Categories
AGENDA NASIONAL

49 varian Omicron baharu dikesan, satu kes libat jangkitan tempatan

PUTRAJAYA, 25 DIS: Sebanyak 49 kes baharu jangkitan Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, menjadikan kumulatif kes varian berkenaan kini 62 kes.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan ia termasuk satu kes Covid-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak, semalam (24 Dis).

Beliau menjelaskan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 hingga 21 Dis sebelum 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

“Pada 24 Dis, 45 daripada 60 sampel presumptive ini disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) pula mengesan empat kes varian Omicron.

Mengulas mengenai kes kemungkinan jangkitan tempatan, Khairy berkata ia membabitkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

Katanya, lelaki tersebut menjalani ujian Covid-19 pada 18 Dis kerana mengalami demam dan batuk selama enam hari sebelum keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Dis.

Beliau berkata sampel kes dihantar ke IHCM, Unimas untuk ujian jujukan genom dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Dis.

“Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan lengkap vaksinasi dan berada dalam keadaan stabil.

Khairy berkata dua kontak dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial dengan kedua-dua mereka diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif Covid-19.

Khairy berkata berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan kes Covid-19 varian Omicron di Malaysia, KKM bersama lain-lain agensi mengambil tindakan memperkukuh kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan berisiko tinggi.

Katanya mulai 22 Dis, kerajaan Sarawak juga mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, serta wajib memiliki keputusan RTPCR yang negatif sebelum diberi pelepasan kuarantin.

Sementara itu, dalam kemeriahan sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Khairy mengingatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan serta melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri menggunakan RTK Ag sebelum menziarahi sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan taulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan sifar tempatan kali kedua di Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Gambar sebiji telur dimuat naik Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter mereka bagi menyatakan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dicatatkan di Malaysia semalam, telah mencetuskan satu ‘tarikan’ dalam media sosial.

Ramai yang menyatakan rasa syukur mereka dengan berita tersebut, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka tanpa mengenal penat lelah, dalam memerangi pandemik Covid-19.

Semalam Malaysia sekali lagi mencatatkan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dengan hanya tiga kes baru dilaporkan, kesemuanya kes import melibatkan rakyat Malaysia yang dijangkiti ketika berada di luar negara.

Foto Sumber: KKM

Pada 1 Julai lepas, Malaysia mencatatkan rekod dengan satu kes baru dan jangkitan tempatan sifar, yang merupakan jumlah kes jangkitan baru terendah sejak 18 Mac.

Bagaimanapun, sehingga vaksin untuk virus tersebut ditemukan, adalah penting bagi rakyat Malaysia terus berhati-hati dan mengambil tindakan pencegahan dalam membebaskan negara daripada penyakit merbahaya ini.

Seperti yang pernah dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia memerlukan 28 hari jangkitan sifar, sebelum boleh diisytiharkan bebas daripada pandemik tersebut.

Sementara itu, dengan situasi semasa Covid-19, kerajaan telah membenarkan empat lagi katogeri pelajar pusat pengajian tinggi untuk pulang ke kampus secara berperingkat bermula bulan ini dan pengambilan penuh pelajar pada Oktober.

Bagaimanapun, pelajar diminta untuk terus mengamalkan jarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri di kampus.

-BERNAMA