Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

HOC: Tempoh pengecualian duti setem dilanjutkan enam bulan lagi

PUTRAJAYA, 30 Jun: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan tempoh pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk tempoh enam bulan lagi, bermula 1 Julai sehingga 31 Disember, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya lanjutan tempoh adalah bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual.

HOC telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana insentif pengecualian duti setem dan pemberian diskaun sebanyak 10 peratus dapat mengurangkan kos pemilikan rumah kediaman terutamanya bagi rakyat Malaysia yang belum pernah memiliki rumah,” kata Lim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

HOC telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 dan dilaksanakan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun merupakan kerjasama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

REHDA bersama-sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) telah terlibat sepenuhnya dalam kempen HOC dengan tujuan utama untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah kediaman dengan harga dan kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama menangani isu hartanah yang tidak terjual (supply overhang).

Mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Lim berkata bilangan kediaman yang tidak terjual di Malaysia telah meningkat kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion sehingga suku ke empat 2018.

“Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran. Berbanding dengan suku keempat 2017, ini merupakan peningkatan sebanyak 30.6 peratus dari segi bilangan kediaman yang tidak terjual dan sebanyak 27.0 peratus dari segi nilai kediaman tersebut,” katanya.

Selain insentif untuk HOC, Lim berkata kerajaan juga telah menyediakan insentif untuk pembelian rumah pertama (tanpa mengira pembelian daripada pemaju perumahan atau secondary market), di mana pembeli rumah pertama boleh menuntut pengecualian duti setem.

Bagi harga rumah sehingga RM300,000 mendapat tempoh pengecualian bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari sehingga 31 Disember, 2020 dan harga rumah di antara RM300,001 dan RM500,000 bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Julai sehingga 31 Disember, 2020.

-BERNAMA