Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKPP: 522 individu ditahan, majoriti di kelab malam

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Seramai 522 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 342 dikompaun, manakala 180 direman, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan dikesan ialah terlibat dengan aktiviti dalam pub atau kelab malam seramai 363 individu, diikuti 81 orang tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan 36 individu tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu, 17 individu didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“12 individu pula gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, lima didapati menjalankan operasi premis tanpa kebenaran, tujuh tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri dan seorang didapati keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri memaklumkan seramai 180 pendatang asing, lima penyeludup dan seorang tekong ditangkap semalam, manakala lima kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

“Sebanyak 89 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 31,227 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam, dan kesemua mereka ditempatkan di 68 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 8,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan sehingga kini seramai 22,483 individu telah dibenarkan pulang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

253 individu ingkar PKPP, meningkat tiga digit berbanding Sabtu

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Jumlah yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam meningkat kepada 253 orang berbanding 84 pada Sabtu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 219 individu dikompaun manakala 32 pula direman dan dua orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (116), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa (2), dan ceroboh pusat kuarantin (2).

“Selain itu, kesalahan lain ialah aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (70), gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1), serta terlibat dalam aktiviti perjudian (13),” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 64,929 pemeriksaan dibuat bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP di pasar raya, restoran serta penjaja, kilang, bank, pejabat kerajaan selain pemantauan di terminal pengangkutan darat, air serta udara.

Menyentuh mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 63 sekatan jalan raya Op Benteng dijalankan di seluruh negara semalam dan 27,197 kenderaan diperiksa bagi mengekang pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 20,455 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bagi tempoh 24 Julai hingga 30 Ogos dan kesemua mereka ditempatkan di 73 hotel serta empat institut latihan awam.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,917 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 11,482 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri juga berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan 220 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemuanya didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi keperluan barang asas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melakukan 1,264 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 770 rakyat Malaysia pulang dari luar negara diperintah kuarantin

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Seramai 770 individu daripada 771 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan semalam, diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu hanya seorang yang positif Covid-19 dan dibawa ke hospital.

“Bagi tempoh 10 Jun sehingga semalam (4 Julai) juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 11,049 individu di pintu masuk KLIA.

“Daripada jumlah itu, 11,001 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman (home quarantine) masing-masing manakala 48 individu yang positif dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu katanya, polis membuat 803 pemantauan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ‘home quarantine’ dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP.

Mengenai operasi pematuhan PKPP Ismail Sabri berkata, polis menahan 165 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

“Daripada jumlah ini, 14 individu direman manakala 151 lagi dikompaun. Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti pub atau kelab malam (96 kes), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan sosial (2 kes) dan aktiviti yang melanggar SOP (67 kes),” katanya.

Seorang warganegara asing pula ditahan kerana kesalahan imigresen, hasil 70 sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas 47,782 kenderaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan, terutama di lorong-lorong tikus di seluruh negara.

Selain itu beliau memaklumkan sebanyak 19 tapak binaan diarah tutup semalam kerana tidak mematuhi SOP dan 495 tapak binaan lagi diberikan amaran.

-BERNAMA