Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: Cuaca panas mulai Mac, sedia tangani kebakaran hutan

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri merangka tatacara operasi piawai (SOP) baharu untuk menangani isu pembakaran khususnya di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang serta Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS).

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata penetapan SOP dibincangkan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 1 Mac sebagai persediaan menghadapi cuaca panas

“Kita jangka akan berdepan dengan cuaca panas menjelang Mac, April, Julai dan Ogos. Oleh demikian, mesyuarat ini diadakan untuk menangani isu yang akan dihadapi nanti.

“Perlu ada persediaan dan kita pastikan telaga tiub dapat membekalkan air untuk digunakan memadam api sekiranya berlaku kebakaran di beberapa lokaliti tertentu,”katanya.

Loy Sian berkata setakat ini pihaknya ada menerima laporan kebakaran di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang namun tidak serius.

Pada 13 Ogos tahun lalu, kerajaan Negeri melalui JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) susulan isu berkaitan di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang.

Loy Sian memaklumkan SOP pencegahan kebakaran tanah gambut bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan turut diperkenalkan dalam menangani pembakaran terbuka.

JAS mengisytiharkan seluruh Selangor, Pahang dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh JAS berkuat kuasa 3 Mac tahun lalu sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian di bawah peruntukan Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Hanya lima peratus kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat belum padam

SHAH ALAM, 7 MAC: Tinggal lima peratus daripada lapan kompartmen kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang terbakar belum dipadamkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor berkata kawasan terbabit ialah kompartmen 17, manakala kompartmen 7, 12, 13, 14, 15, 16 dan 20 sudah padam sepenuhnya, lapor Harian Metro.

“Selain pemadaman secara terus melalui darat dan bantuan pengeboman air dari udara, hujan malam tadi dan pagi ini juga membantu mempercepatkan pemadaman kebakaran di kawasan itu,” kata Norazam Khamis.

Beliau menambah pasukannya turut berdepan cabaran memadamkan kebakaran dari udara hari ini disebabkan cuaca tidak menentu dan angin kencang.

Khamis lalu, Norazam menjangkakan kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir hutan itu dapat dipadamkan sepenuhnya dalam lima hari jika tiada perebakan di kawasan baharu.

Pada 28 Februari, dilaporkan kira-kira 34 hektar kawasan Hutan Simpan kekal Kuala Langat Selatan terbakar berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Maritim guna bom air padam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 4 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengguna pengeboman air bagi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata operasi yang bermula dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang semalam menggunakan 190,000 liter air.

“Sehingga kini, sebanyak 14 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan serta masih berbaki 18 hektar belum dipadamkan sepenuhnya,” kata agensi kepada SelangorKini.

UPBN menjelaskan 12 telaga tiub yang menggunakan air bawah tanah turut diaktifkan di kawasan terbabit.

“Bagi memantau lokasi berkenaan dengan lebih rapi, UPBN juga menggunakan dron untuk pemantauan dari udara.

“Sehingga kini lebih 190 anggota iaitu antaranya UPBN Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat membantu dalam operasi bersepadu pemadaman kebakaran berkenaan,” katanya.

Pada Selasa lalu, dilaporkan kira-kira 34 hektar kawasan hutan simpan kekal terbabit terbakar berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Kebakaran itu mengakibatkan tumbuhan daripada spesies mahang, sendayan serta tanaman kontan milik petani musnah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat dijangka padam sepenuhnya lima hari lagi

KUALA LANGAT, 4 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjangkakan kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, dapat dipadamkan sepenuhnya lima hari lagi.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya berjaya memadamkan 60 peratus kebakaran di kawasan tanah gambut di pinggir hutan simpan tersebut, sejak ia mula merebak hujung bulan lalu.

Menurutnya kawasan kebakaran tersebut melibatkan lapan kompartmen 7,12,13,14,15,16,17 dan 20 seluas 100 ekar.

“Sehingga kini pihak kami telah berjaya memadam kebakaran di kompartmen 13 dan 15. Kompartmen 12 dan 14 juga hampir berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, hari ini.

“Kami jangka dalam tempoh hari lagi, kebakaran akan dapat dipadamkan jika tiada perebakan di kawasan baharu,” katanya.

Norazam berkata sebanyak 135 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi antaranya bomba, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan dalam op khas bermula 28 Feb lepas.

Mengenai program suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata pihaknya menyasarkan sekitar 80 peratus pegawai dan anggotanya divaksin bagi suntikan fasa pertama, yang merangkumi mereka yang bertugas di lapangan dan terdedah dengan ancaman Covid-19.

“Seramai 895 senarai nama pegawai dan anggota fasa pertama telah diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk divaksin. Namun hanya 170 mereka yang sudah ditetapkan tarikh suntikan bagi fasa pertama ini. Mereka akan disuntik secara berperingkat bermula 16 Mac ini sehingga awal April ini,” katanya.

Katanya, ia akan melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor pada 16 Mac, BBP di PKD Petaling (18 Mac); BBP di PKD Klang (pertengahan Mac sehingga awal April); BBP di PKD Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat (awal April).

– BERNAMA