Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pendigitalan perlu dilengkapkan bersama inisiatif rapatkan jurang digital – UNDP

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Usaha kerajaan menggalakkan pendigitalan dan mendorong perniagaan dalam talian terutama semasa pandemik Covid-19 akan memberi peluang besar namun ia perlu dilengkapkan dengan inisiatif merapatkan jurang digital, kata Ketua Pegawai Digital Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Robert Opp.

Beliau berkata pendigitalan membuka peluang kepada lebih ramai orang.

“Bagaimanapun jika berlaku jurang digital atau dengan kata lain, jika anda tidak tersambung atau tidak mempunyai kemampuan atau kemahiran menggunakan peranti, anda akan ketinggalan,” katanya semasa memudah cara sesi Meja Bulat Media Kemampanan AVEVA malam tadi.

Sesi dalam talian itu merungkai cara syarikat terkemuka menerima guna inovasi dan menggunakan perisian pintar untuk membentuk semula operasi perindustrian mereka.

Ia menunjukkan bagaimana teknologi pesat membangun seperti kecerdasan buatan, awan, kembar digital, pengvisualan dan analitik data menyokong kemajuan dalam kemampanan dan membolehkan organisasi membuat perubahan penting untuk menambah baik persekitaran.

Opp berkata dunia mengalami perubahan persekitaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan pantas serta sekurang-kurangnya 70 juta orang menghadapi kemiskinan melampau ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata UNDP telah melakukan transformasi digitalnya sendiri secara besar-besaran dengan perkongsian dengan syarikat-syarikat sektor swasta yang dapat menawarkan kepakaran.

“Kami mula menyaksikan beberapa manfaat, sama ada menggunakan ‘blockchain’ bagi mengesani pengeluaran coklat atau koko untuk pengguna, menggunakan kepintaran buatan atau menerusi pendanaan ramai dan ‘blockchain’ untuk mendanai pemasangan solar bagi tenaga boleh baharu, kami melihat potensi luar biasa teknologi digital ini untuk berkembang kukuh dan diguna pakai serta ia benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun antara kekangan besar yang disaksikan pihaknya di seluruh dunia adalah perlunya untuk merapatkan jurang digital.

Ketaksamaan yang disaksikan pada masa ini itu akan meningkat sekiranya tiada pihak yang mencari penyelesaian bagaimana cara untuk mencapai setiap orang, katanya.

“Jadi kita mesti menutup jurang digital dan kita perlu menggunakan pendekatan digital yang dapat merangkumkan seluruh penduduk dunia,” katanya.

Opp berkata model perkongsian awam-swasta berfungsi di pasaran namun tidak begitu diketahui dan kekurangan data.

Beliau berkata UNDP dibiayai secara awam, oleh yang demikian pihaknya berusaha memasuki ruang untuk melihat model perniagaan baharu dan bidang kerja yang dapat diteliti.

“Sebenarnya kami mempunyai seluruh bahagian organisasi yang melihat peluang pelaburan yang boleh direalisasikan dan menjadikan maklumat itu tersedia untuk pasaran.

“Ini kerana dalam beberapa kes, anda mungkin memerlukan sumber pendanaan awam seperti kerajaan atau Bank Dunia atau sumber seumpamanya untuk mengimbangi beberapa risiko apabila perniagaan menceburi bidang baharu yang kurang terbukti,” katanya.

Beliau berkata ia terutama apabila berkaitan dengan eksperimen teknologi dan menjajarkan kepentingan negara dengan kepentingan korporat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan perlu kongsi data kemiskinan digital – ahli akademik

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia menyaksikan lonjakan kebergantungan masyarakat terhadap Internet, penyertaan digital menjadi semakin penting untuk mengatasi ketidaksamaan digital.

Menyimpulkan bahawa jurang digital telah meluas dalam kalangan masyarakat di Malaysia, satu webinar yang diadakan hari ini mencadangkan agar kerajaan berkongsi data mengenai kemiskinan digital di negara ini.

“Ketersambungan Internet menjadi keperluan asas kepada masyarakat, justeru kerajaan harus memberi lebih tumpuan dalam menghapuskan jurang berkenaan,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Datuk Norma Mansor.

“Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), semestinya sedang berusaha memperbaiki infrastruktur ini. Ini kenyataan, kita sedang berkata tentang bagaimana (kekurangan pemilikan) peranti digital adalah bentuk kemiskinan yang baharu. Saya menggalakkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) atau e-Census akan datang, berkongsi dengan kita data mengenai sisi digital.

“Kemudahan asas harus menjadi teras pembangunan. Di Malaysia, kita masih ada kerja untuk dilakukan dan sudah tentu kawasan bandar mempunyai kemudahan yang berbeza. Pelaburan pada kemudahan asas kini perlu merangkumi infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

Norma adalah seorang daripada ahli panel dalam Webinar Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertajuk ‘Unpacking Malaysia’s New Poverty Line Income (PLI) & Multidimensional Poverty Index (MPI) 2020 Report Findings’, di sini.

Dalam webinar itu, Pengerusi bersama Malaysian CSO-SDG Alliance Datuk Dr Denison Jayasooria berkata Malaysia baru-baru ini mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) daripada RM980 kepada RM2,208 selepas 15 tahun, PLI di kawasan bandar sepatutnya RM3,280 dan ia secara tepat menggambarkan kemiskinan relatif yang diukur oleh pendapatan median.

”Jika pendapatan median masih digunakan untuk mengukur kemiskinan relatif, jadi pendapatan median yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sebenarnya RM6,561…bermaksud PLI untuk kawasan bandar sepatutnya RM3,280,” katanya menambah, angka itu tidak dapat menangani keadaan kehidupan secukupnya, khususnya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ucap tamanya berkata Covid-19 telah meningkatkan kepentingan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI), iaitu kunci dalam mengukur kemiskinan bukan wang.

MPI merangkumi empat dimensi iaitu pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan pendapatan, serta 11 indikator berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi untuk Malaysia.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Rebat Cukai Jika Amal Gaya Hidup Kurang Pencemaran

SHAH ALAM, 26 NOV: Pelbagai insentif ditawarkan kepada rakyat Selangor jika mengamalkan gaya hidup yang meminimakan pencemaran alam sekitar.

Insentif ini termasuk rebat cukai pintu untuk kediaman hijau, parkir percuma bagi kereta hybrid dan lain-lain.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut berusaha mengurangkan emisi karbon melalui beberapa projek mikro hidro dan menyediakan kemudahan yang berupaya menjana tenaga dari sisa-sisa buangan (RDF, Refuse Derived Fuel).

Demikian menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini.

“Di Selangor, Kerajaan Negeri berusaha menyediakan tapak bersesuaian serrta  menjemput pihak swasta mendirikan tapak penjanakuasa solar,” menurut kenyataan tersebut.

Projek mikro hidro yang dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Shell dan UNDP itu  dilaksanakan di Kampung Orang Asli di Hulu Selangor dan kemudahan  menjana tenaga dari sisa-sisa buangan pula diwujudkan di Kajang.

Kerajaan Negeri juga aktif berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Exco Pelaburan Negeri untuk menggalakkan usaha-usaha memulihara alam sekitar ini.

Kenyataan tersebut turut menyatakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) juga  menyediakan Garis Panduan Perancangan Kejiranan Hijau untuk bangunan hijau manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mengusahakan projek pembangunan yang mencapai taraf Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Kejayaan MBPJ memperolehi taraf GBI itu sekaligus melayakkannya menerima potongan dari Tabung Penambahbaikan Perkhidmatan (ISF) dan peningkatan nisbah plot (nisbah plot).

Kerajaan Negeri turut menandatangani persetujuan Cancun Statemenet of 2010 yang diusahakan The Climate Group sebagai tanda komitmen terhadap usaha pengurangan emisi karbon.