Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar bina 35,000 rumah mampu milik

abg is

PANDAN, 28 OGOS : Jawatankuasa Tetap Perumahan mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exconya, Ir. Iskandar Abdul Samad, berkata anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedang giat menyiapkan projek rumah mampu milik yang telah dilancarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita telah melancarkan beberapa projek seperti di Seksyen U12 Shah Alam, Ladang Air Manis Sabak Bernam, Antara Gapi, Serendah dan di Sutera Damansara,” katanya.

Beliau menjelaskan strategi perumahan mampu milik Kerajaan Negeri lebih terarah kerana ia menepati jangkauan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri adalah harga yang termahalnya adalah RM150,000, tapi kalau kita lihat Kerajaan Pusat, rumah PR1MA sampai RM300,000, jadi bermakna polisi Kerajaan Negeri lebih tepat berbanding Kerajaan Pusat,” katanya lagi.