Categories
AGENDA SUKANKINI

Gagal di Piala AFF, Cheng Hoe letak jawatan jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah melepaskan jawatannya berikutan “kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020” di Singapura bulan lepas, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata Cheng Hoe telah menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas perbincangan secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad bawah-20 tahun kebangsaan pada 2005.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jurulatih berusia 53 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun, bawah 23 tahun dan Harimau Muda A, sebelum gandingan mantap selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal menyaksikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Cheng Hoe yang kemudian menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah bermula 2014-2017, membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia (Liga-M) apabila membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe kemudian kembali ke FAM pada 2017 selaku penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun sama.

Sebagai pengendali Harimau Malaya, beliau berjaya corak permainan skuad kebangsaan sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 dan meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, sebelum cabaran pandemik COVID-19 menganggu jadual kejohanan itu.

Pada Piala AFF 2020 bermula 5 Dis hingga 1 Jan ini, skuad kendalian Cheng Hoe yang kekurangan persediaan, gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen di kedudukan ketiga berikutan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dan 4-1 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan B, selain mencatatkan kemenangan 3-1 dan 4-0 masing-masing ke atas Kemboja dan Laos.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perkenal surat aku janji kepada jurulatih, elak insiden Ziyad di Tokyo berulang

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memperkenalkan surat aku janji kepada barisan jurulatih sebagai langkah proaktif bagi memastikan insiden menimpa jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak berulang.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata inisiatif itu juga bagi memupuk sifat profesionalisme dalam kalangan jurulatih serta atlet supaya mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih teliti dan efektif.

Beliau berharap langkah tersebut yang akan mula diguna pakai pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain, Disember ini, dapat menghindari tragedi malang seperti dilalui Muhammad Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun di Tokyo, Ogos lepas.

“Surat aku janji merupakan satu garis panduan atau checklist yang menyenaraikan tujuan atlet dan jurulatih serta peranan mereka dalam pertandingan tersebut. Saya juga nak memastikan atlet yang bertanding khususnya di luar negara tidak mengambil kesempatan mengambil cuti peribadi dan mengabaikan tugas mereka.

“Selain itu, atlet dan jurulatih tersebut boleh disabitkan di mahkamah jika didapati melanggar mana-mana peraturan yang tertakluk dalam surat itu,” katanya pada sidang media majlis pelancaran AYPG 2021 dan Sukan Para Asia 2022 hari ini.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Megat D Shahriman berkata MPM enggan meletakkan tekanan tinggi kepada kontinjen negara yang rata-rata dibarisi atlet pelapis di AYPG 2021 apabila tidak menyasarkan sebarang sasaran pingat di temasya yang akan berlangsung di Manama itu.

Beliau mengakui agak sukar untuk mengulangi pencapaian lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa ketika edisi 2017 di Dubai, namun percaya ia adalah platform kepad atlet baharu menguji dan membuktikan keupayaan mereka.

AYPG 2021 dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Dis, manakala Sukan Para Asia 2022 akan diadakan di Hangzhou, China pada 9 hingga 15 Okt.

Seramai 14 atlet negara bakal mengambil bahagian di AYPG 2021 dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, renang, ping pong, boccia, badminton dan powerlifting.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman berkata bekas Setiausaha Agung MPM Siti Zaharah Abdul Khalid dilantik sebagai Chef De Mission (CDM) ke AYPG 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beasley lebih daripada jurulatih bagi saya – Azizulhasni

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang merakamkan penghargaan kepada jurulatihnya John Beasley dan pasukannya, yang selama ini bekerja keras membantu beliau meraih pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ahad lalu.

Pelumba berusia 33 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, Beasley merupakan watak yang amat penting di sebalik kejayaannya selama ini, dan telah banyak berkorban deminya.

“Terima kasih kepada Beasley serta isterinya Vicky Beasley. Walaupun lahir sebagai seorang Mat Salleh Aussie, tetapi jiwa beliau sangat dekat dengan Malaysia. Orang luar tidak dapat bayangkan akan pengorbanan beliau untuk saya dan juga sukan lumba basikal negara kita.

“Teringat zaman muda remaja dahulu, ketika atas kapal terbang Beasley selalu bagi ‘flight meal’ beliau kepada saya dan katanya dia tidak lapar. Saya naif dan percaya bulat-bulat, walhal beliau nak saya tambah berat badan dan makan dengan cukup.

“Beliau sangatlah dihormati di arena lumba basikal antarabangsa, dan juga sentiasa menjadi rebutan negara-negara lain akan tetapi beliau taat dengan Malaysia. Beasley bukan hanya seorang jurulatih kepada saya, tetapi lebih dari itu,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Mohd Azizulhasni, yang sedang menjalani kuarantin di sebuah hotel selepas pulang dari Jepun semalam, turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya, Team Azizul yang sanggup bersama-sama meredah onak dan duri.

Antaranya ialah pengurus pasukan/penyelaras (team manager/coordinator) Izham Mohammad yang berperanan melancarkan banyak urusan belakang tabir, pembantu jurulatih Harnizam Basri, ahli fisioterapi Mollynica Juanis, dan pakar sains sukan Chee Lee Ming.

Juara dunia keirin 2017 itu, tidak melupakan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Anis Amira Rosidi, yang sentiasa bersama-samanya ketika senang mahupun susah.

“Kami sentiasa ‘push each other’ dalam latihan, manakala di luar latihan pula kami saling membantu sesama sendiri untuk menuju ke puncak. ‘Iron sharpens iron’, untuk menjadi seorang yang bagus, kita perlu di kelilingi oleh orang-orang yang bagus, dan kita kena bersaing sesama sendiri secara positif.

“Untuk membentuk satu legasi yang hebat, kita perlu sama-sama membantu menaikkan orang di sekeliling kita, dan saya tersangatlah anti dengan mentaliti menjatuhkan orang lain dan sikap ‘akulah paling bagus dalam dunia ini’. Saya harap ketiga-tiga nama yang saya sebut ini akan bersama-sama dengan saya di Paris 2024 nanti, tiga tahun lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jurulatih pastikan atlet negeri cergas, berat badan kekal

SHAH ALAM, 9 FEB: Jurulatih di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu mengemukakan laporan kecergasan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutifnya berkata laporan secara berkala penting untuk memastikan berat badan atlet tidak naik serta mengikut jadual pemakanan sepanjang berada di rumah.

“Jurulatih akan menyediakan laporan berserta gambar dan rakaman video atlet berlatih di rumah. Kita tidak mahu atlet mengalami kesukaran untuk menyambung semula latihan intensif yang disediakan jurulatih sebelum PKP,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan kunci kejayaan atlet adalah disiplin tinggi dan tidak berputus asa.

Sebelum ini, MSN Selangor turut menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor nilai prestasi jurulatih setiap bulan, pastikan capai sasaran

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah eksekutifnya berkata penilaian itu untuk memastikan pengendali dilantik bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan elaun jurulatih dan atlet juga dibayar mengikut laporan kehadiran serta latihan yang dikemukakan kepada MSN pada setiap bulan.

“Kita memahami keadaan atlet yang berdepan keadaan tidak menantu susulan pembatalan SUKMA 2020 dan pelbagai kejohanan lain, namun atlet yang hebat berusaha mengekalkan prestasi pada setiap masa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata MSN bakal menilai semula program latihan atlet susulan penundaan beberapa kejohanan berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei belum bersedia jadi jurulatih

IPOH, 17 OGOS: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata beliau belum bersedia menerima tawaran menjadi jurulatih skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini dan sebaliknya, ketika ini mahu meluangkan masa bersama keluarga, dan melakukan kerja kebajikan.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada beri tawaran, tetapi buat sementara ini saya mahu menghabiskan masa untuk keluarga … dalam masa setahun ini, saya mahu fokus kepada apa yang saya boleh buat melalui kerja kebajikan, serta menjadi ‘chef-de-mission’ (CDM) negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi ‘Temu Mesra bersama Wira Badminton Malaysia’ di Akademi Badminton Datuk Wira Lee Chong Wei, di sini hari ini.

“Masih banyak yang saya perlu belajar untuk jadi CDM ini, dulu saya atlet, sekarang saya pegawai dan saya perlu melihat atlet-atlet lain, selain daripada sukan badminton,” katanya.

Pada 13 Jun lepas, Chong Wei mengumumkan persaraan selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Chong Wei, bekas pemain nombor satu dunia, mendambakan 19 tahun hidupnya sebagai pemain badminton profesional, dan menempa nama dalam sukan itu sebagai antara jaguh dunia yang disegani.

Antara pencapaian Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir Chong Wei merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018, yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

-BERNAMA

Kontroversi Red Giants : Banyak lagi perlawanan, jangan salahkan pemain

Rentetan kontroversi yang melanda pasukan Selangor, penyokong tidak mahu melatah, beri sokongan kepada pemain dan jurulatih