Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan MyTravelpass meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Jumlah permohonan kebenaran untuk masuk atau keluar dari negara ini bagi warganegara dan warga asing menerusi sistem MyTravelpass, Jabatan Imigresen Malaysia pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata sebanyak 111,722 permohonan diterima jabatan itu dalam tempoh antara Januari hingga 31 Julai 2021 berbanding 85,715 permohonan dalam tempoh sama, tahun lepas.

“Peningkatan ini saya kaitkan dengan keputusan kerajaan untuk memberi kelonggaran kepada golongan peniaga atau pelabur, selain urusan kerajaan, latihan bersama ketenteraan serta urusan kecemasan.

“Pelbagai faktor yang menyebabkan permohonan ditolak seperti didapati tidak mempunyai keperluan mendesak untuk pemohon memasuki atau keluar dari negara ini,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di RTM malam tadi.

Selain itu, Khairul Dzaimee berkata pemohonan akan ditolak sekiranya pemohon datang dari lima negara yang dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi, termasuk India, Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Bangladesh, seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan beberapa kes pemohon didapati menggunakan kelulusan MyTravelpass klon dengan kelulusan tidak diperoleh daripada jabatan tersebut.

“Sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pegawai Imigresen telah membuat pemeriksaan dalam sistem dan mereka dikenakan notis Tolak Kemasukan (Not-To-Land) dan akan dihantar pulang dengan penerbangan seterusnya.

“Ada juga pemohon yang mengemukakan permohonan tidak sah contohnya memberi alasan melawat tapak kilang projek tetapi semakan dengan pihak tertentu mendapati permohonan itu tidak ada atau wujud,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki Pakistan antara tiga individu dalang agen program rekalibrasi ditahan

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Tiga individu termasuk seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki dalang sindiket agen Program Rekalibrasi, ditahan dalam serbuan di dua premis di Jalan Ipoh, di sini, Rabu lalu.

Operasi yang dijalankan pada 4.30 petang merupakan susulan daripada ‘Operasi Hack’, yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu bertujuan bagi mengesan saki-baki syarikat yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs)’, yang didalangi seorang individu bergelar Datuk yang telah ditahan.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga Pakistan berumur 39 tahun yang merupakan dalang sindiket telah ditahan. Turut ditahan seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 24 dan 20 tahun, kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan itu.

“Pemeriksaan awal turut mendapati lelaki Pakistan berkenaan menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 81 pasport negara Pakistan, Bangladesh dan Vietnam serta wang tunai berjumlah RM15,950, telah dirampas hasil pemeriksaan di premis sindiket beroperasi.

“Hasil siasatan mendapati, premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing, yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, dengan bayaran di antara RM2,000 ke RM3,000 seorang,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi dipercayai sejak tahun lepas, sindiket tersebut dianggarkan telah membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000.

“Modus operandi sindiket ini adalah lelaki Pakistan itu mendapatkan pelanggan dari kalangan warganegara Pakistan, terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.

“Semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’, yang ditumpaskan sebelum ini (pada 6 April lalu),” katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan di bawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Beliau juga menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan imigresen, dan tidak menggunakan orang tengah atau agen dalam urusan Program Rekalibrasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing perlu mohon pas khas sementara tunggu balik negara asal

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Bermula hari ini, warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh, perlu memohon Pas Khas bagi membolehkan mereka berada di negara ini, sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, permohonan Pas Khas itu perlu disertakan bersama surat pengesahan daripada kedutaan masing-masing, tiket penerbangan, bukti kemampuan kewangan bagi menampung kos hidup, dan butiran tempat tinggal yang terkini.

Katanya, warga asing perlu hadir ke pejabat imigresen bagi memohon Pas Khas ini, mengikut janji temu yang telah dimohon melalui ‘Sistem Temujanji Online’ (STO).

“Warga asing dinasihatkan mengemukakan dokumen lengkap untuk membuat permohonan Pas Khas serta membuat janji temu melalui STO. Jabatan tidak akan memproses dan mempertimbangkan mana-mana permohonan yang tidak lengkap, dan tidak mempunyai janji temu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pada 12 April lepas, Jabatan Imigresen memaklumkan warga asing dengan PLS tamat tempoh, perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada 21 April dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Mengulas lanjut Khairul Dzaimee berkata, mereka yang tidak dapat memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan Pas Khas, perlu menyerah diri dengan hadir ke Bahagian Penguatkuasa di mana-mana pejabat Imigresen.

“Mereka perlu mengemukakan tiket pulang dalam tempoh 30 hari dari tarikh serah diri, dan perlu membayar kompaun mengikut tempoh lebih masa yang dikira mulai hari ini.

“Setelah itu, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pas Khas serta Memo Periksa Keluar (COM) kepada mereka, dan mereka boleh tinggal di negara ini sementara menunggu penerbangan ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata warga asing yang gagal mendapatkan sokongan kedutaan masing-masing juga, mempunyai pilihan untuk terus keluar melalui pintu-pintu masuk negara ini, namun mereka akan disenarai hitam bermula hari ini.

Khairul Dzaimee berkata tindakan meminta pemegang PLS tamat tempoh meninggalkan negara dibuat, selepas terdapat kes penyalahgunaan pas oleh pelawat asing.

“Ada yang salah guna pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di pusat hiburan dan menyertai kegiatan tidak bermoral,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen jamin selesai isu perbaharui pasport di Singapura

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Jabatan Imigresen memberi jaminan akan menyelesaikan isu kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura susulan kesukaran memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di negara itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menempatkan lapan pegawai di STM bermula minggu hadapan bagi membantu melancarkan proses dokumentasi pasport di republik itu.

“Sekarang kita ada lima petugas di sana dan akan datang lapan pegawai Kastam turut membantu…tindakan sedang diambil,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menyertai Op Penguatkuasaan Imigresen di Jalan Imbi, awal pagi ini.

Turut sama dalam operasi tersebut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau turut mengakui isu tersebut berlarutan sejak Oktober tahun lepas dan tindakan sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

Khairul Dzaimee berkata kesesakan di STM sejak dua hari lepas berpunca daripada gangguan sistem serta kerosakan pada satu daripada dua mesin pencetak pasport selain pemohon yang datang secara terus (walk-in) tanpa membuat janji temu.

“Kita sudah nasihatkan mereka (rakyat Malaysia di Singapura) untuk membuat permohonan secara dalam talian tetapi mereka tetap datang (walk-in). Kita beri keutamaan kepada yang perlu perbaharui pasport untuk permit kerja kerana mereka tidak boleh keluar (rentas negara).

“Bagi mereka yang ada masa itu, kita minta mereka mohon secara dalam talian dan permohonan akan diproses di pejabat Imigresen di Johor…dalam masa empat atau lima minggu pasport akan dikeluarkan,” katanya.

Semalam, Khairul Dzaimee dalam kenyataan berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara itu untuk melakukan kerja-kerja pembaikan bagi melancarkan proses memperbaharui pasport rakyat Malaysia di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dalang dalam buruan tumpas selepas markas palsu dokumen diserbu

PUTRAJAYA, 12 JAN: Kegiatan memalsukan dokumen Imigresen yang didalangi warga Bangladesh yang diburu sejak 2017, dengan menjadikan kawasan apartmen di Cheras, Selangor sebagai markas, tumpas semalam.

Dalam operasi kira-kira 10 pagi itu, anggota Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen menahan dalang yang berumur 32 tahun itu, dan seorang rakannya juga warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ berumur 25 tahun, di kawasan apartmen berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan pemalsuan dokumen didalangi suspek, pernah tumpas pada 2017 dan menyebabkan dia menghilangkan diri, sebelum kegiatan sama yang dikaitkan dengannya dikesan semula pada Mac 2020, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha mengesan suspek dilakukan secara berterusan sehingga penahanannya dalam operasi semalam, sekali gus menumpaskan kegiatan pemalsuan dokumen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata modus operandi yang digunakan suspek dalam kegiatan itu ialah menyewa dua buah apartmen, di mana satu dijadikan markas pemprosesan dokumen palsu dan satu lagi dijadikan tempat tinggal.

“Kedua-dua apartmen ini disewa secara berdekatan, bagi mengelirukan agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata suspek mendapatkan pelanggan dengan mengiklankan perkhidmatan haram itu melalui aplikasi WhatsApp atau menggunakan orang tengah yang bertindak mengutip pasport atau bayaran.

“Mereka ini dipercayai memperoleh pelanggan kira-kira 150 orang sehari dan pelanggan mereka rata-ratanya adalah warga Bangladesh,” katanya.

Bayaran yang dikenakan adalah berbeza di mana RM300 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, RM20 untuk sekeping iKad dan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta RM150 untuk pasport palsu,” katanya.

Dalam operasi itu juga, Khairul Dzaimee berkata Imigresen merampas pelbagai peralatan pemalsuan dokumen, antaranya mesin pencetak, komputer, serta pelbagai jenis pasport dan wang tunai berjumlah RM8,300.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu dibawa ke Putrajaya untuk tujuan saringan Covid-19, bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, sebelum mereka dihantar ke depot untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan rekalibrasi pendatang dijangka terima 250,000 permohonan

PUTRAJAYA, 4 DIS: Jabatan Imigresen dijangka menerima 250,000 permohonan untuk menyertai menyertai Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang mengandungi dua komponen utama – Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata setakat Rabu lalu, jabatannya telah menerima 478 permohonan daripada majikan melibatkan 1,980 pendatang tanpa izin untuk menyertai program yang dilancarkan pada 16 November itu.

“Kesemua permohonan ini kita terima melalui e-mel dan mulai Rabu, majikan tidak lagi perlu membuat permohonan menerusi e-mel kerana semua permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja adalah program untuk membolehkan pendatang tanpa izin dijadikan pekerja asing yang sah di negara ini.

Pelan itu dilaksanakan bermula 16 November lalu hingga 30 Jun tahun depan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Khairul Dzaimee berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja hanya terhad ditawarkan kepada pekerja di empat sektor iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan.

“Majikan mempunyai kuota kelayakan untuk menggajikan pekerja asing berdasarkan nisbah kelayakan semasa,” katanya sambil menyatakan hanya pendatang tanpa izin dari 15 negara yang ditetapkan boleh diambil bekerja.

Menurutnya, setakat ini terdapat 12,400 pendatang tanpa izin berada di 14 depoh tahanan di Semenanjung dengan kebanyakan mereka berasal daripada Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan Bangladesh.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata Program Rekalibrasi Pulang pula membenarkan pendatang tanpa izin yang melakukan kesalahan tertentu untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Antara pendatang tanpa izin yang layak menyertai program itu adalah mereka yang melakukan kesalahan masuk atau tinggal di Malaysia tanpa pas dan permit sah atau tinggal lebih masa.

“Pendatang tanpa izin yang layak perlu mendapatkan janji temu secara dalam talian menerusi Sistem Temujanji Online (STO) dan seterusnya hadir ke pejabat Imigresen mengikut tarikh ditetapkan.

“Mereka perlu hadir dengan membawa dokumen tertentu antaranya tiket pulang ke negara asal serta membayar kompaun dan selepas urusan selesai, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan pas khas atau Check Out Memo kepada mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Risiko batal pas imigresen jika keluar kenyataan tidak tepat

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran keras akan membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan kepada warga asing sekiranya mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara.

Justeru, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, meminta pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata laporan mengenai operasi JIM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkan agensi berita antarabangsa itu sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lepas telah memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah yang ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga telah memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan di depoh tahanan Imigresen berjalan seperti biasa

SEPANG, 27 MEI: Tugas pegawai imigresen di tiga depoh tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang yang sedang menjalani kuarantin di rumah telah diambi alih oleh pegawai daripada ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Katanya walaupun ujian saringan mendapati mereka negatif Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan pegawai terbabit menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

“Seramai 238 pegawai terlibat (dikuarantin di rumah) jadi mereka tidak boleh datang bertugas. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan yang bertujuan memastikan pengurusan keselamatan dan kebajikan pegawai yang terlibat di tiga depoh ini terjaga dan pengurusan harian tetap berjalan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata susulan daripada pengaktifan pelan itu, pegawai daripada ibu pejabat Jabatan Imigresen dan negeri berkaitan diarahkan bertugas dan mengambil alih pengurusan di ketiga-tiga depoh berkenaan.

“Alhamdulillah, semua pegawai Imigresen yang terlibat telah mengorbankan cuti raya mereka dan datang bertugas dalam masa 24 jam, jadi pengurusan terutamanya dari segi keselamatan di depoh tahanan berjalan lancar seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata di bawah pelan tersebut, Jabatan Imigresen akan mendapatkan bantuan agensi keselamatan lain sekiranya para pegawai yang terlibat juga terpaksa dikuarantin.

“Kami akan mendapatkan bantuan Anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela), kalau Rela tak mencukupi kita akan minta pihak polis untuk datang membantu dari segi kawalan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Khairul Dzaimee melakukan lawatan di depoh tahanan Imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih bagi meninjau aspek keselamatan di setiap depoh tahanan yang dijangkiti Covid-19.

Katanya aspek kebajikan warga asing tetap diberi perhatian dengan memastikan mereka yang sakit segera diberi rawatan.

Selain itu, pihak pengurusan turut mengambil tindakan pengasingan blok bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 di depoh-depoh berkenaan.

KKM sebelum ini mengesan tiga kluster jangkitan Covid-19 melibatkan depoh tahanan imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Pas khas untuk pelancong China

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelancong warga China yang masih berada di Malaysia kerana mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini, akan diberikan pas khas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pas khas itu hanya boleh diperoleh selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China susulan sekatan perjalanan dikenakan ke atas pelawat China, dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, susulan penularan koronavirus 2019.

“Bagi pelancong yang masih berada dalam negara ini, visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar.

“Berkuat kuasa 27 Januari lepas, mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat JIM bersama tiket penerbangan keluar dan mendapatkan perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah pangsapuri di Ara Damansara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerima pas khas itu akan diberi tempoh 14 atau 30 hari untuk berada di di negara ini mengikut tarikh penerbangan keluar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata sekatan perjalanan ke Malaysia yang dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan 474 PATI dalam 124 operasi

PUTRAJAYA, 3 JAN: Seramai 474 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 1,871 orang yang diperiksa dalam 124 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh 24 jam pertama 2020.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, empat orang majikan turut ditahan dalam tempoh operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memburu saki baki pendatang asing yang ingkar untuk menyerah diri dan pulang ke negara asal melalui program Back For Good (B4G).

Daripada jumlah pendatang asing yang ditahan, warga Indonesia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang, diikuti warga China (89), Bangladesh (78), Myanmar (42), Filipina (22) dan bakinya adalah dari negara-negara lain, katanya.

Dalam kenyataan semalam, Khairul Dzaimee berkata, program B4G yang tamat pada 31 Disember lepas (2019), seramai 190,471 pendatang asing mendaftar untuk pulang secara sukarela.

“JIM telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi pendatang asing menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui program B4G. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan sesetengah majikan yang masih berdegil,” katanya.

Menurutnya, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing boleh diambil tindakan di bawah empat perundangan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk pendatang asing secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji pendatang asing, Seksyen 55E untuk membenarkan pendatang asing masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi pendatang asing.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan 130 warga asing

KAJANG, 15 JUN: Seramai 130 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di 53 unit pangsapuri di Kajang, pihaknya menahan 78 rakyat Nigeria, enam Filipina dan masing-masing seorang India dan Pakistan serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Beliau berkata, seramai 40 lagi rakyat asing ditahan dalam operasi di sebuah kawasan kediaman di Puchong, iaitu dari Nepal, Myanmar, Nigeria, Sierra Leone, Guinea, Tanzania dan Kenya.

“Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas, tamat tempoh pas pelajar dan pelancong serta menjalankan perniagaan.

“Kami juga mendapati ada antara warga asing ini disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian susulan penemuan komputer riba yang mengandungi maklumat mencurigakan.

“Perkara ini akan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Bersepadu itu.

Operasi yang disertai 96 pegawai imigresen, 15 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Khairul Dzaimee berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata, semua rakyat asing yang ditahan berusia satu hingga 66 tahun itu dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil atau Semenyih. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan lebih 15,700 PATI sejak Januari

KUALA LUMPUR, 5 APR: Seramai 15,715 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga Rabu lepas (3 April), kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 5,173 orang, diikuti warga Bangladesh (3,430), Filipina (1,439), Myanmar (1,458) dan selebihnya dari negara lain.

“Dalam pada itu, kami turut menahan 348 majikan premis kedai antaranya kerana kesalahan menyewakan premis perniagaan kepada PATI secara haram di pasar borong.

“Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukan isu baharu, namun ramai yang tidak menyedari golongan itu telah mula menguasai pasaran di pasar-pasar borong tempatan,” katanya dalam sidang akhbar susulan operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang di sini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam operasi itu, 150 PATI diperiksa dan 107 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, pemeriksaan semasa operasi juga mendapati 79 warga asing adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bersama Polis Diraja Malaysia bagi mengekang masalah kebanjiran PATI di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan juga amat penting dalam mengesan pihak yang menyewakan premis atau lot perniagaan kepada PATI.

SUMBER: BERNAMA