Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen tahan 474 PATI dalam 124 operasi

PUTRAJAYA, 3 JAN: Seramai 474 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 1,871 orang yang diperiksa dalam 124 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh 24 jam pertama 2020.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, empat orang majikan turut ditahan dalam tempoh operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memburu saki baki pendatang asing yang ingkar untuk menyerah diri dan pulang ke negara asal melalui program Back For Good (B4G).

Daripada jumlah pendatang asing yang ditahan, warga Indonesia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang, diikuti warga China (89), Bangladesh (78), Myanmar (42), Filipina (22) dan bakinya adalah dari negara-negara lain, katanya.

Dalam kenyataan semalam, Khairul Dzaimee berkata, program B4G yang tamat pada 31 Disember lepas (2019), seramai 190,471 pendatang asing mendaftar untuk pulang secara sukarela.

“JIM telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi pendatang asing menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui program B4G. Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh mereka dan sesetengah majikan yang masih berdegil,” katanya.

Menurutnya, majikan yang dikesan menggaji pendatang asing boleh diambil tindakan di bawah empat perundangan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Majikan boleh didakwa di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk pendatang asing secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji pendatang asing, Seksyen 55E untuk membenarkan pendatang asing masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi pendatang asing.

Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010) (ATIPSOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja, katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Inisiatif Kerajaan Negeri, Persekutuan basmi PATI

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 4 MEI: Operasi bersepadu dilaksanakan Jabatan Imigresen Selangor membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menetap di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Haniza Talha berkata, operasi itu selaras pendirian kerajaan apabila isu berkenaan dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

“Operasi bersepadu dilancarkan ini untuk memastikan kawasan rumah PPR yang dikhaskan kepada warganegara ini terpelihara daripada warga asing.

“Kita mempunyai senarai panjang bagi permohonan untuk menyewa unit PPR di kawasan Lembah Subang,” katanya ketika ditemui media selepas operasi berkenaan di sini, awal pagi tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan itu bagi mengenal pasti pemilik rumah PPR yang meyewakan kepada warga asing ataupun warganegara atas kesalahan melanggar syarat penyewaan rumah berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dalam menangani penyalahgunaan PPR, khususnya membabitkan penyewaan mahupun penjualan tidak sah.

Terdahulu, seramai 11 PATI sedang nyenyak tidur terpinga-pinga apabila kediaman diduduki mereka diserbu dalam Operasi Bersepadu di kawasan PPR Lembah Subang 1, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi tadi digempur beberapa agensi berkaitan di dua blok PPR Lembah Subang 1, di sini, membabitkan pemeriksaan lebih 800 unit rumah.

Categories
SELANGOR

11 PATI dicekup Imigresen Selangor ketika sedang tidur

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 4 MEI: Seramai 11 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur terpinga-pinga apabila kediaman diduduki mereka diserbu dalam Operasi Bersepadu di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan bermula jam 1 pagi itu terdiri daripada sembilan warga Indonesia termasuk empat perempuan, manakala dua warga Bangladesh berusia lingkungan 23 hingga 56 tahun.

Operasi yang digerakkan dengan kekuatan 172 anggota Jabatan Imigresen Selangor termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu adalah hasil risikan serta maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang mendiami PPR terbabit.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 800 unit di dua blok pangsapuri berkenaan.

“Antara kesalahan adalah tiada sebarang permit dan pas yang sah, malahan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan dijalankan.

“Dalam pemeriksaan di unit-unit ini juga tiada kejadian lari, tetapi pada peringkat awal di kedai berhadapan blok ini terdapat warga asing yang melarikan diri kerana di situ tempat terbuka.

“Kesemua mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mengulas kedatangan PATI ke Selangor melalui sindiket haram, beliau berkata, kebanyakan daripada mereka sanggup membayar sejumlah wang kepada sindiket terbabit demi mendapatkan pekerjaan di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut berkaitan perkara itu memandangkan ada segelintir PATI yang melalui pintu masuk secara sah.

“Mereka cuba mendapatkan pekerjaan dengan membayar sejumlah wang kepada ejen tetapi mereka mungkin ditipu sedangkan tidak dapat pekerjaan dan permit sah, jadi mereka masih di sini.

“Di pihak imigresen terdapat kesalahan di situ, mereka sudah tinggal lebih masa dan tiada dokumen kerana dipegang ejen. Sebab itu kita tahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Imigresen tahan lebih 15,700 PATI sejak Januari

KUALA LUMPUR, 5 APR: Seramai 15,715 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga Rabu lepas (3 April), kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 5,173 orang, diikuti warga Bangladesh (3,430), Filipina (1,439), Myanmar (1,458) dan selebihnya dari negara lain.

“Dalam pada itu, kami turut menahan 348 majikan premis kedai antaranya kerana kesalahan menyewakan premis perniagaan kepada PATI secara haram di pasar borong.

“Masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukan isu baharu, namun ramai yang tidak menyedari golongan itu telah mula menguasai pasaran di pasar-pasar borong tempatan,” katanya dalam sidang akhbar susulan operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang di sini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam operasi itu, 150 PATI diperiksa dan 107 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, pemeriksaan semasa operasi juga mendapati 79 warga asing adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan bersama Polis Diraja Malaysia bagi mengekang masalah kebanjiran PATI di negara ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan juga amat penting dalam mengesan pihak yang menyewakan premis atau lot perniagaan kepada PATI.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

1,485 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Seramai 1,485 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu dilancarkan Jabatan Imigresen di seluruh negara mulai tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam ke atas 3,750 warga asing.

“Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen pula telah berjaya menahan 218 PATI daripada 418 yang diperiksa di sebuah pusat hiburan dan dua kediaman sekitar Lembah Klang atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan sebanyak 2,646 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan memeriksa seramai 40,321 orang sejak 1 Januari hingga Khamis lalu.

Dari jumlah itu, seramai 9,452 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 176 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan manakala 151 majikan didakwa dan diambil tindakan.

“Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 3,261 diikuti Bangladesh seramai 2,378, Filipina 849, Myanmar 868 dan bakinya adalah dari lain-lain negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu berkaitan PATI.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

Langkah tegas itu, katanya, perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini.

Categories
NASIONAL

Upah PATI: Lebih 500 majikan ditahan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JUN: Seramai 566 majikan ditahan Jabatan Imigresen kerana mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kesemuanya ditahan atas kesalahan melindungi serta menggaji PATI mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Katanya, tempoh sama turut menyaksikan 19,968 PATI dengan pelbagai kesalahan ditahan, dengan jumlah tertinggi dicatatkan warganegara Indonesia dan Bangladesh dengan masing-masing seramai 7,490 dan 4,065.

“Selain dikenakan hukuman, aset majikan juga boleh dibekukan sekiranya didapati bersalah.

“Trend sekarang ialah majikan ambil PATI bekerja kerana mereka boleh bayar gaji lebih murah berbanding orang tempatan kerana hanya fikirkan keuntungan,” katanya dipetik Bernama.

Mustafar berkata, majikan juga perlu mendaftarkan PATI untuk mendapatkan kad sementara ‘Enforcement Card’ atau E-Kad sebelum 30 Jun ini atau berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Feb 2018.

Mula diperkenalkan pada 15 Februari lalu, program itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sokong operasi pemutihan Pati terbesar – MB

exco

SHAH ALAM 28 OGOS : Kerajaan Negeri menyokong langkah pihak berkuasa memburu kira-kira 500,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di seluruh negara, bermula 1 September.

Operasi itu merupakan operasi pemutihan terbesar yang pernah digerakkan oleh Jabatan Imigresen.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menjadi negeri tumpuan operasi ini yang akan berlangsung selama tiga bulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dilaporkan mempunyai jumlah pendatang asing yang sangat tinggi.

Jelasnya Kerajaan Negeri berharap operasi ini mampu membantu pihaknya mengenal pasti jumlah sebenar Pati di Selangor.

“Kita amat memerlukan kerjasama supaya darinya kita boleh menguruskan soal keselamatan dan segala sumber berkaitan dengan pendatang asing,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Dilaporkan Jabatan Imigresen akan mengetuai operasi ini, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 135,000 anggota akan terlibat dalam proses pemutihan yang digerakkan di seluruh negara.