Categories
AGENDA GLOBAL

Jepun peringati 75 tahun Hiroshima dibom atom

TOKYO, 6 OGOS: Jepun memperingati ulang tahun ke-75 pengeboman atom Hiroshima pada Khamis, dengan datuk bandar mendesak dunia untuk bersatu menentang ancaman terhadap manusia termasuk yang berasal daripada senjata nuklear, lapor agensi berita Xinhua.

Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui berkata negara-negara harus “mengetepikan perbezaan mereka dan bersatu untuk mengatasi ancaman buatan manusia dan cabaran alam.”

“Masyarakat awam mesti menolak nasionalisme yang mementingkan diri dan bersatu menentang semua ancaman,” Matsui berkata pada upacara tahunan di Peace Memorial Park.

Upacara peringatan dikurangkan kerana penularan Covid-19 di Jepun dan keperluan untuk mengekalkan jarak sosial.

Suasana hening seketika apabila semua yang hadir termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe bertafakur pada 8.15 pagi waktu tempatan, iaitu waktu bom atom yang mengandungi uranium “Little Boy” dijatuhkan oleh pengebom AS meletup di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 .

Bom itu mengorbankan sekitar 140,000 orang sehingga akhir tahun 1945.

Walaupun Jepun tidak menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear, Abe dalam ucapannya, berkata negara-negara tidak boleh membiarkan perbezaan pendirian mengenai senjata nuklear semakin meluas.

“Setiap negara harus meningkatkan usaha untuk menghilangkan rasa tidak percaya melalui penglibatan dan dialog bersama di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang teruk dan memperluas perbezaan antara kedudukan negara-negara mengenai perlucutan senjata nuklear,” kata Abe.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, jumlah mangsa yang terselamat daripada dua pengeboman atom termasuk Nagasaki yang dikenali sebagai hibakusha dengan purata usia 83.31 tahun, menurun sebanyak 9,200 dari tahun sebelumnya kepada 136,682 orang.

Sementara Jepun memperingati tragedi yang dialaminya pada akhir Perang Dunia Kedua, sejarawan dan pemikir politik masyarakat antarabangsa telah mendorong Jepun untuk melihat diri mereka bukan hanya sebagai mangsa pengeboman atom tetapi juga sebagai pelaku yang menyebabkan tragedi itu berlaku sejak mula lagi.

Jepun menjajah banyak kawasan di Asia sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua dengan kejam, menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak terkira kepada ratusan ribu mangsa yang tidak bersalah.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ujian nuklear Korea Utara 16 kali ganda ledakan Hiroshima

SEOUL 13 SEPT: Ujian nuklear terbaru Korea Utara kemungkinan menghasilkan letupan 250 kilotan, lebih tinggi berbanding anggaran rasmi, kata kumpulan pemerhati Amerika Syarikat (AS).

Laman web AS, 38 North, yang dikaitkan dengan Universiti Johns Hopkins, berkata ia menaikkan anggaran hasil letupan itu kepada 250 kilotan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ia adalah 16 kali lebih besar berbanding saiz bom 15 kilotan yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

Anggaran kerajaan bagi hasil letupan itu berbeza daripada Korea Selatan iaitu 50 kilotan dan Jepun dengan 160 kilotan.

Kesan North1Pyongyang yang mengadakan ujian nuklear keenam dan terbesar minggu lalu, berkata ia adalah bom hidrogen yang boleh dimuatkan ke dalam peluru berpandu, mencetuskan kecaman antarabangsa dan meningkatkan ketegangan berhubung cita-cita nuklearnya.

Perkhidmatan Geologi AS (USGS) meletakkan ukuran yang menyebabkan gempa bumi itu pada 6.3 dan Pertubuhan Perjanjian larangan Ujian Menyeluruh Nuklear (CTBTO) dan agensi Norway, NORSAR, meletakkan ukuran awal pada 6.1.

Pegawai AS berkata, mereka masih menilai sama ada ia adalah bom-H, juga dikenali sebagai senjata termonuklear, tetapi setakat ini tiada yang tidak konsisten dengan dakwaan Korea Utara ia adalah bom hidrogen.

=EZY=