Categories
SELANGOR

300 pelajar cemerlang gagal ke IPTA dibantu ke UNISEL

Oleh: NAEM RAFFI

PETALING JAYA, 25 OGOS : Kerajaan Selangor tampil membantu hampir 300 pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat ke Institut Pengajian Tinggi Awam melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Selangor (UNISEL).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketetapan itu diambil bagi menyelamatkan pelajar terlibat dari terus menjadi mangsa kelemahan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Selangor menjemput semua pelajar terlibat atau mana-mana pelajar yang masih gagal menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UNISEL.

“Walaupun ekonomi negara hari ini gawat, tetapi pendidikan adalah soal penting yang harus ditangani dengan baik kerana ia adalah pelaburan terbaik kepada sesebuah negara,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

20150824210542Laman web ‘Higher Education Complaint and Appeal Portal’ (HEAP) hari ini mendedahkan menerima aduan daripada 290 pelajar cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.0 gagal mendapat tawaran dan kursus pilihan di IPTA.

HEAP juga berjaya mengesan isu kelayakan dan pemilihan songsang yang terkait dalam sistem Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

Berdasarkan rekodnya, pelajar dengan PNGK 1.92 mendapat tawaran ke IPTA sedangkan terdapat lebih 95 pelajar dengan PNGK 3.0 ke atas tidak pula menerima nasib sama.

Nik Nazmi berkata UNISEL menubuhkan pasukan khas berperanan meneliti setiap kes pelajar terlibat bagi membantu mereka melanjutkan pengajian di universiti itu sekiranya ada kekosongan.

“Butiran daripada HEAP ini akan disemak dan UNISEL akan padankan keputusan pelajar dengan jurusan yang layak dan bersesuai buat mereka.

“Mereka juga boleh memohon terus kerana UNISEL ada pengambilan pelajar baru Oktober ini dan ia masih terbuka sekirannya jurusan yang ditawarkan di universiti itu diminati dan bersesuai dengan mereka,” katanya.

HEAP dilancarkan PKR pada 15 Ogos lalu bertujuan membantu pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA dan juga pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus yang dipilih mereka.

Kes-kes tersebut akan dinilai oleh ahli-ahli panel HEAP sebelum dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

Ia terbuka kepada semua pelajar lepasan STPM/setaraf yang ingin mengadu kepada Ahli-ahli Parlimen PKR.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat tidak patut lepas tangan pendidikan kepada IPTS

SHAH ALAM 16 SEPT: Kerajaan Pusat tidak patut melepaskan tangan daripada tanggungjawab mendidik rakyat Malaysia kepada IPTS.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata PKR bimbang dasar kerajaan yang giat membenarkan penubuhan IPTS akan mengakibatkan “commercialization of Higher Education.

Ikuti kenyataan media penuh Pengerusi Jawatankuasa HEAP KEADILAN berkenaan perkara itu:

Tambahan tawaran IPTA oleh Kementerian Pendidikan membuktikan Tekanan Rakyat mencapai kejayaan.

Mengikut laporan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail telah mengumumkan penambahan pengambilan pelajar seramai 5,328 ke IPTA untuk sesi 2014/2015, sekaligus meningkatkan jumlah pengambilan 42,795 orang pelajar ke IPTA.
Langkah Terdesak

Penambahan terkini seramai 5,328 pelajar atau 25% pelajar yang merayu ke IPTA/UPU membuktikan bahawa Kementerian telah gagal menawarkan tempat yang mencukupi pada bulan Ogos.

Hanya seramai 37,467 pelajar layak atau 55.5% yang ditawarkan tempat pada bulan Ogos.
Kami percaya penambahan mendadak ini adalah langkah terdesak “desperate attempt” akibat kemarahan ramai pelajar dan ibu bapa mereka.

Walau bagaimanapun, Parti Keadilan melihat perkembangan terbaru ini secara positif, dan kami berasa bangga kerana hasil tekanan pihak Parti KEADILAN, Pakatan Rakyat, media dan rakyat jelata telah berjaya membuahkan hasil.

Parti KEADILAN telah melancarkan laman web HEAP di heap.keadilanrakyat.org pada bulan Ogos dan mendapat sambutan hangat akibat ramai pelajar gagal mendapat tempat ke IPTA atau mendapat kursus yang amat mengecewakan.

Sepanjang 10 hari pembukaan laman web HEAP, kami telah mendapat aduan daripada 254 pelajar dari pelbagai kaum dan agama, terutamanya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
Sistem UPU yang perlu rombakan semula

Hakikat bahawa krisis kemasukan pelajar IPTA berlaku setiap tahun sejak 20 tahun yang lalu membuktikan bahawa Kelemahan yang ketara berlaku pada Kementerian Pendidikan. Mengikut database HEAP, kami boleh merumuskan bahawa terdapat 2 senario kelemahan sistem UPU:

1. Pelajar Cemerlang dapat kursus luar pilihan & luar biasa.

2. Pelajar yang cemerlang tetapi gagal mendapat tawaran walaupun pelajar yang lebih lemah dapat tawaran.

Parti Keadilan telah membuat analisis yang mendalam dan akan membuat pertemuan dengan pegawai kementerian untuk mencadang penyelesaian yang konstruktif.
Pengambilan sesi 2014/2015 hanya 63.5%

universitiKetiga, kami merasa kecewa kerana jumlah pelajar yang layak untuk sesi 2014/2015 adalah seramai 67,388 pelajar, penambahan 5,328 pelajar yang terbaru hanya meningkatkan kemasukan pelajar ke 42,795.

Maka pengambilan pelajar untuk sesi 2014/2015 hanyalah pada kadar 63.5%. Pada sesi 2013/2014 yang lepas kadar pengambilan adalah 71.9%. Ini bermaksud, IPTA masih mengurangkan pengambilan sebanyak 8.4% berbanding tahun lepas.

Mengikut statistik World Bank, jumlah rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi hanya pada 36% sahaja.

Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan Korea Selatan 89%, Thailand 41%.

Kementerian Pelajaran harus menjawab kenapa pengambilan pelajar IPTA telah merosot 8.4%, satu angka yang amat membimbangkan.

Adakah MOE menghadapi masalah kewangan dan ingin meringankan bebanan menampung pelajar?

Adakah Universiti tempatan telah menukar fokus, dengan mementingkan kemasukan pelajar asing?

Atau dasar kerajaan ingin memupuk perkembangan IPTS dengan mengurangkan kadar kemasukan pelajar berkelayakan? Ini persoalan yang harus dijawab dengan jelas oleh Kementerian.

Parti KEADILAN mendesak kerajaan jangan melepaskan tangan daripada tanggungjawab mendidik rakyat Malaysia kepada IPTS.

Parti Keadilan berpendapat agak bimbang dasar kerajaan yang giat membenarkan penubuhan IPTS akan mengakibatkan “commercialization of Higher Education.

Pada tahun 2014, ahli-ahli Parlimen meluluskan bajet tertinggi sebanyak 21% atau 54.6 billion ringgit kepada Kementerian Pendidikan berbanding 2013 hanya RM38.7 bil.

Peningkatan bajet sebanyak RM15.9 bil atau 41% y-o-y ini agak mendadak dan harus dipakai oleh Kementerian Pendidikan demi melaksanakan tanggungjawab mendidik rakyat Malaysia.

 

Categories
NASIONAL

HEAP: 191 pelajar cemerlang gagal masuk IPTA, kerajaan perlu bertindak

OLEH: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 OGOS : Sebanyak 191 aduan masalah kegagalan kemasukan pelajar cemerlang ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diterima Jawatankuasa Higher Education Complaint and Advisory Panel (HEAP) melalui laman webnya.

Pengerusi HEAP, Sim Tze Tzin berkata, pengurangan pengambilan pelajar merupakan faktor masalah utama mengakibatkan 54 kes pelajar cemerlang tidak mendapat kursus pilihan dan 52 kes gagal mendapat sebarang tawaran pengajian.

universitiBeliau berkata, pengurangan ini dikatakan bertujuan mengurangkan beban tanggungan kewangan kerajaan pusat sekaligus memindahkan beban tanggungan kepada ibu bapa.

“Hanya 55 peratus sahaja tawaran diberikan kepada pelajar yang layak tahun ini, berbanding 72% tawaran yang ditawarkan pada tahun lepas.

“Dasar ini akan menyebabkan mobilisasi sosial tergugat, yang miskin akan tetap miskin kerana keluarga yang sederhana tidak mampu membiayai yuran IPTS.

“Akhirnya pelajar ini dibebankan dengan hutang berat walaupun belum bekerja,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, kerajaan pusat perlu mengembalikan kadar pengambilan pelajar ke tahap pada 72 peratus.

Dalam pada itu, HEAP juga akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pengajian Tinggi bagi menyelesaikan perkara ini.

Katanya kesemua 191 nama itu akan diserahkan kepada jabatan untuk tindakan lanjut.

EZY

Categories
NASIONAL

Laman sesawang HEAP bantu pelajar kemasukan IPTA

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 OGOS: Setiap tahun masalah sama berulang apabila terdapat ramai pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf yang berkelayakan gagal mendapat tempat ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata masalah itu membuktikan UPU Kementerian Pendidikan gagal menjalankan proses pemilihan ke IPTA secara cekap dan telus.

universitiBeliau berkata, Parti Keadilan Rakyat berpegang kepada prinsip ‘Keadilan untuk Semua’ dalam soal pendidikan.

“Manifesto Pakatan Rakyat dalam PRU13 menjanjikan peluang pendidikan tinggi kepada semua yang layak dan pendidikan percuma.

“Maka, kami menubuhkan satu pasukan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR muda yang disertai oleh sekumpulan anak muda untuk memantau proses kemasukan ke IPTA.

“Semua pelajar yang tidak puas hati dengan sistem UPU digalakkan menghantarkan aduan kepada kami dan akan meneliti semua kes,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Sim Tze TzinKatanya, Ahli Parlimen dan ADUN PKR muda sudah menyediakan laman sesawang ‘Higher Education Complaint and Appeal Portal’ (HEAP) bagi membantu pelajar yang ingin membuat sebarang aduan.

“Sejurus selepas menerima aduan, kami akan mengumpulkan data yang diterima untuk dianalisis. Harus diingatkan juga, pelajar wajib merayu kepada UPU sebelum 22 Ogos ini melalui laman sesawang UPU http://upu.moe.gov.my/web/pendaratan.php.

“Rayuan kepada HEAP adalah kaedah tambahan sahaja bagi membantu permohonan pelajar yang ditolak,” katanya.

-NFN-