Categories
AGENDA NASIONAL

Tun Hasmah namakan tiga anak harimau di zoo negara

PUTRAJAYA, 28 JUL: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menamakan tiga ekor anak harimau yang dilahirkan di Zoo Negara pada majlis sambutan Hari Harimau Sedunia, hari ini.

Beliau, yang juga penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, menamakan dua ekor anak harimau jantan dengan nama Wira dan Hebat.

“Sementara anak harimau betina, saya namakan Melur,” katanya dalam ucapannya pada majlis itu hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dr Siti Hasmah, yang tiba dari Turki pagi ini selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke sana, berkata beliau pernah berhasrat untuk memeluk ketiga-tiga anak harimau yang lahir di Zoo Negara, pada 1 Mei lalu.

“Tapi apabila saya pergi ke Zoo Negara minggu lepas semuanya sudah kaki besar dan berusia tiga bulan. Saya tidak boleh peluk dia, tengok saja saya dia mengaum,” katanya lagi.

Ketiga-tiga anak harimau itu adalah anak kepada harimau jantan bernama Jati dan harimau betina bernama Kaila, yang ditempatkan di Zoo Negara.

Dr Siti Hasmah turut berkongsi pengalaman detik paling dekat beliau bersama harimau.

“I always want to face a tiger. The closest was at The Lost World of Tambun where I managed to get the feel of a young tiger licking my palm when I feed it with a slice of chicken.

(“Saya selalu ingin mendekati seekor harimau. Yang paling hampir berlaku di Lost World of Tambun di mana saya dapat merasai seekor anak harimau menjilat tapak tangan apabila saya memberi dia makan sekeping ayam).

“It was such a thrill. I could feel the tongue,” she further said.

(Ia sungguh menyeronokkan. Saya dapat rasakan lidahnya,” katanya lagi).

Dalam ucapan yang sama Dr Siti Hasmah mahukan semua pihak berganding bahu dalam memastikan populasi Harimau Malaya, yang kini dianggarkan 200 ekor, boleh ditingkatkan kepada 500 ekor pada masa akan datang.

Berdasarkan data Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 1950-an terdapat lebih 3,000 Harimau Malaya di negara ini.

Jelas beliau, Harimau Malaya perlu dipelihara dan tidak boleh dibiarkan pupus kerana haiwan itu menjadi lambang negara kerana terdapat di jata negara yang melambangkan kekuatan.

Pada majlis itu Dr Siti Hasmah turut menerima sumbangan RM1.33 juta daripada syarikat swasta, badan bukan kerajaan, universiti dan sekolah termasuk Yayasan Al-Bukhary dan warga kementerian untuk melaksanakan inisiatif konservasi Harimau Malaya.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spiesies harimau.

Pada majlis itu, satu video menunjukkan dua kumpulan Harimau Malaya iaitu seekor ibu dan anak dan seekor lagi ibu bersama tiga anak dipertonton kepada para hadirin.

Difahamkan video berkenaan dirakamkan kamera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitian) di sebuah taman negara di Semenanjung.

Lokasi taman negara itu terpaksa dirahsiakan bagi menyelamatkan kesemua harimau berkenaan daripada pemburu haram.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perbelanjaan isteri Perdana Menteri kini rahsia negara?

Oleh : AFEEQA AFEERA

PARLIMEN, 8 OKT : Tindakan Putrajaya merahsiakan maklumat perbelanjaan isteri Perdana Menteri supaya soalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat berkenaan itu tidak terjawab dibidas sebagai “langkah ke belakang”.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata tindakan itu dipercayai bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap BN.

Anthony-Loke“Dalam tempoh enam tahun saya di Parlimen sejak 2008, kebanyakan soalan saya tertumpu kepada butiran kos terperinci dalam perbelanjaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan jawapan yang diterima juga terperinci sehingga pendedahan berkenaan memberi kesan publisiti negatif kepada pemimpin BN.

“Namun, tiada alasan untuk mana-mana Menteri untuk tidak menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kerana setiap sen yang dibelanjakan anggota pentadbiran adalah dana awam dan boleh dipersoalkan.

“Sekiranya Parlimen pun tidak dapat memberi jawapan, bagaimanakah ketelusan perbelanjaan kerajaan dapat dijamin?” katanya dalam sidang media di ruang legar Parlimen, hari ini.

Beliau merujuk kepada kelayakan isteri Perdana Menteri menggunakan pesawat khas kerajaan ke beberapa lokasi berbeza seperti Padang, Indonesia dan Singapura pada 27 Ogos lalu.

Kos penerbangan itu tidak dinyatakan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hanya mengatakan kos yang terlibat dalam penerbangan itu adalah dalam anggaran “bersesuaian” dengan perkhidmatannya.

HM