Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perkeso: Lebih 27,000 hilang kerja di Selangor dari Januari hingga Oktober

SHAH ALAM, 20 NOV: Seramai 27,234 individu hilang pekerjaan sepanjang Januari hingga Oktober lalu, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor.

Pengarahnya, Mustafa Draman berkata jumlah itu berdasarkan data permohonan Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang membantu mereka yang terlibat mendapat pekerjaan semula serta bayaran tunai sementara.

“Permohonan SIP meningkat mulai Mac dan Jun mencatatkan permohonan tertinggi iaitu 18,579. Faktor penularan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan antara punca ramai hilang sumber pendapatan.

“Bagaimanapun bermula Julai, trend kembali menurun secara berterusan hingga bulan lalu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mustafa berkata program anjuran kerajaan seperti inisiatif kewangan kepada majikan yang mengambil pekerja membantu mengurangkan bilangan permohonan SIP.

“Majikan mula mengambil pekerja sekali gus membuka industri serta perusahaan. Ini menjamin peluang pekerjaan.

“Perkeso Selangor turut memberi sokongan terhadap sebarang program anjuran Kerajaan Negeri sebagai langkah membantu individu hilang kerja,” katanya.

Susulan krisis Covid-19, Selangor melancarkan beberapa inisiatif antaranya peruntukan RM100.7 juta untuk sektor pendigitalan yang mencipta peluang pekerjaan baharu serta menjaga pekerjaan sedia ada.

Kerajaan Negeri turut mengadakan pelbagai program bagi menjana pendapatan rakyat. Antaranya e-dapur, e-bazar raya, e-bazar Selangor 11.11 selain Program Jelajah Selangor Bekerja 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 60,000 pekerja diberhentikan sejak awal tahun ini

TAPAH, 25 JULAI: Seramai 64,495 pekerja daripada pelbagai sektor di seluruh negara kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata statistik yang dikeluarkan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kadar 55,000 orang diberhentikan kerja yang telah diberikan pelbagai agensi pekerjaan.

Justeru, Saravanan berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) bermula 15 Jun lepas bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

“Sehingga 23 Julai lalu, seramai 16,198 majikan telah membuat pendaftaran menerusi insentif ini dan daripada jumlah itu, 2,240 majikan telah membuat pengambilan pekerja dan seramai 6,928 pekerja telah diambil bekerja.

“Dalam masa yang sama kita mengumumkan kita tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini, dan pada masa yang sama saya bersetuju dengan pendapat majikan untuk mengambil semula pekerja atau apabila ada sektor yang ditutup, pekerja dari sektor tertentu akan berpindah ke sektor yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival dan Pelancaran Inisiatif PenjanaKerjaya Perkeso di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Jeffry Joakim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Sumber Manusia Berhad Datuk Nelson Renganathan dan Pengarah Perkeso Perak Anthony Arul Dass.

-BERNAMA