Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Ajax singkir Juventus ke separuh akhir

OLEH AFIX REDZUAN

TURIN, 17 APR: Ajax Amsterdam terus melakar kejutan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Juventus menerusi agreget 2-3 awal pagi tadi.

Skuad muda Erik Tan Hag yang terikat 1-1 di laman sendiri minggu lalu mencipta kebangkitan di gelanggang lawan apabila menang 1-2.

Cristiano Ronaldo terlebih dahulu meletakkan Juventus di hadapan menerusi tandukan padu di minit ke-28 hasil sepakan penjuru Miralem Pjanic.

Selang enam minit kemudian, Donny Va De Beek yang berjaya melepasi perangkap offside menyamakan kedudukan 1-1 selepas mudah merembat masuk bola hasil lorongan Hakim Zitech.

Ketika Juventus ghairah mencari gol kedua, Matthijs De Ligt memberikan kelebihan gol di tempat lawan buat Ajax apabila berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Lasse Schoene bagi kedudukan 1-2.

Jaringan pada minit ke-67 itu nyata merentap semangat skuad bimbingan Massimiliano Allergi yang berusaha mencari gol sehingga wisel penamat sekali gus mengakhiri penantian Ajax mara ke suku akhir selepas 22 tahun.

Ajax dijangka bertemu pemenang antara dua pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Tottenham Hotspur di separuh akhir.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE (UCL)

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Serie A: Ronaldo pastikan Juventus kukuh di persada liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 28 JAN: Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi penyelamat Juventus bagi memastikan kedudukan pasukan utuh di persada liga dengan kemenangan tipis 2 – 1 kepada Lazio awal pagi tadi.

Jaringan minit akhir permainan itu memastikan Juventus terus melebarkan kedudukan di persada liga dengan kelebihan 11 mata di hadapan pencabar terdekat, SS Napoli yang sekadar seri tanpa jaringan bertemu AC Milan.

Lazio terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-59 menerusi jaringan sendiri Emre Can selepas beliau tertampan bola sepakan sudut pasukan tuan rumah.

Joao Cancelo menyamakan kedudukan 1-1 buat Juventus pada minit ke-74 selepas mudah melorongkan bola ke gawang Lazio susulan kegagalan penjaga gol, Thomas Strakosha menampan keluar percubaan awal Paulo Dybala.

Masuk minit ke-88, Ronaldo dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Strakosha bagi jaringan kemenangan Juventus di gelanggang lawan.

 

Kredit Foto: Facebook Juventus

Categories
SUKANKINI

Gianlugi Buffon ucap selamat tinggal kepada Juventus

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 MEI: Penjaga gol Itali, Gianlugi Buffon mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus selepas berkhidmat hampir 17 tahun dengan kemenangan bergaya 2-1 ke atas Hellas Verona dalam perlawanan terakhir Serie A musim 2017/18 semalam.

Berusia 40 tahun, Buffon akhirnya mengumumkan akan meninggalkan Bianconeri selepas melakar pelbagai kejayaan bersama kelab berpengkalan di Turin, Itali itu.

Selaku ketua pasukan, beliau beraksi selama 63 minit dalam perlawanan terakhir sebelum digantikan oleh Carlo Pinsoglio dengan dua jaringan Juventus dihasilkan Daniele Rugani (min-49) dan Miralem Pjanic (min-52) sementara gol tunggal Verona menerusi Alessio Cerci (min-76).

Buffon turut diberikan penghormatan untuk menjulang Piala Serie A yang dimenangi Juventus buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2011.

Melakukan 509 penampilan, beliau yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Itali itu telah memenangi pelbagai kejuaraan kecuali Piala Liga Juara-Juara Eropah bersama Juventus sejak berpindah dari kelab Parma pada 2001 dengan rekod perpindahan tertinggi bagi seorang penjaga gol bernilai 52 Juta Euro.

Buffon turut setia bersama Juventus ketika zaman kejatuhan kelab apabila terpaksa beraksi dalam Serie B selepas pasukannya terlibat dalam skandal mengatur perlawanan pada 2006.

 

Mula memegang lilitan ketua pasukan selepas persaraan Alessandro Del Piero pada 2012, Buffon telah memenangi sembilan kejuaraan Serie A, empat piala Coppa Italia dan lima Supercoppa Italiana.

Dengan 176 penampilan bersama skuad Itali dengan penampilan pertama pada 1997, beliau berjaya menjulang Piala Dunia pada 2006 di Jerman selepas menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.

 

Kredit Foto: Facebook Juventus & Google

Categories
SUKANKINI

Serie A: Napoli terus hambat Juventus

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 23 APR: SSC Napoli terus menghambat Juventus dalam siri memburu kejuaraan Serie A Itali apabila menang 0-1, di Allianz Stadium, awal pagi tadi.

Beraksi di gelanggang lawan, jaringan tunggal hasil tandukan Kalidou Koulibaly pada minit ke-90 sudah cukup meranapkan impian Juventus di laman sendiri bagi menjarakkan kedudukan di hadapan Napoli.

Pasukan pelawat menguasai hampir 56 peratus permainan dengan 13 percubaan ke gawang Juventus.

Dengan baki empat lagi perlawanan, Juventus kekal mendahului Serie A Itali dengan 85 mata, kelebihan satu mata di hadapan Napoli.

Kredit Foto: Facebook SSC Napoli

Categories
SUKANKINI

UCL: Kecemerlangan Ronaldo bawa jaringan selesa Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 APR: Cristiano Ronaldo memastikan Real Madrid membawa jumlah jaringan selesa pada aksi pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Juventus 0-3.

Pemain Portugal itu meledak jaringan seawal minit ketiga apabila berjaya menampan hantaran Isco bagi meletakkan Real Madrid di hadapan 0-1.

Bersambung babak kedua, Ronaldo menjadikan kedudukan 0-2 buat Real Madrid apabila melakukan sepakan gunting yang berjaya menewaskan penjaga gol, Gianlugi Buffon pada minit ke-62.

Ini merupakan jaringan ke-10 berturut-turut buat penyerang Real Madrid itu dalam kancah UCL musim ini.

Malang menimpa Juventus pada minit ke-66 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Paolo Dybala diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua perlawanan.

Peluang itu dimanfaatkan skuad bimbingan Zinedine Zidane apabila Marcelo meledak gol ketiga Real Madrid pada minit ke-72 selepas memperdaya Buffon sebelum mudah menolak bola ke gawang lawan.

Kedudukan 0-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan akan bertemu di Santiago Bernabeu bagi perhitungan kedua minggu hadapan.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
SUKANKINI

Juventus mahu lunas dendam, Real enggan dibuai mimpi

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 APR: Dua finalis 2016/17, Juventus dan Real Madrid akan membuat perhitungan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Di atas kertas kelebihan pastinya berpihak kepada Real Madrid yang turun selaku juara bertahan selepas menafikan hasrat Juventus pertengahan Mei lalu di Cardiff dengan kemenangan selesa 4-1.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Juventus adalah pasukan terakhir yang menyekat kemaraan Real Madrid pada 2015 sebelum mereka dikecewakan Barcelona di perlawanan akhir.

Bahkan Real Madrid sendiri tidak pernah berjaya menewaskan Juventus dalam emat pertembungan timbal balik pada musim 1995/96, 2002/03, 2004/05 dan 2014/15.

Tetapi kedua-dua pasukan bakal turun dengan momentum kemenangan selepas menewaskan lawan masing-masing dengan jaringan tiga gol dalam aksi domestik hujung minggu lalu.

Memetik laporan UEFA.com. Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menyifatkan kejayaan menewaskan Real Madrid pastinya satu kebanggan memandangkan mereka adalah pasukan pilihan dalam saingan Liga Juara-Juara.

“Ini malam gala buat kami (Juventus) dan penyokong pastinya akan bangga dengan pasukan yang berjaya mara ke dua perlawanan akhir dalam tempoh tiga tahun. Kami memerlukan sokongan mereka.

“Saya menonton aksi (akhir) di Cardiff beberapa kali. Kami bertambah baik dalam menghadapi situasi sukar perlawanan berbanding musim lepas,” katanya.

Bagi pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, beliau menyifatkan perlawanan awal pagi esok berbeza dengan pertembungan akhir di Cardiff Mei lalu dan pasukannya sudah melupakan kenangan indah itu.

“Ini perlawanan besar untuk kedua-dua pasukan. Saya rasa Juventus dan Real Madrid mempunyai mentaliti sama (mahu menang). Sebenarnya, saya fikir banyak perkara yang dipelajari ketika bermain di sini. Juventus mempunyai pasukan mantap dan lengkap,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

UCL: Kebangkitan Juventus singkir Spurs

OLEH AFIX REDZUAN

WEMBLEY, 8 MAC: Dua gol dalam tempoh empat minit sudah cukup menceritakan kebangkitan bermakna Juventus menyingkirkan Tottenham Hotspur menerusi agreget 3-4 bagi melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dalam aksi di Wembley awal pagi tadi, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala memastikan kelab gergasi Itali itu menang 1-2 sekaligus memusnahkan impian Spurs.

Spurs yang turun dengan kelebihan dua gol di tempat lawan terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Heung-Min Son pada minit ke-39.

Masuk minit ke-64, Higuain memadam kelebihan Spurs apabila menampan tandukan Sami Khedira bagi kedudukan 1-1.

Selang empat minit kemudian, Higuain melorongkan bola buat Dybala yang melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Hugo Illoris.

Harry Kane hampir menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan tetapi percubaannya berjaya diselamatkan Gianlugi Buffon.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Davide Astori meinggal dunia, semua perlawanan Serie A ditangguh

OLEH AFIX REDZUAN

ITALY, 5 MAC: Semua perlawanan Serie A yang dijadualkan pada 4 Mac dibatalkan susulan kematian mengejut kapten Fiorentina, Davide Astori, 31, semalam.

Beliau ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sepasukan di hotel penginapan menjelang pertemuan dengan Udinese.

Pemain pertahanan itu mempunyai 14 kaps penampilan bersama Itali memulakan karier bola sepak bersama Ac Milan walaupun tidak pernah beraksi sebelum dijual ke Cagliari.

“Fiorentina terkejut dan terpaksa mengumumkan bahawa, kapten kami, Davide Astori telah meninggal dunia. Dalam keadan sukar ini diminta semua pihak menghormati keluarga dan menjaga sensitiviti media,” katanya dalam kenyataan.

Selain pertembungan Udinese dan Fiorentina, enam perlawanan lain turut dijadualkan berlangsung semalam termasuk ‘Milan Derby” antara AC Milan dan Inter Milan.

Foto Kredit: Daily Mirror