Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia turunkan pertumbuhan suku kedua Malaysia kepada negatif 4.9 peratus

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Susulan penguncupan lebih ketara berbanding jangkaan pada suku kedua 2020, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada -4.9 peratus, lebih rendah daripada unjuran awal pada -3.1 peratus.

Menerusi kenyataan hari ini, Bank Dunia berkata perubahan unjuran itu menunjukkan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar kepantasan dan permulaan pemulihan ekonomi global adalah meningkat, yang akan mempengaruhi keputusan pelaburan dan permintaan luaran.

Selain itu, peningkatan kadar pengangguran dan kelemahan lain dalam pasaran buruh akan terus menjejaskan penggunaan swasta, menurutnya.

Bank Dunia berkata berikutan penutupan sementara kebanyakan ekonomi dan kekurangan operasi perniagaan, pasaran buruh amat terjejas, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus pada suku kedua 2020, angka tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Penyertaan tenaga buruh susut kepada 68.1 peratus pada suku kedua 2020 daripada 68.8 peratus pada suku pertama dan ramai pekerja menghadapi tempoh kerja lebih singkat dan pengurangan gaji.

“Berdasarkan perkembangan ini, kebanyakan komponen permintaan, seperti eksport bersih, penggunaan swasta dan pelaburan swasta diunjurkan berkurangan pada 2020,” menurut Bank Dunia susulan pelancaran laporan ‘From Containment to Recovery: Economic Update for East Asia and the Pacific, October 2020’.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19, sehingga mencatatkan penguncupan dua digit 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan kekurangan permintaan domestik apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan untuk membendung jangkitan selain situasi luaran yang turut lemah.

Bank Dunia berkata perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat, terutama disebabkan perbelanjaan pakej rangsangan.

Sementara itu, kemiskinan bagi Garis Kemiskinan Kelas Pendapatan Pertengahan Atas iaitu US$5.50 sehari (berdasarkan Pariti Kuasa Beli 2011 dolar) dijangka meningkat sedikit kepada 0.9 peratus daripada 0.8 peratus pada 2020.

Bank Dunia berkata peningkatan ini disebabkan oleh kadar pengangguran lebih tinggi, tempoh bekerja disingkatkan dan aktiviti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih perlahan.

Ini berlaku walaupun kesan penguncupan diimbangi menerusi beberapa langkah bantuan dan pemulihan oleh kerajaan, yang mengurangkan impak ke atas penggunaan swasta.

“Kadar Kemiskinan Pariti Kuasa Beli 2011 pada US$5.50 sehari dijangka susut kepada 0.6 peratus pada 2021 dan 0.5 peratus pada 2022,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna kaedah betul kaji kadar kemiskinan di Malaysia

KOTA KINABALU, 18 SEPT: Kerajaan perlu mengkaji semula kadar kemiskinan di Malaysia ekoran laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di negara ini adalah 15 peratus, bukan 0.4 peratus seperti yang dilaporkan pada 2016.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian berhubung perkara itu harus diukur atau dikaji menggunakan kaedah betul bagi memastikan hasil kajian yang tepat.

“Saya melihat dimana-mana kampung atau kawasan Felda di Malaysia mempunyai rakyat yang miskin iaitu berpendapatan rendah, justeru saya berpendapat kadar sebenar kemiskinan di negara ini mungkin lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

“Saya juga berpendapat apa yang dikatakan Pelapor Khas Mengenai Kemiskinan Melampau dan Hak Asasi PBB, Prof Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang “sangat ketara” dan kadar sebenar kemiskinannya ialah kira-kira 15 peratus adalah benar,” katanya,

Beliau berkata demikian pada Dialog ‘Digital Native Agenda (DNA23) The Challenges And Way Forward’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini malam tadi.

Pada masa sama, Anwar berkata, cara kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) melaksanakan program membasmi kemiskinan di negara ini tidak telus dan banyak kebocoran.

“Sehingga RM28 bilion setahun disalurkan untuk bantu orang miskin, namun ia bocor dan bukan nelayan atau petani pun dapat bantuan…kenapa dia dapat..Sebab dia ketua cawangan parti berkenaan.

“Oleh itu, kita tidak mahu ia berlaku lagi bantuan harus sampai kepada golongan sasar. Kita perlu kenal pasti pelaksanaan, jangan lagi ada rasuah dan masalah ketirisan,” katanya.

Berhubung isu dakwaan Sabah dianak tirikan Kerajaan Pusat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan tidak pernah berbuat demikian.

“Ia hanya sentimen yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Kalau dahulu orang cakap Kerajaan Pusat “rompak” kekayaan di Sabah contohnya kayu balak, ia tidak terjadi sebab yang merompak itu adalah pemimpin Sabah sendiri dan ada juga pemimpin daripada pusat yang sama-sama merompak.

“Kalau mereka tidak merompak hasil kayu balak Sabah selama 20 tahun, sudah semestinya ia dapat membangunkan lagi negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu mengulas berhubung inisiatif DNA23, beliau berkata, kerajaan akan mengatasi masalah liputan rangkaian internet di seluruh negara yang kini membatasi penggunaan teknologi digital seperti ditekankan dalam inisiatif berkenaan.

“Masih banyak jurang liputan internet bukan saja di Sabah dan Sarawak, malah turut berlaku di seluruh Malaysia, namun kita bersyukur kerana kerajaan kini sedang mengatasi masalah berkenaan.

“Banyak manfaat yang dapat diperolehi dalam inisiatif DNA23 ini dan sebagai contoh ia dapat menaikkan pendapatan petani dan nelayan melalui aplikasi yang dibangunkan.

“Melalui aplikasi ini semua nelayan dapat mengetahui harga semasa ikan yang ada di tempat lain,” katanya.

-BERNAMA