Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: HTAR had pelawat hadir ke wad

SHAH ALAM, 12 MAC: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengehadkan kehadiran pelawat ke wad serta-merta hari ini susulan peningkatan kes Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

HTAR dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Facebooknya memaklumkan, langkah itu dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pesakit, pelawat dan warga kerja hospital berkenaan.

“Selain mengehadkan bilangan pelawat, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun juga dilarang sama sekali melawat ke wad.

“Tempoh lawatan ke wad juga dipendekkan kepada pukul 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang setiap hari bekerja termasuk cuti umum dan hujung minggu,” menurut kenyataan itu.

HTAR turut menjelaskan, sebarang perubahan terhadap penerimaan kehadiran pelawat dan waktu lawatan berkenaan akan dimaklumkan kelak.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Dr Daroyah Santuni Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah

daroyah Hospital Tengku Ampuan Rahimah

KLANG 23 JULAI : Seramai 150 pesakit di wad pembedahan, wanita dan lelaki, Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerima 150 kotak kurma sempena bulan Ramadan ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata sumbangan terbabit merupakan salah satu cara mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

“Sumbangan kurma ini daripada Kerajaan Negeri. Ini salah satu cara saya sebagai exco baru mendekatkan diri dengan masyarakat termasuk pesakit hospital.

“Untuk hari ni kita hanya memberikan di tiga wad sahaja, Insyaallah lain kali kita berikan di semua wad,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma.

Hadir sama Timbalan Pengarah Hospital, Dr Zainab Ramli.

Pada majlis itu juga, antara yang turut menerima sumbangan buah kurma ialah kakitangan hospital di ketiga-tiga wad terbabit.

Selain mengedarkan kurma, Daroyah turut berkesempatan melawat pesakit-pesakit itu.

Dalam lawatan itu, isteri kepada pesakit buah pinggang yang mahu dikenali sebagai Ha bin, 70, terharu dengan kunjungan Daroyah yang juga Adun Sementa.

Ha Bin, yang setia menjaga suaminya, Seau Swee Pin, 70, penghidap penyakit buah pinggang sejak enam tahun lalu, mengalirkan air mata ketika menerima kunjungan.

“Saya rasa sangat terharu sebab sebelum ini tiada sesiapa yang datang menjenguk kami. Terima Kasih YB sudi melawat kami,” katanya sambil menangis.

Selain itu, bagi Asiah Hassan, 67, keprihatinan Kerajaan Negeri patut dipuji kerana sudi melawat pesakit selain menyampaikan sumbangan Ramadan.

Categories
SELANGOR

Jerebu : Kerajaan Negeri Mula Edar Topeng Muka

daroyah

KLANG 22 JULAI : Kerajaan Negeri akan mula mengedarkan topeng muka kepada orang ramai esok sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) berada di tahap tinggi.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak empat ribu topeng muka di setiap DUN.

“Jangka masa pendek ini, kita akan edarkan esok jika IPU berada di tahap tidak sihat.

“Topeng ini lebihan daripada gelombang pertama jerebu bulan lepas. Tetapi ia masih mencukupi buat masa ini. Namun ia akan ditambah berdasarkan keadaan semasa.

“Jika ia berada dalam keadaan mendesak, kita akan terus edarkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.

Sehingga pagi tadi, di Banting mencatatkan IPU 105 manakala Pelabuhan Klang 80.

Menurut kenyataan Meteorologi Malaysia, ia dijangka berlaku untuk tempoh yang singkat ekoran perubahan corak angin bertiup.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Bulan lalu, Malaysia mengalami jerebu yang agak teruk sehingga ada kawasan mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya dan sekolah terpaksa ditutup sementara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat Perlu Bina Lebih Banyak Hospital Di Selangor

Gambar oleh Arif Ramly
SELAYANG, 1 MEI : Seiring dengan pertambahan penduduk, Kerajaan Pusat diminta memberi kepada kerajaan negeri membina lebih banyak hospital di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor adalah salah satu negeri tumpuan di negara ini dengan kehadiran penduduk dari negeri lain dan luar yang bertambah dengan pesat ketika ini.

Berikutan itu, pertambahan pesakit yang ditempatkan di hospital di negeri ini juga mencatatkan pertambahan hingga menyebabkan beberapa hospital mengalami kesesakan.

“Pertambahan penduduk kini pesat di Selangor. Sekarang dah lebih 5.3 juta orang dan pembinaan Hospital Shah Alam pula tergendala. Kita berharap Kementerian Kesihatan dapat bekerjasama dalam perkara ini.

“Kebanyakan hospital di Selangor kini menghadapi masalah pesakit yang ramai. Kita minta sekurang-kurangnya tambahan tiga lagi hospital di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sri Andalas berkata, berdasarkan maklumat diterima, tiada perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi pembinaan hospital di Selangor walaupun kerajaan negeri bekerjasama dengan menyediakan lokasi bagi tujuan itu.

Menurutnya, kelahiran di Selangor adalah tinggi termasuk kehadiran orang luar yang bekerja dan melanjutkan pelajaran.

“Kebanyakan hospital di Selangor kini mencapai tahap maksima dengan pesakit yang ramai. Kalau kita tunggu lagi dan tiada tambahan hospital keadaan akan semakin sukar.  Contoh macam Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang yang kalau dilihat sudah tidak boleh mengambil pesakit lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan beberapa kawasan di negeri itu seperti di Tanjong Karang dan Kuala Langat manakala usaha menaiktaraf hospital seperti di Banting juga boleh dijalankan.

ends