Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jerman perlu 260,000 pendatang baharu setiap tahun penuhi keperluan tenaga kerja

BERLIN, 13 FEB: Jerman memerlukan sekurang-kurangnya 260,000 pendatang baharu setiap tahun sehingga 2060 bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja yang disebabkan oleh kemerosotan demografi, lapor agensi berita China, Xinhua memetik satu kajian terbitan Yayasan Bertelsmann pada Selasa.

Daripada jumlah itu, kira-kira 146,000 orang akan berhijrah dari negara di luar Kesatuan Eropah, menurut laporan kajian terbabit.

Kajian itu turut mengambil kira potensi penduduk tempatan.

Penyelidik menganggap akan terdapat kadar kelahiran yang lebih tinggi pada masa depan selain lebih ramai golongan wanita dan orang tua dalam pasaran buruh.

Bagaimanapun, keperluan tenaga kerja mahir tidak dapat dipenuhi secara domestik.

Ia juga melihat bagaimana digitalisasi akan menjejaskan keperluan imigrasi.

Pasaran buruh yang semakin didigitalkan memerlukan pekerja yang tidak ramai sebaliknya lebih ramai pekerja mahir dengan kelayakan yang tinggi seperti juruteknik dan ahli akademik.

Jorg Drager, Pengerusi Yayasan Bertelsmann, menyatakan dalam penerbitan kajian itu “Migrasi adalah kunci kejayaan masa depan. Jerman memerlukan pekerja mahir termasuk mereka yang berasal dari wilayah di luar Eropah.”

SUMBER: BERNAMA