Categories
AGENDA NASIONAL

Isi rumah bawah RM5,000 terima bantuan, orang bujang dapat RM100

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500 dan yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, masing-masing layak menerima RM500 dan RM300 di bawah program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi golongan bujang setiap seorang layak menerima RM100 dan pembayaran akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung Jun.

Sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan bagi program BPR kali ini yang diumumkan oleh Muhyiddin dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan malam tadi.

Menurut Muhyiddin, bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran akhir BPR pada September kelak sebanyak RM2.4 bilion.

Bagi golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, mereka diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

Inisiatif ini akan dilaksanakan mulai Jun dan dijangka dapat memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPR: Isi rumah pendapatan bawah RM2,500 lebih dua anak terima RM1,800

SHAH ALAM, 6 NOV: Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 yang mempunyai lebih dua anak akan menerima bantuan RM1,800 melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM6.5 bilion diperuntuk bagi manfaat 8.1 juta penerima.

Kategori penerima lain:

  • Isi rumah pendapatan kurang RM2,500, seorang anak menerima RM1,200.
  • Isi rumah pendapatan RM2,501-RM4,000, seorang anak menerima RM800
  • Isi rumah pendapatan RM2,501-Rm4,000, dua anak atau lebih menerima RM1,200
  • Isi rumah pendapatan RM4,001-RM5,000, seorang anak menerima RM500
  • Isi rumah pendapatan RM4,001-RM5,00, dua anak atau lebih menerima RM750
  • Bujang bawah 21 tahun berpendapatan kurang RM2,500 menerima RM350
Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Isi rumah mampu bertahan kejutan melampau pasaran ekuiti – BNM

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebilangan besar isi rumah mampu bertahan dengan kejutan melampau pasaran ekuiti seperti yang dialami semasa Krisis Kewangan Asia kerana pelaburan dibiayai oleh lebihan rizab tunai dan bukan pinjaman, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata perkembangan ketara pada separuh pertama 2020 adalah peningkatan penyertaan runcit dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan pelabur runcit membeli saham syarikat tersenarai bernilai RM113.1 bilion..

“Pemantauan kami menunjukkan peningkatan penyertaan runcit tidak dibiayai pinjaman.

“Pinjaman yang dikeluarkan dan tertunggak bagi pembelian saham, termasuk pembiayaan margin, masih kekal rendah dan stabil semasa tempoh ini,” kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut bank pusat pinjaman itu terus menyumbang kepada sebahagian kecil jumlah hutang isi rumah (0.5 peratus) dan berian pinjaman bank kepada isi rumah (0.6 peratus).

Tidak ada perubahan ketara dalam profil peminjam isi rumah dengan kemudahan margin saham, kerana kebanyakannya kekal dalam segmen pendapatan tinggi dengan penampan kewangan yang besar.

BNM berkata pandangan anekdot menunjukkan sesetengah isi rumah menggunakan lebihan rizab tunai daripada bantuan dan simpanan untuk melabur dalam ekuiti.

Ini, katanya, boleh meningkatkan risiko kepada isi rumah menerusi impak ke atas kapasiti membayar faedah hutang dan kesan harta sekiranya nilai ekuiti turun dengan ketara apabila isi rumah perlu menyambung semula pembayaran pinjaman mereka.

“Seperti yang dinyatakan di atas, risiko sedemikian dinilai rendah memandangkan pelabur runcit biasanya mempunyai penampan kewangan yang besar,” kata bank pusat.

Jumlah pegangan ekuiti oleh isi rumah sebagai sebahagian daripada Aset Kewangan Cair (LFA) juga sebahagian besarnya kekal tidak berubah.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

49% isi rumah Selangor berpendapatan lebih RM3,000

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kajian yang dijalankan badan kajian bebas, Merdeka Centre menunjukkan 49 peratus responden di Selangor mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 sebulan.

Hal itu berikutan kajian yang menggunakan kaedah pensampelan rawak itu mendapati 28 peratus responden memiliki pendapatan isi rumah melebihi RM5,000 dan 21 peratus lagi berpendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM5,000.

Gaji naikSementara itu, 26 peratus responden lain memiliki pendapatan RM1,501 hingga RM3,000, 13 peratus berpendapatan RM1,500 ke bawah dan 12 peratus lagi tidak tahu atau tiada respon.

Kajian itu juga mendapati 70 peratus penduduk di Selangor mempunyai akses terhadap penggunaan internet berbanding 30 peratus yang tiada akses.

Kajian membabitkan 6,436 penduduk Selangor di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu terbahagi kepada 33 peratus golongan berumur 41 hingga 50 tahun, 23 peratus (31-40) dan 22 peratus (51-60).

Kajian yang dijalankan dari 16 Mei hingga 6 Julai itu turut membabitkan 12 peratus responden berumur 21 hingga 30 tahun dan 10 peratus golongan 60 tahun ke atas.

-NFN-