Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

 Dua usaha Selangor: POIS bendung wabak di tempat kerja, Selvax tingkat imuniti penduduk

SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dan Vaksin Selangor (Selvax) yang giat dilaksana ketika ini berjaya mengekang wabak di tempat kerja dan sekali gus memulihkan ekonomi.

“POIS adalah sistem saringan yang tersusun untuk kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster serta perebakan wabak Covid-19,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program yang dimulai pada 19 Januari lalu, lebih awal daripada usaha seumpamanya yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), disertai oleh 1,500 kilang.

“Syarikat berperanan aktif melaksanakan inisiatif saringan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM),” katanya di Facebook.

Selvax, program suntikan 2.5 juta dos yang dibeli Kerajaan Negeri, dibahagi kepada dua, Industri dan Komuniti, bertujuan membantu meningkatkan kadar vaksinasi yang disediakan kerajaan persekutuan.

Amirudin menjelaskan Selvax Komuniti menawarkan vaksin kepada majikan atau syarikat bagi membantu mereka mempercepat kekebalan badan terhadap virus di kalangan para pekerja.

“Majikan akan membeli dos vaksin untuk diberikan kepada pekerja mereka dengan syarat tidak mengenakan kos,” katanya lagi.

Selvax Industri menyediakan dua juta dos vaksin, sementara 500,000 dos Selvax Komuniti pula diagih untuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal patuh SOP, 25 industri pembuatan di Selangor dikompaun

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 25 industri pembuatan dikenakan kompaun RM1,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ekoran gagal mematuhi sebahagian tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata kompaun itu dikeluarkan dalam Op Pematuhan SOP MKN Sektor Pembuatan yang dijalankan jabatan tersebut ke atas 53 industri di negeri ini pada 25 Nov hingga Isnin lepas.

Beliau berkata sebanyak 14 lagi industri pembuatan yang diperiksa juga diarah tutup selama tujuh hari mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mematuhi kebanyakan SOP tersebut.

“Bagaimanapun, 14 industri itu dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan pegawai penguat kuasa mendapati mereka telah mematuhi SOP MKN.

“Sebanyak 14 lagi industri yang diperiksa didapati mematuhi semua SOP MKN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata antara ketidakpatuhan SOP MKN yang dikesan dalam operasi tersebut ialah kegagalan membuat saringan suhu ke atas pekerja dan pelawat setiap hari; tidak menyediakan amalan penjarakan fizikal pada lantai, meja dan kerusi; gagal mengemukakan bukti mengadakan sanitasi tiga kali sehari di kawasan umum serta tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan.

Justeru katanya, pengusaha industri pembuatan di Selangor digesa mematuhi semua SOP MKN secara berterusan dan menyeluruh bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.

Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan ketidakpatuhan SOP MKN dengan menghubungi JKNS di talian 03-51237333 atau melayari laman web http://www.jknselangor.moh.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP penginapan pekerja perlu diambil serius, elak penularan Covid-19

SEPANG, 24 SEPT: Pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) penginapan pekerja yang dikeluarkan oleh kerajaan perlu diambil serius agar keselamatan dan kesihatan masyarakat industri dijaga, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata ini kerana penginapan pekerja juga mempunyai hubung kait dengan isu penularan Covid-19.

“Pekerja yang mendiami penginapan yang disediakan oleh pihak syarikat merupakan salah satu kluster yang berisiko dan menyumbang kepada jangkitan wabak bukan sahaja Covid-19 tetapi penyakit lain seperti denggi, leptospirosis, tuberculosis dan lain-lain,” katanya ketika lawatan kerja ke Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) di sini hari ini.

Lawatan berkenaan adalah bertujuan meninjau pematuhan pengendali lapangan terbang itu terhadap Akta 446 berkaitan penginapan pekerja berkenaan.

Dalam pada itu, Awang berkata beliau berpuashati dengan tahap pematuhan MAHB terhadap Akta 446 itu atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 Pindaan 2019 yang berkuat kuasa 1 Sept lepas.

Akta 446 sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan bagi pekerja di sektor perladangan yang melebihi 20 ekar dan perlombongan sahaja, namun diperluaskan melalui pindaan pada 2019 kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan kepada pekerja.

Penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 itu termasuk peraturan-peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja bertujuan mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia berisiko ditinggalkan negara ASEAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Malaysia bakal tertinggal berbanding negara ASEAN lain jika masih lagi menumpukan industri berpaksikan buruh iaitu amalan perindustrian pada era industri 2.0.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, kegagalan kerajaan menggubal dasar dengan mengambil kira perubahan holistik untuk mengubah industri yang ada selain menyediakan tenaga kerja bersedia mengharungi cabaran revolusi industri 4.0 turut menyebabkan pelabur asing beralih minat kepada negara lain.

ASEAN1“Secara umum, dasar yang ada masih menumpukan industri berpaksikan buruh dan itu adalah industri 2.0. Jika tiada dasar yang lebih efektif ke arah industri 4.0, maka negara akan tertinggal di belakang negara ASEAN lain.

“Setakat ini, belum ada dasar dan pelaksanaan jelas di peringkat pusat, yang ada hanya penekanan terhadap Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan juga perlu memikirkan keseimbangan antara industri dan tenaga kerja berholistik serta berkualiti supaya dasar itu bukan sekadar meningkatkan industri tetapi pada masa sama meminggirkan kepentingan melahirkan manusia yang seimbang dalam semua sudut.

Dr Hamdan berkata, negara juga perlu bersedia untuk melahirkan rakyat, graduan dan anak muda yang bersedia secara inklusif serta holistik bagi berhadapan dengan persaingan industri terutama\ aspek ketahanan, daya analisis, pemikiran kreatif juga fleksibiliti dalam menerima teknologi selain cabaran industri 4.0.

Beliau berkata, institusi pengajian tinggi di negara ini juga perlu segera mengubah struktur korikulum masing-masing bagi menyediakan bakal graduan ke arah revolusi industri 4.0.

Categories
SELANGOR

Zon Perindustrian baru diwujud pacu ekonomi Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 JUN: Selangor bercadang mewujudkan ‘Special Industrial Zone’ (SIZ) sebagai zon perindustrian baru yang lebih ikonik dalam memacu ekonomi ke posisi yang lebih membanggakan.

Justifikasi pembangunan SIZ ini menawarkan zon perindustrian yang lebih selamat, serba lengkap dan terancang.

IndustriSelain berkonsepkan ‘Gated and Guarded’, kewujudannya juga dilengkapi sistem jalan yang baik serta kemudahan berpusat seperti asrama pekerja, kawasan rekreasi dan riadah serta kawasan komersial.

Menerusi cadangan tersebut, SIZ perlu dibina diatas tanah dengan keluasan sekurang-kurangnya seluas 200 ekar.

Ketua Pegawai Eksekutif SSIC, Hassan Azhari Idris berkata bagi mengawal selia SIZ, pihaknya mencadangkan satu Pihak Berkuasa Khas ditubuhkan.

“Dalam keadaan sekarang, kawasan industri diuruskan oleh PBT. Tetapi, konsep yang kita cadangkan ini, peranan PBT itu akan diambil alih syarikat pengurusan yang ditubuhkan oleh pemaju.

“Pihak berkuasa khas ini pula berperanan mentadbir kesemua SIZ yang ada nanti.

“Sebagai contoh, kita mempunyai 10 SIZ yang diurus oleh 10 syarikat pengurusan masing-masing. Maka kesemua itu dibawah kuasa dan pentadbiran Pihak Berkuasa Khas,” jelasnya ketika membentangkan kertas cadangan konsep pembangunan SIZ pada Majlis Dialog Belanjawan 2015 di SACC, semalam.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdangangan Ean Yong Ean Wah.

“Kita cadangankan supaya kadar premium dan cukai taksiran untuk industri di dalam SIZ ini dikurangkan (30-50 peratus) kerana ia diurus syarikat pengurusannya sendiri dan tidak lagi diselenggara oleh PBT.

“Ia sekaligus membolehkan pemaju menawarkan harga lot yang lebih kompetitif kepada pelabur,” jelasnya.