Categories
AGENSI SELANGOR

IWB tekad perkasa kumpulan wanita minoriti

SHAH ALAM, 7 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mahu kumpulan wanita minoriti dimartabat serta diperkasakan menerusi Program Jaringan Muafakat sepanjang tahun ini, kata pengerusinya, Juwairiya Zulkifli.

Katanya, program berkenaan memfokuskan golongan terbabit khususnya di kawasan luar bandar termasuk kaum India di estet, wanita FELDA dan juga Orang Asli.

“Kerajaan Negeri menerusi IWB mahu kumpulan minoriti yang kurang terdedah dengan dunia luar mendapat maklumat sewajarnya dengan diberi pendidikan sivik iaitu antaranya undang-undang gangguan seksual, keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak serta kaedah mengurus kewangan rumah tangga.

 

“Matlamat kami ialah kesemua golongan wanita di negeri ini mendapat ilmu dan peluang sama rata tidak kira mereka menetap di pedalaman mahupun bandar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, sebanyak 69 sesi latihan sudah dilaksanakan menerusi program terbabit dan menerima 601 penyertaan.

Katanya, program terbaharu IWB akan diadakan di Dewan Komuniti Dagang Jaya di Ampang Jaya pada 11 Januari ini bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang.

“Kesemua peserta ini berjaya dihimpunkan menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri dan juga parlimen di setiap kawasan seluruh Selangor,” katanya.

Categories
AGENSI EXCO SELANGOR

Skim mikrokredit ditambah baik, berdaya ibu tunggal

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri akan menjalankan kajian lanjut berhubung tahap dan indeks keberkesanan Program Mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pendekatan itu diambil sebagai penyelesaian kepada kekurangan program berkenaan.

“Inisiatif program mikrokredit dalam membasmi kemiskinan adalah amat dikenali dunia selepas diasaskan Prof Muhammad Yunus menerusi model Bank Grameen bagi mengatasi masalah kemiskinan.

“Banyak cadangan dan saranan untuk ditambahbaik melalui program terbabit, malahan kita bersetuju bahawa ini bukanlah kajian pertama dan kita akan memanjangkan kajian berhubung keperluan ibu tunggal.

“Kita juga akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka secara komprehensif dalam mengeluarkan mereka daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pembentangan Hasil Penyelidikan dan Perbincangan Meja Bulat Program Mikrokredit, di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, pada Jumaat lalu.

Pembentangan di bawah kelolaan Institut Wanita Berdaya (IWB) bersama Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu turut
disertai Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Siti Kamariah Ahmad Subki dan Pengerusi IWB merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Terdahulu, hasil dapatan utama melalui kajian itu menunjukkan majoriti ibu tunggal iaitu kira-kira 69.9 peratus yang mempunyai bilangan isi rumah satu hingga empat orang berjaya meningkatkan purata pendapatan mereka sebanyak 19 peratus selepas menyertai skim terbabit.

Malah, majoriti ibu tunggal menunjukkan kesedaran tinggi untuk memberi pendidikan kepada anak-anak seawal enam tahun.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim mikrokredit Hijrah Selangor pada 2010 di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang antara lain bertujuan meningkatkan dan memperkasa ekonomi golongan pertengahan.

Katanya, hampir 70 peratus penerima skim berkenaan terdiri daripada golongan wanita dan ibu tunggal.

“Justeru, kita akan jalankan perbincangan lanjutan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan lain yang selama ini melaksanakan skim mikrokredit untuk tujuan sama.

“Kita perlu mengumpul data serta maklumat yang ada dan dari situ kita akan merangka langkah seterusnya. Jadi, saya bercadang untuk mengadakan satu program ‘townhall’ bersama ibu tunggal dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Mariah yang juga ADN Seri Serdang berkata, pihaknya juga akan menubuhkan sistem ‘mentoring’ dan program jaringan bagi peminjam mikrokredit, khususnya golongan ibu tunggal.

“Sistem ini sangat diperlukan memandangkan pemberian dana sahaja tidak cukup untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan kita perlu memperluaskan lagi pembabitan Kerajaan Negeri dalam membantu ibu tunggal ini.

“Selain itu, kita akan meningkatkan siri latihan pembinaan kepimpinan wanita dan kemahiran komprehensif termasuk memperkasa sistem pengurusan serta pangkalan data secara lebih efisien dan capaian yang mudah,” katanya.

Categories
SELANGOR

IWB anjur bengkel penulisan gender

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MEI: Institut Wanita Berdaya (IWB) membuka peluang kepada orang awam mengikuti Bengkel Penulisan Kesedaran Gender yang akan diadakan pada Mei ini secara percuma.

IWB memaklumkan bengkel yang diadakan selama dua siri itu akan mengupas berkenaan proses penulisan dengan lebih terperinci.

Katanya, ia demi memantapkan penulisan selain mempertingkatkan kesedaran berkaitan kepentingan profesionalisme, sensitif gender dan integriti dalam penulisan.

“Selain aspek pemilihan konsep yang betul, format yang tepat, kepelbagaian gaya bahasa dan teknik penulisan kreatif mampu menjadi penarik kepada minat pembaca, hari ini nilai kualiti dalam sesebuah karya semakin dititikberaktan.

“IWB juga mahu mengasah bakat terpendam yang ada dalam diri selain mendorong penglibatan penulis secara serius dalam bidang penulisan kreatif dengan menerapkan kualiti peka gender,” katanya.

Siri pertama yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Mei ini bakal memberi penekanan tentang Penulisan Ilmiah.

Manakala, siri kedua pula bakal memberi fokus berkenaan tajuk Penulisan Kreatif yang akan diadakan pula pada 25 dan 26 Mei.

“Bengkel dua hari setiap sesi di hujung minggu ini akan bermula pada jam 9 pagi hingga 4 petang bertempat di Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin, Dana 1 Commercial Centre, Petaling Jaya.

“Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mendalami lagi bidang penulisan,” katanya.

Orang ramai perlu menghantar ringkasan mengenai diri anda dan mengapa anda berminat menyertainya segera ke alamat email [email protected].

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Ain Nasiehah di talian 013-506 6088.

Categories
SELANGOR

Perkasa IWB, PWB tingkatkan pembuat dasar wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 JAN: Kerajaan Negeri komited untuk mempergiatkan lagi program pemberdayaan wanita melalui dua agensi utama iaitu Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PWB adalah platform utama wanita untuk mendapatkan latihan pengupayaan menerusi aspek kepimpinan, pembinaan kapasiti dan kemahiran asas.

Katanya, ia sebagai persediaan untuk wanita diangkat ke tahap yang lebih tinggi sekali gus menjadi pemimpin di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

“Untuk melihat pembabitan wanita dalam politik, kita perlu pemimpin wanita di peringkat akar umbi.

“Ia akan membolehkan kita memilih pemimpin wanita yang berkualiti dan membolehkan golongan ini menjadi pembuat dasar di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke mana hala tuju politik negara, di Hotel Armada, di sini, hari ini.

Dr Mariah berkata, fenomena kemajuan dunia, perkembangan ilmu pengetahuan dan ke pelbagai aktiviti sosial masyarakat ketika ini memerlukan pembabitan wanita secara aktif sebagai pembuat keputusan politik, ekonomi dan sistem pilihan raya.

Justeru, katanya, peranan semula jadi yang pelbagai akan membentuk paradigma untuk nilai tambah kepada pemain politik sedia ada.

“Nilai tambah seperti empati, peduli dan bersifat rahmah ini bukan sahaja berkualiti, tetapi prihatin dalam usaha memberdaya dan mengupaya generasi baru yang merupakan pelapis masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, pembabitan wanita dalam politik signifikan sejak zaman kemerdekaan.

Katanya, situasi itu dilihat ketika pilihan raya pertama peringkat tempatan pada 1952, iaitu empat calon wanita mengambil bahagian daripada 32 calon bertanding untuk kerusi Dewan Bandaran Kuala Lumpur.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, memperlihatkan rakyat Selangor mengangkat 12 orang Ahli Dewan Negeri (ADN) wanita, manakala tiga daripadanya memenuhi kuota sebagai EXCO.

“Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mencapai hampir sasaran dengan 29.16 peratus.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri merealisasikan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Maklumat lengkap lapor keganasan ada di ‘Sticker’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Pelekat (Sticker) yang dilancarkan sempena kempen #DengarlahSuaraKami mempunyai maklumat lengkap yang diperlukan mangsa keganasan untuk mendapatkan bantuan.

Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, melalui pelekat itu, mangsa keganasan dapat keluar daripada kitaran keganasan dengan bantuan daripada organisasi, mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat kaunseling, maklumat undang-undang dan rumah perlindungan.

Katanya, teori kognitif sosial diketengahkan iaitu mangsa perlu dilengkapi dengan maklumat secukupnya seterusnya mendorong mereka bertindak mendapatkan bantuan.

“Organisasi dan NGO yang berkaitan juga sudah dihubungi dan bersetuju talian mereka dimasukkan sebagai maklumat pada ‘sticker’ yang diedarkan.

“Justeru, kerjasama dan keprihatinan pemilik bangunan dan premis sangat diharapkan untuk menempatkan ‘sticker’ ini, di lokasi strategik awam yang ada di premis masing-masing seperti tandas wanita, lif dan papan kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami yang mengangkat tema #HearMeToo, di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Dr Daroyah yang juga Ahli Dewan Negeri Sementa berkata, kempen berkenaan menyasarkan supaya lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan yang disediakan secara percuma.

“Ini memudahkan akses maklumat kepada mangsa atau masyarakat yang mengetahui mengenai mangsa di sekeliling mereka.

“Malah, IWB Selangor akan terus memainkan peranan dalam usaha memastikan wanita, di negeri ini dapat hidup dengan aman dan sentosa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa seluruh masyarakat, khususnya di Selangor supaya lebih peka dan terus melaporkan segala insiden keganasan kepada pihak berkuasa, jika mendapat maklumat berhubung isu itu.

Categories
SELANGOR

ADN Permatang mahu suri rumah punyai sumber ekonomi

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 11 OKT : Setiap wanita perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu punca pendapatan bagi membolehkan mereka lebih selesa dan yakin, itu nasihat Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Katanya, kekuatan sumber ekonomi dalam kalangan wanita juga mampu membuat golongan itu lebih berkeyakinan bertemu orang ramai.

“Pasti ramai yang sedar, faktor kekuatan ekonomi juga membolehkan keutuhan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Jadi disebabkan itulah Institut Wanita Berdaya (IWB) ditubuhkan sebelum ini kerana mahu melahirkan lebih ramai wanita yang mempunyai kekuatan ekonomi serta menjadi lebih berani.

“Apabila wanita dalam sesebuah masyarakat lebih kuat, ia juga membantu merealisasikan kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global) UNISEL, Prof Dr Mohd Nor Nawawi serta 200 peserta daripada pelbagai agensi.

Pada masa sama, Rozana berkata, kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kejayaan ekonomi dan politik.

Namun, agenda masyarakat dan pembangunan sosial tidak boleh diabaikan kerana ia adalah nadi penggerak kepada bangsa.

“Program ini diwujudkan bagi menyedari fungsi dan peranan wanita untuk meningkatkan kualiti keluarga serta membina ummah yang lebih kuat.

“Institusi keluarga penting bagi kestabilan dan keutuhan masyarakat, oleh kerana itu, bagi mewujudkan generasi mampan dan berdaya saing, kita perlu menumpukan kepada keharmonian dalam kekeluargaan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

IWB proaktif perluas mesej kesaksamaan gender

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Mesej pemberdayaan wanita perlu disebar secara meluas demi memastikan wanita tidak dipinggirkan dalam setiap sektor pembangunan, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, perkara itu wajar dilakukan kerana wanita diseluruh dunia kini menghadapi masalah kesetaraan gender tidak seimbang seperti laporan Jurang Gender Global dimana dunia memerlukan 217 tahun lagi untuk mencapai kesetaran gender.

“Dari sudut pencapaian pendidikan, nisbah pelajar lelaki dan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) secara purata menunjukkan dominasi pelajar wanita seramai 60 peratus.

“Malah ada setengah IPT hampir 75 peratus pelajar dari golongan wanita berbanding lelaki.

“Namun, jumlah ini jelas tidak diterjemah dengan penglibatan wanita dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 anjuran IWB di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Zuraida berkata, adalah satu kerugian sekiranya para graduan dan golongan profesional dari golongan wanita terpaksa memilih kerjaya dan keluarga sedangkan mereka mampu memperoleh keseimbangan diantara keduanya.

“Apa yang penting adalah masyarakat terutamanya golongan lelaki sedar bahawa wanita juga perlu diberi ruang untuk berkembang maju selari dengan zaman.

“Kerajaan Negeri melalui IWB akan terus merangka program memastikan suara wanita di dengari disamping terus mempromosikan pemberdayaan wanita selaras dengan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan yang telah dilancarkan tahun lalu supaya kesaksamaan gender dapat dicapai,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi 2018 IWB merangka beberapa program termasuk Program Kesedaran Gender, Seminar Work Life Balance (WLB), Koperasi Wanita Selangor (PWB Shoppe) dan Komik Hormat Wanita.

Sementara itu, pelakon dan pengarah popular, Ahmad Idham yang juga hadir dalam Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 semalam, turut menyatakan sokongan beliau terhadap perlunya kesaksamaan gender.

Katanya, isu itu sememangnya diperjuangkan dari dulu dan drama-drama arahan beliau juga tidak mendiskriminasikan gender.

“Dalam drama juga kita boleh didik masyarakat melalui mengubah babak yang sering dilakonkan dimana lelaki duduk sambil baca surat khabar sedangkan kita boleh ubah babak suami isteri berborak sambil basuh pinggan bersama atau masak bersama.

“Saya terpanggil menyertai kempen ini bagi memperjuangkan ibu-ibu yang mempunyai anak istimewa. Kerana saya melihat sendiri keupayahan isteri selama 16 tahun menguruskan anak istimewa dalam masa sama menguruskan keluarga.

“Dengan wujudnya sekolah khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Eden Firdaus, yang saya bangunkan serta mendapat sokongan penuh Kerajaan Selangor, wanita yang mempunyai anak istimewa akan dapat mempunyai masa terluang untuk diri sendiri dalam membina kerjaya, melibatkan diri dalam ekonomi mahupun pendidikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor ada pelan rungkai kemelut wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri giat melaksanakan Pelan Tindakan Khas 2017-2020 bagi menyelesaikan isu pertindihan dan tanggungjawab wanita dalam institusi kekeluargaan kini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tumpuannya termasuklah merangka, menyusun, dan melaksanakan matlamat dan strategi Kertas Dasar Wanita Selangor di bawah kajian Institut Wanita Berdaya (IWB).

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelan tindakan wanita Selangor untuk menyelesaikan masalah ini dengan beberapa aspek dikaji bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang.

“Ini bagi memastikan golongan wanita dapat meneruskan kerjaya mereka dan terus berbakti kepada majikan dan Kerajaan Negeri tanpa perlu mengenepikan (tanggungjawab) kepada keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Terdahulu katanya, wanita kini berdepan masalah ‘peranan tradisi’ yang menghalang kepada perkembangan jaringan ekonomi golongan itu.

Katanya, realiti itu menyebabkan golongan wanita era ini tidak mampu untuk berdaya saing ke peringkat lebih tinggi apabila terpaksa mengambil pendirian menamatkan perkhidmatan dalam kerjaya masing-masing bagi memberi tumpuan kepada isu kekeluargaan.

Bagaimanapun, Pelan Tindakan Khas 2017-2020 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kini diperkenalkan bagi memantau dan menilai perlaksanaan dasar bagi menjalankan proses pengumpulan maklumat melalui perundingan dan wacana.

Categories
SELANGOR

Tepis stigma ‘wanita hanya di dapur’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB : Stigma golongan wanita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu hal rumah tangga perlu ditepis masyarakat kini, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamarudin.

Beliau berkata, martabat golongan wanita juga perlu diangkat seiring kepentingan kaum lelaki dalam menjana perkembangan ekonomi keluarga.

“Perkara sama juga sering dilihat dalam isu menjaga ibu bapa uzur, seolah-olah terdapat satu stigma di mana dalam tugas penjagaan warga tua, tanggungjawab itu jatuh kepada anak perempuan sahaja.

“Keadaan ini boleh berlaku lebih-lebih lagi sekiranya wanita itu belum berkahwin,” katanya.

Beliau berkta demikian ketika berucap pada Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Beliau berkata, realitinya golongan wanita kini dilihat semakin berkembang maju dengan pencapaian golongan itu dalam pelbagai bidang ekonomi dan pendidikan.

“Jika dilihat dari sudut pendidikan, nisbah pelajar lelaki dan wanaita di universiti secara purata menunjukkan dominasi pelajar wanita dengan peratusan sebanyak 60 peratus.

“Malah, ada sesetengah IPT di negara ini hampir 75 peratus pelajarnya adalah golongan wanita berbanding lelaki, tetapi jumlah ini secara jelas tidak diterjemah dengan penglibatan wanita di dalam industri pekerjaan.

“Justeru adalah menjadi kerugian amat besar sekiranya graduan wanita terpaksa memilih antara kerjaya dan keluarga sedangkan mereka mampu memperoleh keseimbangan kedua-duanya,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IWB: 11 negeri terima memorandum gender & reformasi

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN: 11 negeri terima memorandum gender dan reformasi dari Institut Wanita Berdaya (IWB) bagi mewujudkan Kerusi Tanpa Kawasan Untuk Wanita (KTKW) dalam setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Penasihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, antara 11 negeri itu adalah Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Memorandum ini diberi kepada 11 negeri untuk mereka mengangkat dan mengusulkan di perlembagaan masing-masing bagi melantik golongan wanita sebagai wakil rakyat seterusnya mewujudkan KTKW.

“Setakat ini Selangor sudah berjaya mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam politik, namun negeri lain masih belum mencecah angka berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Media sempena tahun baru 2018 : Usher in The New Year and #PressForProgress with IWB di Hotel Concorde, di sini.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Pengarah IWB, Haniza Talha.

Berdasarkan kenyataan, penglibatan wanita sebagai wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) di setiap 11 negeri berkenaan masih sedikit iaitu Sabah (6.7 peratus), Sarawak (7.1 peratus), Kelantan (6.7 peratus), Kedah (11.1), Johor (16.1 peratus), Pahang (11.9 peratus), Melaka (7.1 peratus), Perak (11.9 peratus), Perlis (13.3 peratus), Negeri Sembilan (5.6 peratus) manakala Terengganu (0 peratus).

Zuraida berkata, kadar itu jauh lebih rendah daripada purata kebangsaan dan jauh lagi daripada penanda aras antarabangsa iaitu 30 peratus.

“Salah satu faktor penting menyebabkan kemunduran Malaysia meskipun mengikut piawaian Asia Tenggara adalah sistem pilihan raya Sistem Wakil Tunggal dengan Undi Terbanyak (First-Past-The-Post).

“Untuk menamakan lebih banyak calon wanita kita perlukan sistem pilihan raya yang melantik lebih daripada seorang wakil untuk sebuah kawasan iaitu Perwakilan Berkadar,calon dinamakan dalam bentuk senarai dan boleh diselang-seli dengan calon lelaki,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida turut menyampaikan cenderahati kepada media yang hadir sebagai tanda penghargaan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan menyebarkan berita-berita kepada masyarakat.

Zuraida turut berkata, program itu dilaksanakan bagi memberdaya golongan media supaya dapat memainkan peranan sebagai ejen propaganda dan mengangkat isu-isu kejayaan wanita seiring dengan era masa kini.

“IWB ingin mengambil peluang untuk menghargai dan memupuk hubungan baik dengan media supaya potensi yang ada pada wanita dapat dilonjakkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

IWB komited tingkat perwakilan wanita dalam politik

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 24 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) komited meningkatkan perwakilan wanita dalam peringkat pembuat keputusan dan politik.

Justeru, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, perbincangan dan kajian mengenai keterlibatan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipercepatkan.

Katanya, usaha itu selaras dengan bilangan golongan itu yang semakin bertambah.

“Kerajaan Negeri mengambil serius deklarasi antarabangsa berkenaan hak wanita dikemukakan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) & Pelan Tindakan Beijing (BPFA).

“Sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam politik perlu dikejar dan sehingga kini Malaysia belum mencapai bilangan itu walaupun sudah 13 kali pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Persidangan Nasional Gender & Reformasi Pilihanraya “More Women Better Nation” di Hotel Holiday Villa Subang, hari ini.

Turut hadir, Penasihat IWB, Zuraida Kamaruddin, Pengarah IWB, Haniza Talha, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehawal Pengguna, Elizabeth Wong dan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Sementara itu, Daroyah berkata, Selangor mendahului 25 peratus dengan penyertaan wanita di DUN manakala Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak kurang daripada 10 peratus penglibatan.

Persidangan dihadiri 250 peserta itu membincangkan penekanan di peringkat perundangan negeri melalui kajian, perdebatan, maklum balas dan rumusan berkenaan reformasi pilihanraya akan datang.

Categories
SELANGOR

IWB – Kolej Raffles tawar biasiswa rekaseni kepada wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor dan Kolej Pengajian Tinggi Raffles menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Biasiswa Rekaseni khusus kepada wanita di negeri itu.

Exco Kesihatan Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, MoU berkenaan memberi impak sangat baik bagi melahirkan graduan wanita berjaya dalam bidang reka seni.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap usaha IWB memberdayakan wanita di Selangor dapat diperkasakan dan ini adalah salah satu bidang berprestij.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan wanita di negeri ini untuk merebut peluang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kerjasama MoU Biasiswa Rekaseni IWB dan Kolej Pengajian Tinggi Raffles di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Hadir sama, Penasihat Pusat Wanita Berdaya, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Tinggi Raffles, Wan Azmawi Wan Azmi.

Sementara itu, Wan Azmawi berkata, tajaan biasiswa hampir RM65,000 ditawarkan kepada setiap pelajar yang berjaya melepasi saringan temuduga.

“Proses pemilihan melalui beberapa peringkat iaitu sesi bengkel dan temuduga. Malah wanita dari keluarga berpendapatan rendah  juga diberi peluang.

“Bidang reka seni yang dimaksudkan adalah seperti bidang fesyen, pembuatan barang kemas dan rekaan dalaman,” katanya.