Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida diberi rawatan HBOT

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Wanita mangsa terakhir keracunan karbon monoksida selepas tertidur di dalam kereta bersama tiga yang lain di Butterworth, Pulau Pinang diberikan rawatan hyperbaric oxygen therapy (HBOT) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata mangsa berkenaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, masih dipantau dan diberi rawatan di unit rawatan rapi (ICU) berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif.

“Mangsa telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Hospital Tuanku Mizan pada tarikh kejadian.

“ATM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan situasi terbaik buat mangsa dan semoga keluarga beliau diberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan tiga wanita termasuk kembar kepada Nor Aqilah maut akibat keracunan karbon dioksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 Sept lepas.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah yang juga kembar kepada Nor Aqilah.

Kesemua mereka yang berusia 21 tahun telah pergi ke Pulau Jerejak semasa cuti Hari Malaysia, dan difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida masih kritikal

GEORGE TOWN, 18 SEPT: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur dalam kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dua hari lepas, masih dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur dan dalam pemantauan rapi pasukan perubatan.

“Keadaannya masih sama seperti semalam, dan saya dimaklumkan oleh pasukan perubatan di sana, dia masih dalam keadaan kritikal.. kami juga akan dapatkan perkembangan beliau dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) Honda Civic 1.8s Kontinjen Polis Pulau Pinang, yang menyaksikan pasukan kontinjen itu menerima 26 buah Honda Civic 1.8s untuk MPV dan tujuh lori Hino untuk pelbagai guna, di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata tiada sesiapa yang berada di kawasan parkir stesen minyak itu mengesyaki sesuatu terjadi kepada empat sahabat berkenaan kerana mereka dilihat sedang berehat sahaja dalam kenderaan semasa kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua maut, dua lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida

BUTTERWORTH, 17 SEPT: Dua wanita maut manakala dua lagi rakan mereka yang juga pasangan kembar berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas mereka tertidur dalam kereta semasa berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi tadi, dan dua yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri manakala pasangan kembar yang kritikal Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu pergi ke Pulau Jerejak sempena cuti umum Hari Malaysia semalam, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya hari ini.

Katanya, menurut ibu kepada Ayuni, anaknya menghantar mesej kepada beliau pada pukul 9.15 malam tadi memaklumkan berada di stesen minyak itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam tadi Ayuni tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia mulai bimbang.

Shafee berkata bapa Ayuni pergi ke stesen minyak itu untuk mencari anaknya sebelum menemui kereta dinaiki mereka, namun empat rakan baik itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan masih hidup, manakala pintu dan tingkap tertutup.

Katanya, sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi pada pukul 1.00 pagi, Sharifah Fariesha Syed Fathi yang merupakan penumpang hadapan didapati telah meninggal dunia, manakala Ayuni Shazwanie pula dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Beliau berkata dua pasangan kembar yang berasal dari Taman Ria Mesra di Gurun itu kini menerima rawatan di HSJ dan keadaan mereka kritikal.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup di stesen minyak itu mendapati kenderaan dinaiki mereka tiba di kawasan parkir itu pada pukul 8.30 malam, dan terdapat pergerakan keluar beberapa penumpang untuk membeli makanan sebelum mereka masuk semula ke dalam kereta, dan tidak lagi keluar sehingga mayat ditemukan,” katanya.

Katanya kes itu disiasat sebagai mati mengejut kerana setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.

“Mereka (empat orang) memang rakan baik dan baru habis belajar di sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan, Fariesha baru bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja untuk keluar bersama tiga kawannya itu semalam kerana mahu berjalan-jalan di Pantai Jerejak.

Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.

“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua ditemui namun perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana sangat terkejut,” katanya.

Menurutnya jenazah anak saudaranya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.

-BERNAMA