Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Cara jimat elektrik semasa cuaca panas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga bulan depan boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, oleh itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan panduan bagi menjimatkan tenaga elektrik di waktu cuaca panas.

Antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Menurut panduan itu, ketika cuaca panas terik tindakan menutup tingkap dengan langsir tebal boleh menghalang haba masuk dan bebankan pendingin hawa, semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan, suhu bilik akan berada dalam keadaan selesa dan menetapkan masa untuk mematikan penyaman udara juga boleh menjimatkan penggunaan elektrik.

TNB dalam kenyataan turut menekankan, cuaca yang panas ini boleh dimanfaatkan dengan menjemur pakaian daripada menggunakan mesin pengering pakaian dan elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

Pengguna digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Meter Pintar berupaya memantau penggunaan elektrik secara langsung, oleh itu, pengguna boleh mengendalikan tenaga dengan lebih efisien kerana meter ini boleh menghantar maklumat penggunaan tenaga kepada pengguna.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Kempen ‘Saya Mula’ didik penjawat awam berjimat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 JAN: Penjawat awam menyambut baik kempen ‘Saya Mula’ anjuran Kerajaan Negeri yang secara khusus mendidik sikap lebih prihatin dan berhemah dalam penggunaan peralatan elektrik dan air di pejabat.

Ketua Pembantu Tadbir, Bahagian Audit Dalam, Sulasmiwati Satari, 45 berkata kempen berkenaan menunjukkan Kerajaan Negeri serius memastikan setiap sen belanja mengurus dibuat dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab.

SULASMIWATI SATARI, 45“Sebelum ini, usaha penjimatan utiliti telah pun dimulakan di pejabat kami menerusi amalan 5S yang mana pesalah akan dikenakan denda RM2 untuk setiap kesalahan gagal berjimat.

“Dengan kempen ‘Saya Mula’ sudah tentu kami akan lebih prihatin mempraktikan amalan berjimat ini,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri, Yusnaiza Noor Mohd Yusof, 34, berkata saranan Kerajaan Negeri untuk mengamalkan penjimatan ekoran kelembapan ekonomi tahun ini sebagai satu yang tepat pada masanya.

YUSNAIZA NOOR MOHD YUSOF“Kempen ini wajar dipraktikan dan hasil penjimatan itu nanti boleh disalurkan untuk perkara yang lebih sebagai persediaan menempuh ekonomi getir.

“Ia pendekatan menegur yang bijak, penjawat awam sedia maklum untuk berjimat dan mungkin sebelum ini sedikit leka,” katanya.

Pegawai Khidmat Pelanggan Bangunan SSAAS, Addila Masuon, 43, kempen itu bukan sahaja terpakai dalam menguruskan perbelanjaan jabatan, bahkan wajar dipraktikan di rumah untuk kelangsungan perbelanjaan bulanan yang lebih cekap.

ADDILA MASUON, 43“Suatu kempen bagus dan ia boleh dipraktikan di rumah dalam mendidik anggota keluarga terutamanya anak-anak berjimat menggunakan peralatan elektrik dan air.

“Walaupun usaha ini kecil, tetapi dengan keterlibatan semua pihak, hasilnya akan positif,” katanya.

EZY