SHAH ALAM, 26 NOV: Pelbagai insentif ditawarkan kepada rakyat Selangor jika mengamalkan gaya hidup yang meminimakan pencemaran alam sekitar.
Insentif ini termasuk rebat cukai pintu untuk kediaman hijau, parkir percuma bagi kereta hybrid dan lain-lain.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut berusaha mengurangkan emisi karbon melalui beberapa projek mikro hidro dan menyediakan kemudahan yang berupaya menjana tenaga dari sisa-sisa buangan (RDF, Refuse Derived Fuel).
Demikian menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini.
“Di Selangor, Kerajaan Negeri berusaha menyediakan tapak bersesuaian serrta menjemput pihak swasta mendirikan tapak penjanakuasa solar,” menurut kenyataan tersebut.
Projek mikro hidro yang dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Shell dan UNDP itu dilaksanakan di Kampung Orang Asli di Hulu Selangor dan kemudahan menjana tenaga dari sisa-sisa buangan pula diwujudkan di Kajang.
Kerajaan Negeri juga aktif berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Exco Pelaburan Negeri untuk menggalakkan usaha-usaha memulihara alam sekitar ini.
Kenyataan tersebut turut menyatakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) juga menyediakan Garis Panduan Perancangan Kejiranan Hijau untuk bangunan hijau manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mengusahakan projek pembangunan yang mencapai taraf Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Kejayaan MBPJ memperolehi taraf GBI itu sekaligus melayakkannya menerima potongan dari Tabung Penambahbaikan Perkhidmatan (ISF) dan peningkatan nisbah plot (nisbah plot).
Kerajaan Negeri turut menandatangani persetujuan Cancun Statemenet of 2010 yang diusahakan The Climate Group sebagai tanda komitmen terhadap usaha pengurangan emisi karbon.