Categories
SELANGOR

‘Kami benar-benar tinggalkan Al-Arqam, usah ragui taubat kami’

alarqam 01 copyOleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 9 NOV : Pengerusi Eksekutif, Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam berharap masyarakat tidak meragui taubat yang dilafazkan beliau bersama bekas pengikut Al-Arqam.

Hatijah berkata, ikrar taubat yang dilafazkannya bersama kira-kira 400 pengikut ajaran yang diasaskan Ashaari Muhammad itu lahir daripada kesedaran mereka terhadap kesilapan lalu.

alarqam 02 copyKatanya, dana anak yatim yang sebelum ini didakwa diselewengkan beliau juga kini dalam proses untuk dikembalikan semula kepada penerima sebenar.

“Dana anak yatim itu dalam proses untuk dikembalikan semula mana yang termampu,” katanya pada sidang media Majlis Istitabah Pengikut Al-Arqam, di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Ketika menjawab satu soalan, Hatijah berkata, kini tidak ada individu yang masih ‘ditahan’ beliau seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

alarqam 03 copyHatijah turut mempelawa pihak yang berminat untuk melihat sendiri perubahan cara hidup dan tempat ibadah bekas pengikut Al-Arqam di Bandar Country Homes Rawang.

Dalam majlis taubat itu, Hajijah melafazkan persiytiharan taubat di hadapan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin; Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Profesor Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Hussein.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi; kami hari ini bertaubat dan menyesal dengan sebenar taubat dan kami begitu hina dan menyesal dengan perbuatan lalu kami.

“Kami berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan kami dan selayaknya (wajib) atas kami untuk tidak akan memberi sebarang ruang walau sebesar zarah kepada tempias dan sisa fahaman juga pegangan untuk berdetik serta berlegar di hati kami, apatah lagi kepada insan sesama Islam yang lain,” katanya. -NFN-

Global Ikhwan mohon maaf, isytihar patuhi Majlis Fatwa

fatwa

RAWANG, 16 OKT: Selepas 45 tahun penubuhan Al-Arqam, syarikat serpihan ajaran itu, Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISB) hari ini mengakui ajaran Aurad Muhamadiah yang yang diamalkan ahli kumpulan itu sebelum ini terpesong dari ajaran Islam sebenar.

Menurut Pengerusi Eksekutif GISB, Hatijah Aam, beliau mula menyedari kesalahan itu selepas berdoa di hadapan Kaabah memohon agar diberi pentujuk dan mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Maka pada hari ini hari pertama Tasyrik di Raya Haji 1434 Hijrah bersamaan 16 Oktober 2013, saya Hatijah Binti Aam mengisytiharkan di depan Tuan Pengarah JAIS bahawa kami GISB menerima fatwa dengan sepenuh hati.

“Kami akan patuhi fatwa dan kembali kepada Kerajaan Malaysia khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), JAIS dan Majlis Fatwa,” kata isteri pengasas Al-Arqam di Malaysia, Ashaari Muhammad itu di Majlis Pelupusan Bahan Dilarang Fatwa di Bandar Country Homes pagi tadi.

Justeru itu pihak beliau memohon maaf kepada pihak berkuasa khususnya, JAIS, Majlis Fatwa, Jakim dan semua semua penganut agama Islam di negara ini.

Turut mengikuti pengakuan Hajijah itu, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin, Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dan kira-kira 200 kakitangan GISB yang majoritinya bekas pengikut Al-Arqam.

“Jika ada di kalangan GISB yang engkar dengan perkara ini, kami isytiharkan di sini bahawa mereka bukan lagi pekerja Syarikat GISB Holding ini, samada di Malaysia atau pun di luar negara,” kata Hajijah lagi.

Sementara itu, Marzuki ketika merasmikan majlis itu berkata, pengakuan Hajijah itu merupakan satu pengakuan jujur dan ikhlas.

“Biarpun dalam masa sama banyak pihak lain di luar sana yang menganggap ini sebagai lakonan, kami di JAIS amat yakin dengan kejujuran dan keikhlasan (pengakuan ini), saya diyakinkan oleh beberapa orang pegawai saya,” kata Marzuki.

Dalam majlis itu, Marzuki turut melakukan acara simbolik melupuskan lebih 20 tajuk bahan bercetak yang dilarang Fatwa dengan membakar buku-buku, majalah dan risalah terbitan Al-Arqam.

Antara buku tersebut, Buah Fikiran Ustaz Ashaari Muhammad siri 2, Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya, Surat-surat Kepada Perdana Menteri (jawapan kepada tuduhan-tuduhan), Aurad Muhamadiah – Pegangan Darul Arqam dan lain-lain.

Sebelum ini Hajijah yang sudah menetap di Jeddah selama tiga tahun ditahan 45 hari oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas kesalahan melakukan perbuatan bidaah (mengamalkan Islam yang terpesong) dan menduduki negara itu melebihi tempoh.

Beliau yang dihantar pulang ke negara ini pada 13 Mei 2013 kemudiannya menjalani proses soal siasat pihak berkuasa JAIS.

Marzuki berkata dalam sidang media di majlis sama memberitahu, kertas siasatan yang disiapkan JAIS sudah dihantar ke Mahkamah Syariah untuk tindakan pendakwaan.