Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tekanan kewangan, hutang isi rumah kian meningkat

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Segelintir isi rumah sedang mengalami peningkatan tekanan kewangan walaupun mengamalkan pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana dipaparkan menerusi penyusutan pertumbuhan pinjaman selain sekatan pergerakan dan pertimbangan belian yang rendah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat Jun 2020, hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2019.

“Ini dapat dilihat dalam penyusutan pertumbuhan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020 (masing-masing 7.2 peratus dan -0.9 peratus; 2019 : 8.5 peratus dan -0.4 peratus),” demikian menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan — Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, leveraj atau hutang isi rumah meningkat paling ketara dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan pada separuh pertama 2020, di tengah-tengah prospek ketidaktentuan pendapatan serta ketika penampan mudah tunai untuk peminjam berpendapatan kurang RM3,000 sudah di paras ketara.

BNM berkata, peningkatan leveraj itu kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah pada awal tahun ini dan Jun selepas pelancaran semula Kempen Pemilikan Rumah.

Selain itu, walaupun persekitaran pasaran tenaga kerja dijangka bertambah baik di masa depan, peminjam dengan pelbagai pendapatan dan/atau bekerja dengan sektor yang terjejas, diunjur terus berdepan cabaran.

Bagi peminjam terbabit, bantuan bersasar yang dilanjutkan sehingga suku pertama 2021 dilihat dapat memberi bantuan kewangan sementara.

Selain itu, langkah diperkenalkan kerajaan seperti subsidi upah dan program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran, akan menjadikan aspek penggajian dan prospek pendapatan lebih baik yang dapat menyokong kebolehmampuan membayar hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, BNM menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Dalam kelompok peminjam terbabit, kira-kira satu peratus daripada jumlah peminjam dengan 3.0 peratus hutang isi rumah tertunggak, dijangka terus berdepan kesukaran itu selepas mengambil kira penampan kewangan dan bantuan bayaran balik bersasar yang diberi kepada mereka yang memerlukannya.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka susut sedikit pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium secara automatik walaupun bank-bank berada di kedudukan baik untuk menyerap kerugian peningkatan kredit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gaji pekerja asing, kereta terbang antara isu penting Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Sumber Manusia semasa sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAKATAN-Lumut) dijadual bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 ini akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka melibatkan tujuh kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA