Categories
SELANGOR

Selangor Mahu Bangunkan Industri Air Bumi

SHAH ALAM 10 JULAI : Kerajaan Negeri sedang mengkaji projek perintis bagi membangunkan sumber air bumi Selangor bagi menyokong industri pembekalan air.

Projek itu dikendalikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama satu jawatankuasa khas dari Jabatan Mineral dan Geosains negeri (JMG) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) .

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A. Xavier Jayakumar berkata kerajaan juga sedang mengkaji kaedah ‘river bank filtration’ serta beberapa cadangan telaga air bumi di Jenderam Hilir, Kampung Sungai Serai dan Bukit Badong.

“Bagaimanapun, pandangan teknikal berkenaan lokasi, kebolehlaksanaan projek, kos dan sebagainya sedang dalam penelitian dan perincian lanjut jawatankuasa khas tersebut,” katanya yang menjawab soalan Saari Sungib (Hulu Kelang-PAS).

Selain itu katanya, LUAS sudah menyediakan Peraturan-Peraturan Ekstraksi Sumber Air negeri yang sedang disemak di Kamar Undang-Undang negeri.

“LUAS juga mengarahkan semua pengekstrak sumber air bumi sedia ada untuk memasang meter bagi memastikan sumber air bumi yang diekstrak tidak melebihi kuantiti yang diluluskan dan ia dilaksanakan secara mampan.

“Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dilaksanakan sekiranya ekstraksi sumber air bumi yang dicadangkan adalah melebihi 4,500 meter padu setiap hari.

?Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar negeri,” jelasnya.

Beliau berkata pembangunan sumber air bumi perlu mengikut garis panduan teknikal seperti yang ditetapkan oleh JMG seperti ujian pengepaman, ujian analisis kualiti air bumi dan sebagainya.