Categories
NASIONAL SELANGOR

Perkahwinan mega untuk 112 pasang pengantin

MB-belia-insentif-perkahwinan-06SHAH ALAM, 2 SEPT : Sekurang-kurangnya 112 pasang pengantin di Selangor akan diraikan secara bersama dalam satu majlis perkahwinan mega hujung tahun ini.

Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pihaknya mensasarkan dua pasang pengantin dari 56 DUN di Selangor untuk menyertai program tersebut.

“Majlis Perkahwinan mega ini akan dilangsungkan pada penghujung tahun ini di Sabak Bernam bersempena dengan penganjuran Selangor Agro Festival (SAF).

“Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri menerusi program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi membantu meringankan pasangan Selangor yang ingin berkahwin menikmati hari bahagia mereka disamping menerima bantuan untuk memulakan kehidupan sebagai suami isteri,”jelasnya.

Selain itu, kos bagi pakaian dan majlis bagi setiap pasangan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Justeru pihaknya meminta pasangan Selangor yang ingin berkahwin mendaftar diri dengan kerajaan negeri untuk melayakkan mereka menikmati Insentif Perkahwinan RM500 dan pendaftaran ke dalam skim Rumah Mampu Milik (RMM).

“Pendaftaran ini membolehkan Kerajaan Negeri mendapat maklumat jelas berhubung jumlah perkahwinan yang akan dilangsungkan di Selangor dan membantu proses pemberian insentif kepada mereka yang layak.

“Daripada data ini juga kita akan salurkan maklumat pasangan yang layak kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menikmati skim Rumah Mampu Milik (RMM),” jelasnya ketika dihubungi Selangorkini.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh berurusan di Pejabat Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tingkat 2 Bangunan SUK, Shah Alam atau menghubungi terus di talian 03-5519 4361 / 5544 7105.

Buat masa kini Kerajaan Negeri masih memberi insentif RM200 kepada pasangan pengantin tetapi jumlah tersebut bakal dinaikkan kepada RM500.

Kenaikan itu dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam pilihanraya umum ke-13 lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Inpens Berjaya Bina Surau Dengan Jimat RM 130,000

surau INPENS solat jemaah 01

KUALA SELANGOR 22 JULAI : Kejayaan Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) menyiapkan surau yang sepatutnya bernilai RM 500,000 kepada RM 370,000 perlu dipuji semua pihak.

Exco Belia Dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi berkata, Inpens menjimatkan kos sebanyak RM 130,000 itu dengan memberikan peluang pelajar kursus Elektrik Dan Kursus Penyaman Udara untuk membuat kerja?kerja pendawaian elektrik dan penyaman udara.

Katanya, dengan cara ini, para pelajar Inpens didedahkan dengan suasana kerja sebenar yang dapat membantu apabila mereka tamat pengajian kelak.

“Inpens menjadi satu wadah kepada anak-anak muda Negeri Selangor untuk memperkayakan diri dengan kemahiran sebelum ke alam pekerjaan.

“Adalah diharap para belia dan beliawanis di Negeri Selangor mempunyai kemahiran yang tinggi bagi mencapai kerjaya masing-masing,” kata beliau.

Dr Yunus berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa Dan Majlis Kesyukuran Pembinaan Surau (As-Salam) Inpens di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan Presiden Inpens, Datuk Dr Md. Mydin Md. Sheriff.

Surau itu yang mampu menampung kira-kira 500 jemaah akan memberikan kemudahan kepada warga Inpens melaksanakan ibadah dan aktiviti keagaamaan dengan selesa.