Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar guna katil ICU Covid-19 cecah 83 peratus

SHAH ALAM, 21 MEI: Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara mencecah tahap 83 peratus setakat semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri yang mencatat kadar penggunaan tinggi meliputi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Putrajaya, Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka turut mencatatkan nilai tinggi melebihi 70 peratus.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan di Facebook pagi ini.

Dr Noor Hisham turut menyeru majikan memberi kebenaran kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah selain mengehadkan bilangan mereka ke pejabat pada satu-satu masa.

Sebanyak 6,806 kes baharu dan 59 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik menular dalam negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,967 kes atau 43 peratus dilaporkan di Lembah Klang.

Sumber Facebook Noor Hisham Abdullah
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar guna katil ICU Covid-19 lebih 80 peratus di Selangor

SHAH ALAM, 19 MEI: Selangor antara enam negeri yang mencatat lebih 80 peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 setakat semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri lain yang merekodkan kadar yang sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang telah mencapai 89 peratus dan 74 peratus di seluruh negara,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook.

Beliau menjelaskan hospital yang mengendalikan kes wabak turut meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi wad biasa.

Bagaimanapun katanya, langkah itu mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Semalam, jangkitan baharu wabak meningkat kepada 4,865 kes yang mana individu yang dirawat dalam ICU ialah 531 orang dengan 277 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor guna 80 peratus katil ICU untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Selangor mencatat lebih 80 peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri lain yang turut mencapai kadar sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak.

Menurutnya, terdapat 1,388 katil ICU untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di 78 hospital Kementerian Kesihatan dan hospital pengajar (universiti) seluruh negara yang merawat pesakit berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 850 katil ICU dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dan ia sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit ini sentiasa dipertingkatkan, dukacita dilaporkan kadar penggunaan katil ICU untuk kes Covid-19 buat masa ini telah mencecah 80 peratus di seluruh negara.

“Malah, terdapat juga hospital yang mana katil ICU untuk kes itu telah digunakan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata negara kini berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 yang mempunyai gejala serius seperti memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sediakan 200 katil untuk pesakit Covid-19 di ICU

SHAH ALAM, 5 MEI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bakal meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) kepada 200 buah bagi pesakit Covid-19 sebagai persediaan menangani kemungkinan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Selangor, berbanding 142 katil pada masa ini.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata langkah itu dilaksanakan dengan menangguhkan kes-kes pembedahan elektif di seluruh negeri bagi mengurangkan kebergantungan pada katil ICU.

Bagaimanapun bagi kes-kes bukan Covid-19 yang perlu dirawat segera, JKNS akan membuat penyumberan luar daripada fasiliti swasta bagi menampung keperluan.

Bercakap pada sesi temu bual khas bersama Bernama dan RTM di sini hari ini, Dr Sha’ari berkata tindakan-tindakan tersebut mampu mengurangkan kesesakan di ICU hospital Selangor yang kini mencapai 92 peratus.

“Kita menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor kerana pengalaman dahulu memperlihatkan akan berlaku pengurangan jumlah kemalangan jalan raya yang menyebabkan dewan bedah akan kurang digunakan, dan secara tidak langsung penggunaan ICU juga dapat dijimatkan untuk kes-kes berkenaan,” katanya.

Dr Shaari berkata situasi kes Covid-19 semasa banyak disumbangkan oleh kes-kes kontak rapat daripada ahli keluarga pesakit Covid-19 iaitu sebanyak 90 peratus, manakala kes yang berpunca daripada sekolah dan sektor industri masing-masing berjumlah lima peratus.

Jumlah semasa pesakit Covid-19 kategori tiga dan ke atas ketika ini adalah lebih tinggi di negeri ini berbanding situasi sebelum ini.

“Ini menunjukkan pematuhan masyarakat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) tidak begitu memuaskan berbeza dengan kilang-kilang yang majoritinya kini patuh pada SOP yang ditetapkan,” katanya, menambah semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan risiko jangkitan.

Dalam perkara lain, Dr Sha’ari berkata susulan pengumuman kerajaan persekutuan semalam mengenai pelaksanaan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula Jumaat (7 Mei) ini, Selangor telah mengenal pasti 25 lokaliti di enam daerah tersebut berdasarkan jumlah kes yang dicatatkan dalam tempoh dua minggu.

“Kita juga merancang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, pemberian suntikan vaksin akan dilakukan secara outreach programme kepada golongan berisiko di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi agar mereka terhindar daripada komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19,” katanya.

Selangor semalam melaporkan kes harian baharu tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak 675 kes atau 21.6 peratus daripada keseluruhan 3,120 kes.

– BERNAMA