Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas atlet para menang tujuh emas tidak harap bantuan, berdikari jual tisu

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Bekas perenang para negara, Koh Lee Peng memberitahu beliau sendiri yang memilih untuk menjual barangan kecil dan kantung tisu supaya dapat hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain sepanjang masa.

Pemenang tujuh pingat emas Sukan Para ASEAN (APG) itu yang bergerak dengan bantuan kerusi roda, turut meminta orang ramai dan netizen supaya mengelak membuat tuduhan tidak berasas tanpa mengetahui cerita sebenar, selain mengakui menerima bantuan daripada beberapa pihak sebelum ini.

“Ada juga menerima tawaran menjadi jurulatih, tetapi saya tidak mahu kerana masa saya sudah berlalu. Saya bukannya terbiar atau tidak ada rumah sendiri, cuma tidak mahu menganggu adik-beradik kerana mereka pun sudah ada keluarga sendiri.

“Saya sudah biasa kerja kilang dan sebagainya, tidak mahu lagi bekerja dengan orang lain, macam mana kalau OKU (orang kurang upaya) sendiri tak faham kesusahan OKU. Saya memang nak buat perniagaan sendiri dan tidak malu dengan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan Bukit Bintang hari ini.

Beliau turut meminta semua pihak supaya tidak menyusahkan beliau dengan berjanji untuk membantunya dan mengambil maklumatnya tetapi janji tinggal janji tanpa sebarang bantuan diberikan, selain berharap tidak dilayan dengan kasar ketika melakukan perniagaan di kawasan tumpuan orang ramai.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker serta Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed melawat dan menyampaikan sedikit bantuan wang tunai dan hamper sempena Tahun Baharu Cina kepada Lee Peng.

Sebelum ini, tular di media sosial dan dilaporkan dalam media bahawa Lee Peng, pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak ketika mewakili negara di APG dari 2001 hingga 2005 terpaksa menjual kantung tisu di kawasan Bukit Bintang demi kelangsungan hidupnya dan kononnya tiada pihak yang membantunya selama ini.

Sementara itu, Ti menjelaskan bahawa Lee Peng menjalankan perniagaannya di ibu negara sambil mengikuti rakannya ke kursus di sebuah syarikat penapis air selama tiga minggu di sini dan bakal pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang esok berikutan kursusnya tamat.

“Beliau ke sini bersama rakannya (yang dikenali sebagai Andrew) untuk mengikuti kursus dan perniagaan ini adalah kemahuan sendiri tanpa mengharapkan simpati daripada orang ramai. Mereka berdua juga memiliki syarikat berdaftar (enterprise) yang cukup untuk membantu lapan lagi OKU di bawahnya.

“Jadi untuk mengatakan kerajaan tidak menolong dan mengambil berat mengenai dirinya adalah tidak benar sama sekali. Kita juga ada bagi peluang dan tawaran kepadanya sebelum ini menerusi YAKEB, namun beliau memilih untuk berdikari sendiri.

Bila isu ini diviralkan, beliau (Lee Peng) tidak gembira dengan situasi ini dan rasa terhina, beliau mengharapkan orang ramai menghormatinya,” kata beliau.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemenang Paralimpik Tokyo kekal juara angkat berat dunia di Georgia

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Juara Sukan Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin mempamerkan aksi membanggakan untuk kekal sebagai juara dunia di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya dalam kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan 210kg sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada 2019 di Kazakhstan.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Hu Peng yang meraih perak dengan angkatan 196kg manakala atlet Mesir, Shaaban Ibrahim memenangi gangsa dengan angkatan 195kg.

“Saya sangat gembira selepas kemenangan di Tokyo hari itu dan ini adalah kemenangan kedua saya di Kejohanan Dunia. Cuma kali ini tidak dapat pecahkan rekod,” katanya dalam temu bual menerusi laman Twitter Persekutuan Powerlifting Paralimpik Antarabangsa.

Walaupun angkatan dilakukan lebih rendah berbanding rekod dunia iaitu 230kg dicatatkan ketika Piala Dunia 2021 pada Jun, Bonnie Bunyau masih boleh berbangga kerana melepasi angkatan dilakukan pada edisi 2019 yang mengangkatnya sebagai juara dunia dengan angkatan 207kg dalam kategori 65kg.

Bonnie Bunyau meraih pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas memecahkan rekod temasya itu dengan angkatan 228kg.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perkenal surat aku janji kepada jurulatih, elak insiden Ziyad di Tokyo berulang

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memperkenalkan surat aku janji kepada barisan jurulatih sebagai langkah proaktif bagi memastikan insiden menimpa jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak berulang.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata inisiatif itu juga bagi memupuk sifat profesionalisme dalam kalangan jurulatih serta atlet supaya mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih teliti dan efektif.

Beliau berharap langkah tersebut yang akan mula diguna pakai pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain, Disember ini, dapat menghindari tragedi malang seperti dilalui Muhammad Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun di Tokyo, Ogos lepas.

“Surat aku janji merupakan satu garis panduan atau checklist yang menyenaraikan tujuan atlet dan jurulatih serta peranan mereka dalam pertandingan tersebut. Saya juga nak memastikan atlet yang bertanding khususnya di luar negara tidak mengambil kesempatan mengambil cuti peribadi dan mengabaikan tugas mereka.

“Selain itu, atlet dan jurulatih tersebut boleh disabitkan di mahkamah jika didapati melanggar mana-mana peraturan yang tertakluk dalam surat itu,” katanya pada sidang media majlis pelancaran AYPG 2021 dan Sukan Para Asia 2022 hari ini.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Megat D Shahriman berkata MPM enggan meletakkan tekanan tinggi kepada kontinjen negara yang rata-rata dibarisi atlet pelapis di AYPG 2021 apabila tidak menyasarkan sebarang sasaran pingat di temasya yang akan berlangsung di Manama itu.

Beliau mengakui agak sukar untuk mengulangi pencapaian lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa ketika edisi 2017 di Dubai, namun percaya ia adalah platform kepad atlet baharu menguji dan membuktikan keupayaan mereka.

AYPG 2021 dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Dis, manakala Sukan Para Asia 2022 akan diadakan di Hangzhou, China pada 9 hingga 15 Okt.

Seramai 14 atlet negara bakal mengambil bahagian di AYPG 2021 dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, renang, ping pong, boccia, badminton dan powerlifting.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman berkata bekas Setiausaha Agung MPM Siti Zaharah Abdul Khalid dilantik sebagai Chef De Mission (CDM) ke AYPG 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas atlet para kerja di stesen minyak tolak jawatan di MSN

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Majlis Sukan Negara (MSN) pernah menawarkan jawatan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Mohd Raduan Emeari yang tular dalam media sosial kerana bekerja di stesen minyak, namun ditolak bekas atlet itu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata tawaran kerja di MSN untuk membantu skuad negara, ditolak oleh bekas atlet pecut yang pernah beraksi di Sukan Paralimpik Beijing 2008 itu atas alasan komitmen kepada keluarganya.

Menurut Ahmad Shapawi, setelah digugurkan daripada Program Podium pada penghujung 2017, Mohd Raduan juga tidak menyertai mana-mana kejohanan kerana ingin memberi fokus kepada keluarganya, memandangkan beliau mempunyai isteri dan seorang anak.

“Namun, beliau telah dilantik sebagai penggerak sukan olahraga para bermula pada 2020 hingga kini dengan bayaran sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu MSN mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan itu di Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata Mohd Raduan mula terlibat dalam program MSN secara separuh masa pada 2007 dengan kadar elaun bulanan sebanyak RM500, sebelum diserap sebagai atlet sepenuh masa bermula 2009 dengan elaun antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada pencapaian prestasi semasa di temasya sukan hingga 2015.

“Bermula 2016, Mohd Raduan telah ditawarkan kemasukan ke Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dengan elaun berjumlah RM4,500 sebulan sehingga beliau tidak lagi berada dalam program atas faktor prestasi pada hujung 2017,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial mengenai Mohd Raduan yang bekerja di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor, yang turut mempersoalkan ketiadaan insentif penghargaan atau kerja untuk meneruskan kehidupan atlet selepas bersara.

Bekas pelari pecut berusia 39 tahun itu pernah mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN (APG) Filipina 2005, Korat 2007, Solo 2011, Naypyitaw 2013, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 telah menyumbangkan lima pingat emas.

Beliau juga pernah beraksi di Sukan Para Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014, selain Paralimpik Beijing 2008.

Menurut Ahmad Shapawi lagi, pihak MSN juga bekerjasama rapat dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk berjumpa dengan bekas atlet bagi sebarang bantuan yang ingin dipohon dalam lingkungan kemampuan MSN.

“Pihak Yakeb juga telah berjumpa dengan beliau semalam bagi menawarkan kursus asas perniagaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan pihak Yakeb akan membantu sekiranya Mohd Raduan berminat untuk memulakan perniagaan.

“Pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN melalui pihak Yakeb akan terus bersikap positif membuka ruang dan peluang terbaik yang boleh kami ketengahkan bersama pihak berkepentingan yang lain bagi terus membantu bekas-bekas atlet negara untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bersara daripada menjadi atlet negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah dua atlet para raih pingat emas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada dua atlet para negara yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kejayaan jaguh badminton Cheah Liek Hou dan lompat jauh Abdul Latif Romly sebagai membanggakan.

“Sekalung tahniah buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang berjaya menggenggam pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020! Beliau menjadi pemenang emas sulung dalam badminton yang pertama kali dipertandingkan dengan kemenangan straight set!

“Tahniah @LatifRomly berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sekaligus mempertahankan pingat yang dimenangi beliau di Rio 2016. Syabas Latif!,” tulisnya menerusi dua hantaran Twitter.

Dalam aksi akhir berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, Liek Hou yang turun bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia Dheva Anrimusthi 21-18, 21-15.

Kemenangan pemain berusia 33 tahun itu lebih manis kerana ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia membabitkan orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, Latif yang berusia 24 tahun menepati sasaran ditetapkan apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter(m) pada percubaan kedua dalam aksi akhir di Stadium Olimpik Tokyo.

Setakat hari ke-11 temasya, Malaysia menghuni kedudukan ke-39 dengan mengumpul lima pingat iaitu tiga emas dan dua perak.

Categories
AGENDA NASIONAL

106 OKU termasuk atlet para dapat keperluan asas

PETALING JAYA, 14 OGOS: Seramai 106 orang kelainan upaya (OKU) termasuk atlet sukan para yang terkesan akibat Covid-19, menerima sumbangan bekalan keperluan harian dan baucar barangan runcit, menerusi program dianjurkan Persatuan Olahraga Para Selangor, hari ini.

Program itu merupakan kerjasama antara persatuan berkenaan bersama Kelab Kiwanis Klang dan kEATchen, selain mendapat sokongan Persatuan Boccia Selangor dengan sasaran mengurangkan beban ditanggung golongan OKU, dalam tempoh mencabar susulan pandemik Covid-19.

Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang dijemput hadir memberikan sumbangan tersebut, melahirkan rasa syukur dengan usaha murni dilakukan itu.

Jelas Ras Adiba, tidak semua OKU terutama bekas atlet para negara berada dalam program bantuan sedia ada, sekali gus beliau menyeru semua pihak berganding bahu memastikan tiada seorang pun yang berada dalam kesulitan, akan tercicir daripada dibantu.

“Inilah masanya untuk kita berganding bahu, membantu sahabat-sahabat kita kerana mereka kini ada yang tiada kerja, justeru semua rakyat Malaysia kena membantu OKU…atlet dan bukan atlet, kerana memang susah sangat mereka di luar sana,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di perkarangan pejabat Persatuan Boccia Selangor itu adalah, Presiden Kelab Kiwanis Klang Rodney Rash Leo dan ‘Chief Overeating Officer’ kEATchen Ivan Chan.

“Kita mengharapkan lebih ramai individu tampil membantu golongan yang memerlukan selain kami turut mengalu-alukan mereka yang ingin membantu menerusi kelab kami,” kata Rodney.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

200 bekas, atlet para negara terima sumbangan raya

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan kuih dan duit raya kepada kira-kira 200 bekas atlet dan atlet para negara yang kurang bernasib baik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO sukan.

Khairuddin Othman berkata pemberian sempena Aidilfitri itu juga sebagai penghargaan kepada mereka dan simbolik bahawa Selangor tidak pernah meminggirkan walaupun sudah bergelar bekas atlet.

“Kita menghargai jasa bekas atlet dan atlet para yang pernah mengharumkan nama Selangor dan Malaysia, jadi sumbangan ini diharap mampu mengembalikan keceriaan mereka menyambut ketibaan Syawal,” katanya pada Program Ziarah Kasih Aidilfitri di Lobi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor di sini hari ini.

Kesemua atlet menerima sumbangan adalah bernaung di bawah Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron), Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MsDeaf), Persatuan Orang Buta Selangor (Pesrob) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan diadakan dua hari di beberapa lokasi termasuk Lobi MSN Selangor, Shah Alam, Ibu Pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Brieckfields, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Yakeb, Bukit Kiara.