Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida masih kritikal

GEORGE TOWN, 18 SEPT: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur dalam kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dua hari lepas, masih dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur dan dalam pemantauan rapi pasukan perubatan.

“Keadaannya masih sama seperti semalam, dan saya dimaklumkan oleh pasukan perubatan di sana, dia masih dalam keadaan kritikal.. kami juga akan dapatkan perkembangan beliau dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) Honda Civic 1.8s Kontinjen Polis Pulau Pinang, yang menyaksikan pasukan kontinjen itu menerima 26 buah Honda Civic 1.8s untuk MPV dan tujuh lori Hino untuk pelbagai guna, di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata tiada sesiapa yang berada di kawasan parkir stesen minyak itu mengesyaki sesuatu terjadi kepada empat sahabat berkenaan kerana mereka dilihat sedang berehat sahaja dalam kenderaan semasa kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis: Ujian DNA tulang pinggul sah Anna Jenkins

GEORGE TOWN, 11 OGOS: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA Anna Jenkins, warga Australia yang dilapor hilang di negeri ini, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia berhubung ujian itu semalam dan mendapati sampel DNA diberikan anak lelaki wanita tersebut yang datang ke Pulau Pinang, Julai lepas didapati sama dengan DNA tulang pinggul berkenaan.

“Berikutan keputusan DNA itu, polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengenal pasti punca wanita berkenaan mati dan pelbagai (aspek) lagi. Saya difahamkan anak lelaki mangsa masih berada di Pulau Pinang bagi mengikuti perkembangan (siasatan).

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman juga akan ke lokasi penemuan tulang pinggul dan beberapa barangan milik mangsa untuk membina semula siasatan (berdasarkan bukti yang diperoleh) esok bagi menjalankan pemeriksaan lebih terperinci serta mengesan barang kes yang mungkin masih ada di situ yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penemuan tulang pinggul, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lepas.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata polis juga tidak menolak kemungkinan memohon inkues kes itu jika pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian wanita tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi penemuan tulang pinggul itu pada 7 Ogos lalu, telah menemui seketul objek seperti tulang dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Analisis bertujuan mengetahui sama ada ia juga tulang wanita tersebut. Kami masih menunggu keputusannya,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

-BERNAMA