Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perkeso gesa rebut lebih 50,000 peluang kerja di Selangor

SHAH ALAM, 9 SEPT: Lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan di seluruh negeri ketika ini, kata pengarah Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Selangor.

Zainol Abu berkata permintaan tertinggi membabitkan industri pembuatan sebanyak 20.5 peratus diikuti pengangkutan (15.3 peratus) manakala perhotelan dan pelancongan (12.7 peratus).

“Peluang kerja di negeri ini paling tinggi memandangkan pembangunan negara berpusat di Selangor selain menjadi pilihan penduduk.

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu

“Jadi pada individu yang mencari pekerjaan boleh mendaftar di MYFutureJobs. Rebut peluang ditawarkan untuk sumber pendapatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Zainol berkata seramai 16,290 individu hilang kerja atas pelbagai faktor termasuk kesan pandemik Covid-19 antara Januari hingga Ogos tahun ini.

“Januari lalu lebih 3,000 pekerja hilang sumber pendapatan. Jumlah menurun hingga Mei namun meningkat semula pada Jun melebihi 2,000,” katanya.

Kelmarin, menteri sumber manusia berkata sejumlah 40,680 kes hilang pekerjaan direkodkan dalam negara setakat Ogos lalu dengan purata 5,811 kes setiap bulan.

Datuk Seri M Saravanan menjelaskan Perkeso memantau rapat trend tersebut dengan memastikan mereka yang tidak lagi dapat bekerja atas pelbagai alasan diberi perlindungan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua lagi wakil rakyat negeri sertai Sahabat Perkeso Prihatin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Dua lagi wakil rakyat negeri menyertai Sahabat Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Prihatin bagi memudahkan urusan pencarum menuntut manfaat.

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu berkata pemimpin tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar dan ADN Kuala Selangor Juwairiya Zulkifli.

Beliau menjelaskan penglibatan ramai wakil rakyat mempercepat urusan membuat tuntutan berikutan masyarakat sering hadir ke pusat khidmat untuk meminta bantuan.

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu

“Sejak kerjasama dua wakil rakyat iaitu ADN Kota Damansara Shatiri Mansor dan ADN Batu Tiga Rodziah Ismail, sebanyak enam kes berjaya diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.

Zainol turut berharap lebih ramai ADN terlibat dalam program itu berikutan hampir 80 peratus penduduk Selangor bekerja dan terdedah risiko kehilangan nyawa.

“ADN yang berminat akan diberi taklimat dan hanya perlu memuat naik aplikasi Sahabat Perkeso Prihatin serta menyalur maklumat penduduk bermasalah termasuk membabitkan kematian,” katanya.

Kerjasama Perkeso dan wakil rakyat negeri ini memudahkan urusan membantu pencarum berikutan ada yang tidak tahu kaedah mendapat pampasan jika berlaku kejadian tidak diingini.

Pada 29 Ogos, Zainol berkata Perkeso membayar lebih RM3 juta pampasan kepada pekerja di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 atau waris mereka bagi kes melibatkan kematian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga ribu peserta RiDE layak terima manfaat Perkeso

SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 3,000 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima perlindungan keselamatan dan beberapa manfaat lain sejak program itu dilancarkan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor berkata peserta turut diberikan tambahan setahun perlindungan melalui program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Manfaat lain meliputi faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan dan pengurusan mayat,” kata Pengarahnya Mustafa Draman ketika dihubungi.

“Turut diberikan faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional serta elaun layanan sentiasa.”

Menurutnya, caruman pekerja dalam ekonomi sampingan itu dibiayai 70 peratus oleh Kerajaan Persekutuan manakala 30 peratus lagi oleh Kerajaan Selangor.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Perkeso sebanyak RM70 setahun.

Antara syarikat terlibat ialah Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec), BungkusIt, Zepto Express, Warong Rider dan Foodpanda.

Mereka yang ingin memohon mestilah berumur antara 17 hingga 30 tahun, pendapatan kurang RM2,000 bagi yang bekerja dan memperoleh lesen bermula Januari tahun lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perkeso: Lebih 27,000 hilang kerja di Selangor dari Januari hingga Oktober

SHAH ALAM, 20 NOV: Seramai 27,234 individu hilang pekerjaan sepanjang Januari hingga Oktober lalu, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor.

Pengarahnya, Mustafa Draman berkata jumlah itu berdasarkan data permohonan Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang membantu mereka yang terlibat mendapat pekerjaan semula serta bayaran tunai sementara.

“Permohonan SIP meningkat mulai Mac dan Jun mencatatkan permohonan tertinggi iaitu 18,579. Faktor penularan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan antara punca ramai hilang sumber pendapatan.

“Bagaimanapun bermula Julai, trend kembali menurun secara berterusan hingga bulan lalu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mustafa berkata program anjuran kerajaan seperti inisiatif kewangan kepada majikan yang mengambil pekerja membantu mengurangkan bilangan permohonan SIP.

“Majikan mula mengambil pekerja sekali gus membuka industri serta perusahaan. Ini menjamin peluang pekerjaan.

“Perkeso Selangor turut memberi sokongan terhadap sebarang program anjuran Kerajaan Negeri sebagai langkah membantu individu hilang kerja,” katanya.

Susulan krisis Covid-19, Selangor melancarkan beberapa inisiatif antaranya peruntukan RM100.7 juta untuk sektor pendigitalan yang mencipta peluang pekerjaan baharu serta menjaga pekerjaan sedia ada.

Kerajaan Negeri turut mengadakan pelbagai program bagi menjana pendapatan rakyat. Antaranya e-dapur, e-bazar raya, e-bazar Selangor 11.11 selain Program Jelajah Selangor Bekerja 2020.

Categories
AGENSI SELANGOR

30 majikan sertai pameran kerjaya Ogos ini

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 30 majikan dalam pelbagai sektor dijangka menyertai pameran kerjaya yang dijadual Ogos ini, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor.

Pengarahnya Mustafa Deraman berkata majikan antaranya meliputi industri peruncitan dan perkilangan yang giat menjalankan perniagaan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kita memiliki data majikan yang mengambil inisiatif menyediakan peluang pekerjaan melalui portal MyFuture Job Vacancies untuk diwar-warkan kepada masyarakat yang hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Mustafa turut menghargai usaha Kerajaan Negeri mengatasi isu tersebut dengan membantu individu terjejas mendapat pekerjaan bersesuaian.

“Hebahan promosi (pameran kerjaya) diteruskan di media sosial bagi memastikan penganjuran kali ini menerima sambutan menggalakkan,” katanya lagi.

Pameran yang berlangsung di Stadium Malawati dan Stadium Shah Alam menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dengan pemohon perlu mengisi borang menerusi laman sesawang Perkeso sebelum dipilih menghadiri program berkenaan.