ada menerusi rawatan IUI (permanian beradas), IVF (persenyawaan in-vitro atau bayi tabung uji), lengkapkan dulu dua dos (vaksin), ini adalah yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Bagi ibu hamil pula, Dr Habibah berkata pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga.

Beliau menjelaskan orang ramai tidak perlu takut untuk mengambil vaksin kerana ia telah terbukti selamat untuk mereka dan kandungan.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lepas, berbanding sifar kematian ibu hamil direkodkan pada 2020 akibat komplikasi wabak itu.

Sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, manakala peratus ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat daripada tiga peratus pada 10 Julai lepas kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos baru-baru ini.

Sementara itu menerusi program Koresponden BERNAMA terbitan Bernama Tv hari ini, Dr Ismail Yusoff yang bertugas di sebuah klinik swasta di Selangor berkata ibu hamil yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah disarankan berhubung dengan doktor yang boleh memeriksa secara konsultasi dalam talian (teleconsultation) bagi memudahkan pemantauan berkala.

Beliau berkata mereka juga perlu memastikan beberapa parameter seperti seperti suhu badan, kadar pernafasan, tahap oksigen serta denyutan nadi berada dalam keadaan normal serta melaporkan segera kepada doktor jika berlaku kecemasan.

“Satu lagi ibu mengandung pastikan ubat di rumah mencukupi seperti asid folik dan yang ada sakit kronik pastikan ada ubat sebab kalau dah dijangkiti tak boleh keluar rumah (kalau kuarantin kendiri),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita Orang Asli hamil antara penerima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sarat mengandung bukan halangan bagi beberapa wanita masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Rual di Jeli, Kelantan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Malah seorang ibu yang hamil enam bulan Saripah Meraju, 46, berpendapat, vaksin adalah antara ikhtiar untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit tersebut.

“Alhamdulillah. Saya memang sudah lama menunggu giliran untuk divaksin dan selepas dapat suntikan pertama ini memang saya berasa sangat gembira,” kata ibu kepada lapan anak itu.

Saripah menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer-BioNTech melalui program ‘outreach’ vaksinasi anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, serta beberapa agensi lain di Dewan Serbaguna Orang Asli, Sungai Rual.

Che Mas Rosli, 27, yang menanti kelahiran anak kedua pula berkata, pada awalnya dia berasa agak bimbang untuk divaksinasi, namun menjadi lebih yakin selepas mendengar nasihat serta penjelasan daripada pegawai kesihatan.

“Sejujurnya, pada awal saya takut juga nak ambil, tetapi ramai (pegawai kesihatan) beritahu bahawa ia tidak akan membahayakan saya dan kandungan, maka saya menjadi lebih yakin untuk mengambil suntikan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jeli Dr Amirul Azman Abu Hassan berkata, lebih 40 wanita Orang Asli yang mengandung telah menerima suntikan vaksin Pfizer menerusi program berkenaan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Rual telah dikenal pasti akan menerima vaksin Covid-19, melalui program ‘outreach’ vaksinasi atau program khidmat masyarakat, yang dilaksanakan secara berperingkat.

Di Kampar Perak, seorang bekas guru yang merupakan Orang Asli suku Semai, Apa Bengal, 72, berkata, beliau akan menjadikan dirinya contoh kepada masyarakatnya agar tidak gerun menerima suntikan vaksin, selain menangkis dakwaan berita palsu keburukan vaksin.

Beliau yang menerima dos pertama Pfizer hari ini berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli di Pos Dipang dan Kampung Sahom, belum menerima suntikan vaksin, malah ada yang belum mendaftar sebagai penerima.

Apa yang dihantar oleh anaknya kira-kira lima kilometer dari Pos Dipang untuk hadir ke program pertama ‘outreach’ di Kampar juga berharap, semua ketua-ketua kampung serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi lebih perhatian terhadap peranan mereka, memberi nasihat kepada masyarakat Orang Asli.

“Jangan bagi borang sahaja suruh isi, tetapi tidak menjelaskan apa yang perlu dilakukan dan apa itu kebaikan vaksin, sebab Orang Asli ini kebanyakkannya hanya akan tengok borang dan tidak faham apa yang perlu dilakukan,” jelasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita hamil, susukan anak disaran tangguh ambil vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Wanita mengandung serta yang menyusukan anak disaran untuk menangguhkan pengambilan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi mengelak sebarang kesan sampingan yang mungkin wujud.

Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Niazlin Mohd Taib berkata ini kerana buat masa ini belum ada bukti klinikal untuk menyokong penggunaan vaksin itu dalam kalangan golongan berkenaan.

“Ibu mengandung tidak boleh mengambil vaksin yang menggunakan ‘live virus’ dan kalau ikutkan vaksin Pfizer-BioNTech ini tidak menggunakan ‘live virus’, tetapi ia menggunakan messenger ribonucleic acid (mRNA).

“Jadi sepatutnya tidak menjadi masalah untuk ibu mengandung dan yang menyusu bayi untuk mengambil vaksin tersebut memandangkan ia adalah mRNA.

“Namun, kerana tidak ada data lagi termasuklah daripada Pfizer sendiri, maka kalau boleh tunggu dahulu,” katanya dalam program Koresponden yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV hari ini.

Mengenai alahan yang mungkin wujud pada mereka yang menerima suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata orang ramai tidak usah khuatir jika tidak mempunyai apa-apa alahan terhadap kandungan di dalam vaksin tersebut.

Beliau berkata vaksin Pfizer-BioNTech, selain mRNA sebagai kandungan aktif utama, ia juga mempunyai pelbagai bahan kimia yang tidak aktif termasuklah polyethylene glycol (PEG) yang berkemungkinan menyebabkan alahan.

“PEG sebenarnya diguna pakai dalam kehidupan seharian seperti dalam pengawet makanan dan minuman serta kadang-kadang ada dalam krim untuk kulit.

“Apa yang penting, kita sendiri tahu apakah alahan-alahan kita terhadap makanan ataupun ubat-ubatan, dan maklumkan kepada pegawai kesihatan ketika hendak mendapatkan suntikan vaksin tersebut,” katanya.

Niazlin berkata bagaimanapun mereka yang mempunyai alahan tetap boleh mengambil suntikan tersebut dengan langkah berjaga-jaga, malah akan ada pekerja bahagian kecemasan bersedia untuk bertindak dengan segera sekiranya berlaku alahan.

Pada masa sama, katanya, mereka yang pernah mendapat alahan teruk terhadap vaksin sebelum ini tidak digalakkan untuk mengambil suntikan tersebut, malah mereka yang mempunyai imuniti yang sangat rendah termasuklah melalui kimoterapi, dikecualikan daripada mengambil vaksin berkenaan.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Petugas barisan hadapan kongsi pengalaman hamil ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 6 JAN: “Disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata” menjadi impian kebanyakan wanita yang sudah bergelar isteri dan sudah tentunya sang suami turut berdebar menanti hari kelahiran bayi mereka.

Namun bagi Dr Yap Choon Fong, 30, yang berasal dari Taiping, Perak, perasaannya bercampur baur antara gembira dan risau apabila beliau disahkan mengandung pada April lalu, iaitu enam bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Apatah tidaknya, mengandung ketika pandemik Covid-19 sedang melanda di negara ini bukannya sesuatu perkara yang mudah, ditambah pula ketika itu beliau baru sahaja ditugaskan di Unit Covid-19, di sebuah klinik kesihatan di Bukit Mertajam.

Beliau sudah berkhidmat di klinik tersebut sejak 2017.

Tugas Dr Yap adalah untuk mengambil sampel ujian saringan Covid-19 setiap hari, membuatkan bakal ibu itu sentiasa terdedah kepada risiko dijangkiti.

Keadaan ini turut merisaukan anggota keluarga dan rakan-rakannya.

“Dari awal kehamilan hingga ke minggu ke-24, saya diberi tanggungjawab untuk menganggotai Unit Covid-19 bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pesakit bawah siasatan (PUI), sama ada yang datang ke klinik ataupun kami pergi ke kawasan terjejas mengikut jadual.

“Ketika itu, apabila anggota keluarga dan rakan mendapat tahu saya hamil, mereka risau dan menasihati supaya memohon untuk bertukar ke unit lain, namun saya tidak berbuat demikian kerana kekangan petugas kesihatan di klinik.

“Saya sedar sebagai petugas barisan hadapan, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Perasaan paranoid perlu ditepis dan terus berkhidmat dan sama-sama memerangi wabak Covid-19,” katanya kepada Bernama, menerusi wawancara di Facebook baru-baru ini.

Tidak sedar dirinya mengandung

Sepanjuang tempoh kehamilan sehingga kandungannya berusia 24 minggu, Dr Yap ditugaskan di Unit Covid-19 untuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Antara kawasan yang kami kunjungi dan bertugas termasuk Depot Tahanan Imigresen Juru, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, penjara, serta kawasan perumahan yang dikenakan PKPD.

“Setiap hari, kami bertanggungjawab untuk mengambil kira-kira 200 sampel bagi setiap stesen sama ada daripada Pendatang Tanpa Izin (PATI), penduduk PKPD, pelancong serta warganegara yang tiba di tanah air di lapangan terbang,” katanya.

Menurut Dr Yap, memandangkan mereka semua berpakaian lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas, rakan-rakan setugas dan pesakit tidak tahu beliau mengandung, sehinggalah ketika habis bertugas dan PPE ditanggalkan, ada jururawat perasan keadaan perutnya yang besar.

Selepas kandungan berusia 24 minggu, beliau ditugaskan secara bergilir-gilir antara Unit Covid-19, Klinik Demam dan klinik harian biasa sehinggalah sehari sebelum bersalin pada hujung Oktober lalu.

“Walaupun sudah bertugas di klinik harian biasa, namun kadangkala disebabkan kekangan kakitangan , saya perlu juga turun padang untuk mengambil ujian saringan Covid-19 daripada pesakit di khemah Klinik Demam dengan berpakaian PPE lengkap.

“Meskipun saya sarat mengandung, tiada pengecualian untuk tidak menunaikan tanggungjawab sebagai doktor perubatan. Ini khidmat bakti saya kepada masyarakat,” katanya.

Bagi Dr Yap, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau dan rakan sepasukannya di Unit Covid-19 untuk melakukan sanitasi serta membersihkan diri terlebih dahulu sebelum dan selepas bertugas.

“Sebagai seorang doktor yang sedang hamil, sudah pasti saya perlu bertanggungjawab memastikan saya mematuhi semua aspek SOP, selain membersihkan diri sekurang-kurangnya empat kali iaitu sebaik sahaja menanggalkan sut PPE.

“Kami sentiasa menganggap diri kami sebagai kontak rapat kerana setiap hari kami terdedah kepada pesakit yang datang mengambil ujian saringan Covid-19 dan ada antara mereka yang kes positif,” katanya.

Bercakap mengenai PPE, beliau berkata ianya sudah tentu amat mencabar terutama apabia cuaca panas dan ada kala terpaksa menempuh hujan lebat.

Namun sokongan dan semangat positif yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan menghilangkan rasa tekanannya ketika menjalankan tugas.

“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan kerja berbilang kaum yang ‘sporting’ dan sangat membantu, kadang kala terhibur juga kerana mereka pandai bergurau, dapat menghilangkan tekanan ketika bertugas,” katanya.

Kontak rapat pesakit Covid-19 ketika bersalin

Menyifatkan perjalanan untuk bergelar ibu sebagai sangat mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Yap berkata pengalamannya bersalin di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang merupakan antara yang sukar dilupakan.

“Saya masih ingat tiga hari sebelum bersalin, saya mengalami sakit kontraksi secara berterusan dan saya ingatkan ia hanyalah ‘Braxton Hicks’ (kontraksi tanpa sakit), maka saya masih lagi terus bertugas di klinik.

“Namun pada hari ketiga, perut saya berasa sakit sehingga tidak dapat memandu ke klinik. Ketika itu saya baru sedar akan tanda-tanda hendak bersalin dan suami saya segera membawa saya ke hospital swasta,” katanya.

Walaupun Dr Yap selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Oktober lalu, namun pada hari ketiga selepas bersalin, beliau menerima panggilan daripada doktor O&G (Ahli Obstetrik dan Pakar Sakit Puan) bagi memaklumkan sesuatu yang amat memeranjatkan.

“Proses bersalin saya sangatlah lancar sehinggalah saya diberitahu oleh doktor O&G pada hari ketiga selepas bersalin bahawa doktor bius yang bertanggungjawab memberi saya ‘epidural’ disahkan positif Covid-19.

“Ketika itu saya masih dalam proses berpantang dan mempelajari untuk menyusu bayi. Saya terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 selama tiga kali dalam sebulan dan dua minggu berkuarantin. Syukur selepas dua minggu keputusan ujian saya negatif,” katanya sambil menambah, pengalaman terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 menjadikan beliau lebih faham dengan perasaan yang ditanggung oleh PUI.

Bagi ibu berpantang ketika kuarantin, ia sesuatu yang sangat mencabar dan tidak mudah kerana Dr Yap terpaksa menguruskan diri dan bayinya tanpa mendapat bantuan daripada suami dan anggota keluarganya.

“Bayangkan ibu berpantang biasanya ada suami ataupun anggota keluarga untuk membantu, namun keadaan saya sangat berbeza kerana tidak boleh ada kontak dengan sesiapa pun ketika kuarantin.

“Pada masa yang sama berpantang, segalanya perlu dilakukan sendirian. Namun saya bersyukur kerana mereka sangat memahami dan memberi sokongan moral kepada saya menerusi panggilan video,” katanya.

Tanggungjawab sebagai ibu ketika PKPB sangat mencabar kerana Dr Yap dan suaminya tidak mahu mengambil perkhidmatan pengasuh serta penjaga ketika sedang berpantang. Mereka berdua mempelajari petua serta panduan menguruskan bayi serta berpantang menerusi Youtube di samping mendapatkan tunjuk ajar anggota keluarga menerusi panggilan video.

“Anggota keluarga saya khususnya ibu dan kakak sulung saya banyak memberikan sokongan dan sentiasa memberi nasihat kepada saya untuk menjaga kesihatan ketika berpantang menerusi panggilan video.

“Walaupun kadang-kala kami berdua berasa letih namun sangat puas,” katanya.

Risiko petugas barisan hadapan

Memandangkan risiko tinggi untuk para petugas barisan hadapan, mereka perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berbeza dengan keadaan sebelum wabak Covid-19.

“Jujur saya katakan kami semua mempunyai rasa takut dan risau, tambahan pula tugas kami di Unit Covid-19 sentiasa terdedah dengan sebarang kemungkinan.

“Jika dahulu semua pesakit boleh datang ke klinik untuk terus berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan, namun kini perlu ikut SOP yang ketat. Bagi mereka yang bergejala perlulah segera menjalani saringan Covid-19 sebelum dapat menerima rawatan,” katanya.

Menurut Dr Yap, petugas barisan hadapan juga perlu sentiasa bersikap positif dan optimis dalam memerangi Covid-19 kerana kini semakin ramai petugas kesihatan yang dijangkiti wabak itu.

“Ramai petugas kesihatan yang dijangkiti itu akibat sikap tidak jujur pesakit terhadap gejala mereka, sejarah perjalanan dan kontak rapat.

“Kami perlu sentiasa tabah, walaupun kadang-kala sangat letih dari segi fizikal dan mental, namun apatah daya demi tugas dan tanggungjawab, kami haruslah sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan orang awam untuk sama-sama memerangi pandemik ini.

“Nasihat kami kepada orang awam, sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri selain memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika berada di tempat awam, selain bersikap jujur terhadap gejala, sejarah perjalanan dan kontak rapat ketika mendapatkan rawatan di hospital dan klinik,” katanya.