Categories
AGENDA GLOBAL

Hong Kong kutuk keganasan penunjuk perasaan

HONG KONG, 30 SEPT: Kerajaan Hong Kong mengecam perbuatan melanggar undang-undang yang dilakukan penunjuk perasaan dalam demonstrasi semalam, lapor agensi berita Sputnik.

Penunjuk perasaan yang berhimpun di Teluk Causeway, Wan Chai dan Admiralty bertindak ganas selain merosakkan banyak kemudahan awam.

“Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong mengutuk tindakan radikal penunjuk perasaan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Polis akan mengambil tindakan tegas untuk melindungi keselamatan orang awam dan mengembalikan ketenteraman,” menurut kenyataan dikeluarkan semalam.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Hong Kong diancam gelombang bantahan apabila penunjuk perasaan membantah berhubung pindaan undang-undang ekstradisi.

Protes sering kali bertukar menjadi ganas apabila penunjuk perasaan bertembung dengan polis.

Pada September, pindaan rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan kontroversi itu secara rasmi ditarik balik, bagaimanapun bantahan tetap diteruskan menuntut siasatan dijalankan terhadap keganasan yang dilakukan pihak polis ketika menyuraikan penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa menafikan anggota mereka menggunakan kekerasan ketika berdepan penunjuk perasaan.

Beijing menyifatkan masalah yang melanda Hong Kong itu berpunca campur tangan asing dalam urusan pentadbiran wilayah itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

BERSIH 2.0 & SUARAM gesa penarikan undang-undang Ekstradisi Hong Kong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JUN: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk keganasan polis dan menggesa penarikan Rang Undang-Undang Ekstradisi di Hong Kong.

BERSIH 2.0 dan SUARAM dalam kenyataan bersamanya berkata, menerusi laporan media serta dokumentasi video, pihak polis dipercayai menggunakan semburan pemedih mata dan peluru getah sekali gus menyebabkan kecederaan kepada peserta protes termasuk wartawan.

Katanya, Ordinan Undang-Undang Hak Hong Kong dan Undang-Undang Asasi Hong Kong menjamin hak warga negara itu untuk berhimpun secara aman.

“Namun, apa yang dilakukan polis pada 12 Jun lalu bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang tetapi ia adalah satu penyalahgunaan kuasa yang ketara.

“Semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini, ramai rakyat Malaysia mengalami perkara sama; dikasari pihak polis semasa perhimpunan BERSIH dan perhimpunan aman lain. Kami ingin menyatakan rasa simpati dan solidariti bersama jutaan warga Hong Kong yang tekad memperjuangkan hak mereka.

“Kami juga menyeru kerajaan Hong Kong untuk menghormati hak berhimpun secara aman dan mengekalkan ruang kebebasan dan demokratik di Hong Kong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu turut menggesa kerajaan Hong Kong untuk memulakan siasatan bebas keatas pihak polis bagi mempertanggungjawabkan mereka terhadap keganasan yang mereka lakukan.

“Kami juga dengan tegas menggesa kerajaan Hong Kong untuk mendengar suara rakyat dan menarik semula pindaan undang-undang ekstradisi terbabit.

“Pindaan ini akan mengakibatkan ekstradisi orang yang dituduh dengan pertuduhan jenayah di tanah besar China, mereka berisiko untuk diseksa, dianiaya dan melalui perbicaraan yang tidak adil,” katanya.

Pada masa sama, BERSIH 2.0 dan SUARAM optimis Kerajaan Hong Kong harus mendukung kedaulatan undang-undang dan sebarang ekstradisi suspek jenayah mesti melalui penelitian hak asasi manusia seiring dengan piawaian antarabangsa.

 

Categories
GLOBAL

China lancar jambatan terpanjang dunia hubung Hong Kong, Macau

ZHUHAI 23 OKT: Jambatan laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong, Macau dan tanah besar China akan dilancarkan hari ini ketika Beijing berusaha untuk mengetatkan cengkamannya ke atas wilayah semi-autonomi China itu.

Presidennya, Xi Jinping dijangka merasmikan upacara bersejarah itu di bandar utama Zhuhai, pagi ini, tetapi maklumat terperinci mengenai majlis itu masih dirahsiakan.

Jambatan sepanjang 55 kilometer dilengkapi jambatan jalan raya dan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau Lantau ke Zhuhai dan kawasan perjudian Macau, merentasi perairan Pearl River Estuary.

Difahamkan ia adalah projek infrastruktur utama kedua terbesar yang menghubungkan Hong Kong ke tanah besar China yang bakal beroperasi, selepas pembukaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi hujung bulan lalu.

Pengkritik berkata jambatan bernilai berbilion bilion dolar itu adalah satu cara untuk mengintegrasikan Hong Kong kepada China.

Jambatan mega itu akan dibuka kepada kenderaan awam esok, sehari selepas majlis perasmiannya.

Pembinaan yang bermula pada 2009 itu berdepan beberapa masalah seperti kelewatan, perbelanjaan berlebihan, tuduhan rasuah dan kematian pekerja pembinaan.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Zahid Hamidi Didakwa Cuba Kelirukan Isu IPCMC

LOGO POLIS BARU-EDIT

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya memohon maaf kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataannya sebelum ini yang mendakwa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dalam satu sidang media hari ini menyifatkan kenyataan Zahid berhubung penubuhan IPCMC dalam sesi Parlimen baru-baru ini adalah sebagai salah, terpesong dan mengelirukan.

Ini kerana menurutnya, Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang bagi mengawal dan melaksanakan tindakan disiplin ke atas pasukan polis.

“Mengikut Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan: “Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi perjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu.”

“Zahid perlu memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas kenyataan yang dibuat kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada dewan,” katanya kepada pemberita.

Tegasnya, sekiranya Zahid gagal melakukan permohonan maaf seperti yang dituntut, beliau boleh dihadapkan ke Jawatakuasa Parlimen di bawah Peraturan 36 (12) Arahan Ketetapan kerana membuat kenyataan palsu dengan niat untuk mengaibkan.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini enggan menubuhkan badan tersebut.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja mengenai penambahbaikan perkhidmatan Polis. Pembentukkan badan tersebut berdasarkan badan pemantau polis di United Kingdom, Australia dan Hong Kong.