Categories
AGENDA NASIONAL

TNB lepasi sasaran, pasang lebih 1.8 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Lebih 1.8 juta unit meter pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipasang, sekali gus mencapai matlamat pemasangan meter itu dalam usaha menambah baik perkhidmatan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata TNB berjaya melepasi sasaran memasang 1.8 juta meter itu sebelum penghujung 2021 hasil kerjasama pengguna dan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Suruhanjaya Tenaga, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Terima kasih kepada pengguna di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka, yang memberikan kerjasama hingga kami berjaya memasang lebih 1.8 juta meter pintar.

“Kejayaan ini membolehkan TNB mendukung usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna melalui penyediaan akses, ketelusan dan kawalan penggunaan tenaga lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemasangan meter pintar adalah satu daripada inisiatif Grid Masa Depan iaitu TNB perlu membuat pelaburan semula berjumlah RM9 bilion hingga RM10 bilion setiap tahun bagi memodenkan Grid Nasional.

“Grid Masa Depan mengadaptasi teknologi pintar, automatik dan digital bagi memastikan kecekapan, keboleharapan dan kelestarian yang maksimum di samping menyokong kelestarian tenaga masa depan,” katanya.

Baharin berkata melalui meter pintar itu serta gabungan portal dan aplikasi myTNB, pengguna boleh memantau corak penggunaan dalam Ringgit Malaysia atau kilowatt-jam (kWj), melihat notifikasi penggunaan semasa pada hujung kitaran bil, dan impak penggunaan tenaga terhadap alam sekitar.

Pengguna boleh mengamalkan tip kecekapan tenaga yang boleh dilayari di http://www.tnb.com.my/ untuk memanfaatkan maklumat meter pintar dan mengurangkan pelepasan jejak karbon.

TNB mula memasang meter pintar sejak empat tahun lepas di Melaka dan pemasangannya akan diperluaskan di Semenanjung secara berperingkat supaya 9.1 juta pelanggannya akan mendapat manfaat meter pintar menjelang 2026.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak penyamar, hubungi TNB sahkan identiti pemasang meter pintar

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemilik rumah boleh menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mendapatkan pengesahan pengenalan diri pemasang meter pintar bagi mengelak penyamaran oleh pihak tertentu bagi tujuan tidak baik.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata mengikut prosedur, setiap pemilik kediaman yang terlibat dengan pemasangan meter pintar akan menerima notis sebelum pemasangan dilakukan sebagai langkah pemakluman dan temu janji.

“Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 sekiranya mereka ragu-ragu dan ingin mendapatkan pengesahan,“ katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata bagi kediaman bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, makluman pemasangan akan dibuat menerusi persatuan penduduk atau badan pengurusan bersama (JMB) bangunan sebelum pemasangan dilakukan.

Justeru, katanya pemilik rumah berhak dan wajib menghalang mana-mana petugas pemasangan meter pintar yang meragukan, tidak memakai pakaian seragam atau menunjukkan kad pengenalan diri.

Beliau berkata setiap petugas pemasangan meter pintar itu juga diwajibkan memakai pakaian seragam berwarna oren dan vest serta perlu menunjukkan kad pengenalan diri yang membuktikan mereka adalah kontraktor pemasangan meter pintar TNB.

“Pemasangan meter pintar yang kini giat dilaksanakan di Lembah Klang adalah percuma dan hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk dipasang,” katanya menambah kerja-kerja pemasangan meter pintar ini akan dilakukan sepasukan dua petugas bertauliah dan terlatih.

“Mereka terdiri sama ada dalam kalangan kakitangan TNB sendiri atau kontraktor yang dilantik,” kata Mohamed Ghous.

Menurut beliau bacaan meter pintar juga adalah tepat dengan setiap meter diuji serta ditentukur berdasarkan piawaian oleh SIRIM; mematuhi Akta Timbang dan Sukat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; serta menerima sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sistem komunikasi meter pintar pula disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan meter pintar dalam usaha kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat dan dilaksana di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Cara jimat elektrik semasa cuaca panas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga bulan depan boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, oleh itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan panduan bagi menjimatkan tenaga elektrik di waktu cuaca panas.

Antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Menurut panduan itu, ketika cuaca panas terik tindakan menutup tingkap dengan langsir tebal boleh menghalang haba masuk dan bebankan pendingin hawa, semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan, suhu bilik akan berada dalam keadaan selesa dan menetapkan masa untuk mematikan penyaman udara juga boleh menjimatkan penggunaan elektrik.

TNB dalam kenyataan turut menekankan, cuaca yang panas ini boleh dimanfaatkan dengan menjemur pakaian daripada menggunakan mesin pengering pakaian dan elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

Pengguna digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Meter Pintar berupaya memantau penggunaan elektrik secara langsung, oleh itu, pengguna boleh mengendalikan tenaga dengan lebih efisien kerana meter ini boleh menghantar maklumat penggunaan tenaga kepada pengguna.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

– BERNAMA