Categories
NASIONAL

Konsep ‘kashless’ di bazar Ramadan Kampung Baru dapat sambutan baik

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan Kampung Baru di sini menyambut baik konsep pembayaran tanpa tunai atau ‘kashless’ yang diamalkan bazar itu dan menyifatkannya sebagai lebih selamat, mudah dan menjimatkan masa.

Peniaga, Masnor Salehudin berkata, konsep pembelian dengan menggunakan kad Touch ‘n Go eWallet itu mampu mengelakkan kes samun dan kecurian kerana tidak membabitkan penggunaan wang tunai.

“Malah ia mampu mempercepatkan dan memudahkan aktiviti jual beli kerana pelanggan hanya perlu menyentuh kad Touch n Go eWallet kepada mesin pengimbas, katanya kepada Bernama.

Konsep tanpa tunai ini juga membantu masalah ketiadaan duit kecil baik bagi pelanggan atau pun penjual.

Konsep Bazar Ramadan ‘Kashless’ di Kampung Baru ini adalah insiatif TNG Digital Sdn Bhd dalam menggalakan pengunaan Touch ‘n Go eWallet.

Pelanggan yang penggunaan dompet elektronik ini hanya perlu mengimbas kod QR peniaga apabila membeli juadah.

Bagi pelanggan Syafida Azman, beliau amat mengalu-alukan pelaksanaan konsep pembelian tanpa wang tunai.

“Saya memang tidak suka membawa wang tunai apabila keluar dari rumah… dengan e-wallet semua orang tidak perlu berfikir tentang ada duit atau tidak ada duit semasa keluar, “ katanya.

Beliau berkata kad tersebut boleh tambah nilai secara auto dan memudahkan.

Melalui Touch ‘n Go eWallet, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi tersebut, tambah nilai dan mengimbas kod QR untuk membuat pembelian secara tanpa tunai

Sebanyak 400 peniaga di bazar Ramadan Kampung Baru menyediakan perkhidmatan ini di sepanjang bulan Ramadan sehingga 31 Mei ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rina: Kekalkan nama Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap nama Kampung Baru tetap dikekalkan walaupun kerajaan berhasrat membangunkan semula kawasan berkenaan sebagai penempatan moden dan lebih sistematik.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ini kerana nama Kampung Baru memiliki nilai sejarah dan warisan tersendiri yang perlu dikekalkan.

“Saya berharap agar kampung ini walaupun dibangunkan tapi akan dibangunkan dengan keunikan Kampung Baru itu, jangan hilang nama Kampung Baru itu, jangan jenamakan, contoh macam sebelum ini Kampung Kerinchi jadi Bangsar South,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru di sini hari ini.

Pada 22 April lepas, Menteri Wilayah Khalid Samad dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Rina berkata, pembangunan dirancang kerajaan di Kampung Baru dilakukan secara menyeluruh dan holistik bukan sahaja merangkumi pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi sosial dan ekonomi.

“Kes Kampung Baru baru sudah terlampau lama, saya harap kali ini dapat dibuat satu keputusan lebih jelas, kita tidak boleh puaskan hati semua orang…so far Alhamduluillah ramai nak pembangunan, tapi jangan dipinggirkan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga kini sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenalpasti jumlah dan status kewarganegaraan penduduk yang menetap di Kampung Baru.

“Saya percaya Perbadanan Kampung Baru juga telah jalankan siasatan dan mengenal pasti setiap penduduk di kampung ini…sama ada mereka ini warganegara atau tidak…kita nak pastikan rakyat kita mendapat manfaat daripada pembangunan ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kementerian Wilayah Persekutuan sedia berbincang dengan seluruh pemilik tanah di Kampung Baru berhubung penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan banyak gambaran ‘songsang’ berhubung cadangan kerajaan untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru, pertemuan dengan pemilik tanah adalah perlu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu.

“Ada kata kerajaan mahu beli tanah dengan harga murah untuk menghalau orang Melayu dari Kampung Baru dan sebagainya, sebenarnya bukan. Kami cuma mahu mencari penyelesaian sesuai untuk mengekalkan pemilikan tanah Melayu di Kampung Baru di samping membangunkan kawasan itu menjadi penempatan moden dan bersepadu.

“Kami juga tidak mahu Kampung Baru terpinggir daripada pembangunan pesat sekitar Kuala Lumpur kerana jika dibiarkan tidak membangun, nanti orang kata kami tidak mengendahkan keperluan orang Melayu di kawasan itu, jadi kami mahu aset mereka juga dapat dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan bersempena ‘KL Car Free Morning’ di sini, hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) dan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) serta sebahagian daripada pemilik tanah bagi membincangkan perkara itu.

“Ada tanah sampai berpuluh-puluh nama pemilik sehingga mereka tidak tahu apa perlu dilakukan. Jadi jika mereka bersetuju untuk jual tanah dapatkan tunai ataupun apartmen daripada pemaju itu terpulang kepada mereka, yang penting kita dapat duduk berbincang, cari mekanisme menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Pada 22 April lepas, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Namun, pelbagai cadangan turut dikemukakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), antaranya PKB yang mahukan kerajaan menyediakan rumah transit kepada pemilik tanah sekiranya berhasrat untuk membangunkan semula kawasan Kampung Baru.

Terdahulu, Khalid melepaskan kira-kira 800 peserta ‘OrphanCare Superheroes Charity Run’ bersempena KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, selain menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sihat pada hujung minggu, program larian itu turut bertujuan mengumpul dana bagi Yayasan Orphancare untuk melindungi bayi yang terbuang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pastikan penduduk Kampung Baru terbela

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 21 MEI: Perbadanan Kampung Baru (PKB) digesa agar meletakkan kepentingan penduduk Kampung Baru sebagai keutamaan dalam melaksanakan agenda pembangunan di kampung tersebut.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Bandar Pemuda PAS (LTPB PPM) , Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan beberapa wakil penduduk supaya penduduk Kampung Baru bergabung dan dilibatkan sama untuk membangunkan kampung mereka.

kampungBaruPenggabungan ini katanya adalah langkah baik bagi menyatukan pendapat dalam memastikan hak mereka terus terpelihara serta memudahkan proses rundingan dan pembangunan nanti.

“Kita juga meminta kerajaan segera menetapkan nilai bagi satu kaki persegi sebelum Deraf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) 2020 dibentangkan Jun depan.

“Jika dakwaan PKB bahawa 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju membangunkan semula kampung mereka, amat penting bagi pemilik mengetahui nilai tanah mereka
supaya penduduk dapat merancang dan bersepakat tentang pembangunan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegasnya, apa yang tidak diinginkan ialah apabila ada unsur penipuan atau sengaja meletakkan harga tanah pada kadar yang jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa yang sebenar dan mengakibatkan pemilik menanggung kerugian.

Tambah Ahmad Zamri, Pemilik dan penduduk kampung berhak menikmati hasil pembangunan di tanah mereka, menjadi peserta dan bukan sekadar pemerhati semata-mata.

Justeru, dalam usaha kerancakan pelan pembangunan di kawasan sekitar pastikan ianya tidak akan meminggirkan cadangan pemilik tanah sedia ada.

“Pengalaman penduduk kampung sebelum ini amat menyedihkan apabila akhirnya pembangunan yang dicanang hanya menguntungkan pihak pemaju, pembeli dan pihak luar lain sehingga meminggirkan langsung penduduk asal.

“Penduduk asal terpaksa berpindah, merempat dan meninggalkan kampung mereka tanpa mendapat pampasan yang sewajarnya ibarat menagih ihsan di tanah air sendiri,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM20 juta bangun kampung baru, 414 projek dilulus

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 30 NOV – Kerajaan Selangor sudah memperuntukkan lebih daripada RM20 juta bagi pembangunan kampung baru di negeri itu dengan sebanyak 414 projek infrastruktur diluluskan dan dilaksanakan.

DNSExco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata pada 2014 ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta lagi bagi tujuan pembangunan di kawasan kampung baru.

Katanya, ini berbeza dengan pentadbiran Kerajaan Umno-BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM200,000 sahaja setiap tahun bagi pembangunan kampung baru.

Ean berkata demikian ketika sesi penggulungan usul pembangunan Belanjawan 2014 di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ean berkata Kerajaan Negeri akan mengkaji semula cadangan peningkatan peruntukan bagi tujuan pembangunan kampung baru pada Belanjawan 2015 yang akan datang.

Katanya, cadangan Dr.Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) mengenai cadangan mengadakan rancangan khas bagi pembangunan kampung baru juga akan diteliti dan dibincangkan.

Ean berkata, Kerajaan Negeri tidak membenarkan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada kilang atau stor kerana bercanggah dengan ‘zoning’ yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan boleh memberi pertimbangan membenarkan sebahagian kawasan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada komersial jika ia berada di tempat sesuai dan perlu melalui proses pendengaran awam.

“Kerajaan Negeri juga mengambil berat isu keselamatan di kampung dengan memperuntukkan RM5,000 untuk setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung, termasuk kampung tradisi dan kampung baru untuk menubuhkan pasukan peronda sukarela,” kata beliau.

– EZY

Categories
NASIONAL

Siaran langsung forum Selamatkan Kedaulatan Negara, Tolak TPPA malam ini

livee

KUALA LUMPUR 10 OKT: Orang ramai boleh menyaksikan forum bertajuk Selamatkan Kedaulatan Negara, Tolak TPPA di Kelab Sultan Suleiman, Kampung Baru di sini, malam ini melalui portal ini.

Forum anjuran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang dijadual bermula jam 8.30 malam itu dijangka menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain.

Turut dipelawa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi kehadirannya tidak dapat dipastikan.

Untuk tonton, klik petak hitam di bahagian atas (kanan) portal ini.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Kg Baru: Khalid Rangka Plan baru

KAMPUNG BARU, KUALA LUMPUR, 19 JAN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan melakukan penyusunan semula Jawatankuasa Lembaga Pengarah Malay Agricultural Settlement (MAS) supaya ianya dapat bergerak dengan lebih tersusun dan lancar demi memastikan hak dan kedudukan penduduk Kampung Baru dapat dipertahankan.

Katanya, masalah Kampung Baru ini perlu diselesaikan dengan cara rundingan bersama supaya kuasa dan undang-undang dapat dimantapkan tanpa membelakangkan penduduk.

Malay Agricultural Settlement (MAS) telah ditubuhkan sejak sekian lama, sebelum kemerdekaan supaya dapat menjaga kepentingan tanah-tanah.

Selain Menteri Besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Jelas Abdul Khalid, beliau telah menyiapkan pelan pembangunan Kampung Baru sejak 20 tahun lalu. Oleh kerana tidak ada ketetapan dari segi undang-undang dan penyatuan pendapat daripada penduduk setempat maka perkara ini berlarutan sehingga sekarang.

“Saya telah diminta oleh beberapa ahli untuk campurtangan dan saya akan selidik kalau betul, kita akan campurtangan supaya diadakan perhimpunan Jawatankuasa Akta MAS. Saya akan buat mengikut lunas undang-undang bukan untuk merugikan tetapi untuk memberi kuasa kepada semua pimilik dan pewaris.

“Kita juga ada peguam termasuk peguam negeri untuk menerangkan mengapa kita mesti ada kuasa tersebut,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan pengalaman daripada kes projek terbengkalai yang lalu akan dipraktikkan supaya dapat membantu masyarakat di Kampung Baru selain menyediakan khidmat nasihat guaman secara percuma supaya pemilik dapat maklumat yang betul.

“Negeri Selangor akan membantu penduduk Kampung Baru kerana negeri Selangor yang membuat undang-undang MAS dan ianya berkuat kuasa. Tapi bila tanah Kuala Lumpur diserahkan kepada kerajaan persekutuan, maknanya tanah itu dibawah kuasa mereka, tapi idea MAS itu masih lagi dibawah jagaan negeri Selangor. Sebab itu kita bertanggungjawab untuk membantu,” katanya di Majlis Jamuan bersama Pemilik/ pewaris tanah Kampong Bharu, Kuala Lumpur malam tadi

Sementara itu, Pengurus Pembangunan perniagaannya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathul Rahman Abu memberi jaminan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk.