Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM dilantik panel industri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai panel industri di Fakulti Kejuruteraan Awam.

Ketua Perhubungan Awam dan Media, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, UiTM mewujudkan Panel Industri bagi setiap fakulti dan keahliannya terdiri daripada tokoh terkemuka di kalangan pihak kerajaan dan swasta.

Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan input terkini daripada pihak organisasi luar dalam bidang professional berkaitan.

“Panel Industri ini diharap dapat memberikan pandangan dan nasihat bagi memantapkan sistem pengurusan kualiti akademik universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti disamping dapat merapatkan hubungan antara UiTM dan pihak industri.

“KDEBWM menyambut baik dan amat berbesar hati menerima pelantikan ini untuk berkongsi kepakaran dalam membantu UiTM meninggikan prestasi akademik seiring dengan keperluan industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Mahfuzah berharap, menerusi lantikan itu ia dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak khususnya membabitkan bidang kejuruteraan awam.

MoU yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai itu ditandatangani Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir pada Majlis Pelancaran Greenation@UiTM yang dianjurkan baru-baru ini.

Categories
SELANGOR

KDEBWM sumbang 4 MGB untuk penjara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneruskan lagi sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbang empat tong sampah baru jenis ‘Mobile Garbage Bin (MGB)’ kepada Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia.

Ketua Operasi KDEBWM cawangan Kuala Selangor, Mohd Farhan Zakiran M Alpis menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah Pusat Koreksional Penjara Puncak Alam, PKP Amer Sharifudin Mat Nor, baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, atas keperluan operasi seharian, tong sampah jenis MGB terbabit diperlukan di beberapa kawasan di pusat koreksional.

“Sumbangan tong sampah ini dapat membantu dan memudahkan proses pembuangan sampah di kawasan pusat koreksional ini.

“KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan permbersihan awam di Selangor amat mengambil berat permasalahan dihadapi oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Mahfuzah berkata, KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik bantuan seperti itu sekali gus dapat menjadikan Selangor sebagai negeri yang bersih, selesa dan sejahtera untuk didiami.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Sekali gus, syarikat itu terus komited memastikan Selangor mencapai status negeri terbersih, di Malaysia.

Categories
SELANGOR

‘Kenali KDEB’ landasan terbaik dedah operasi pembersihan

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Slot Kenali KDEB Waste Management (KDEBWM) di Jelajah 360 Smart Selangor merupakan landasan terbaik untuk orang awam mengetahui lebih lanjut berkaitan perkhidmatan ditawarkannya di sesuatu kawasan.

Ketua Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, selain menyediakan ruang pameran, slot berkenaan turut menerangkan mekanisme penyaluran aduan berhubung sisa pepejal pada saluran yang tepat.

“Ia termasuk menggalakkan penduduk Sabak Bernam memuatnaik aplikasi iClean supaya sesuatu aduan lebih teratur, sistematik dan lebih pintar.

“Justeru, di program jelajah ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat tepat mengenai KDEBWM dan ini merupakan tempat terbaik untuk kakitangan menerangkannya kepada orang awam,” katanya kepada SelangorKini.

Mahfuzah yang mengendalikan slot Kenali KDEBWM itu turut menerangkan latar belakang dan tugas syarikat yang diberikan tanggungjawab menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam seluruh Selangor.

Manakala, katanya, di kawasan Sabak Bernam, pihaknya mula mengambil alih operasi kutipan sisa pepejal kira-kira lima bulan lalu.

“Oleh itu, menerusi slot ini kita menerangkan kepada orang awam skop kutipan di kawasan itu termasuk jadual kutipan harian,” katanya.

Jelajah 360 Smart Selangor itu diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu di Stadium Sungai Besar, di sini yang bertujuan menyampaikan maklumat berhubung pelaksanaan inisiatif-inisiatif Smart Selangor.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Pengurusan kutipan sampah di semua kawasan oleh pihaknya menjanjikan pembaharuan modus operandi dengan konsep ‘Smart Waste Solution’.

Sehingga kini, KDEBWM sudah mengambil alih kerja pembersihan di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pada Julai ini, pihaknya akan mengambil alih Majlis Bandaraya Shah Alam.

Dengan pengambilalihan itu menjadikan kesemua kerja pembersihan di Selangor di bawah selianya KDEBWM.

Categories
SELANGOR

KDEBWM Ampang Jaya terima respon positif

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 6 JAN: Pengambilalihan kutipan sisa pepejal di Ampang Jaya oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sejak dua tahun lalu menerima respon positif dan kerjasama pelbagai pihak.

Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Ampang Jaya, Mohamad Jafaq Mohamad Ali berkata, sebanyak 225 aduan diterima pada bulan pertama pengambilalihan berjaya diturunkan kepada sifar.

Katanya, 24 zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan KDEBWM termasuk aktiviti perkhidmatan dijalankan mengikut jadual serta aduan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“KDEBWM mengambil alih kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Ampang Jaya sejak 2017 dan sepanjang tempoh itu, banyak pihak memberikan respon sangat positif.

“Kutipan juga berjaya dilaksanakan dengan lancar walaupun di perumahan berstrata dengan KDEBWM berjaya melaksanakannya dengan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Jafaq berkata, pihaknya turut menerima 11 sijil penghargaan dari JKP Zon, persatuan penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) komersial yang berpuas hati dengan perkhidmatan dijalankan.

Terdahulu, prestasi KDEBWM menguruskan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di MPAJ berada pada tahap terbaik.

Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata, maklum balas positif direkodkan berdasarkan penurunan aduan komuniti membabitkan pengurusan sisa pepejal di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Malah, KDEBWM juga berjaya membuktikan komitmen dan kecemerlangan tinggi dalam melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal berteraskan ‘Smart Waste Solution’ sebagai solusi berkesan di negeri itu sepanjang tempoh dua tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han berkata, model perniagaan berteraskan penyelesaian pintar yang menekankan ‘Internet of Things’ (IoT) turut membolehkan syarikat itu menerima pengiktirafan dari firma Perunding dan Penyelidikan Antarabangsa.

Categories
SELANGOR

KDEBWM Ampang Jaya laksana 250 gotong royong bendung wabak denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 6 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) Ampang Jaya komited membantu masyarakat di kawasan berkenaan khususnya membendung wabak denggi menerusi program gotong royong sejak tahun lalu.

Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Ampang Jaya, Mohamad Jafaq Mohamad Ali berkata, sebanyak 250 program gotong royong diadakan di setiap kawasan yang dipersetujui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, program berkenaan sebagai usaha mewujudkan komuniti sihat dan selamat serta bebas dari wabak penyakit.

“Program ini dijalankan secara aktiviti amal di seluruh Ampang Jaya berjaya dilakukan sebanyak 250 tanpa gagal tahun lalu.

“Selain itu, KDEBWM Ampang Jaya juga tetap memberi perhatian khusus membantu membersihkan kawasan mengalami bencana alam antaranya di Kampung Melayu Ampang, Taman Muda, Taman Bukit Teratai, Lembah Maju dan kawasan lain.

“Bantuan pembersihan dilakukan segera bagi memudahkan lalu lintas serta aktiviti penduduk seharian,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Jafaq berkata, KDEBWM Ampang Jaya juga turut memberi kerjasama kepada MPAJ dalam menyelesaikan isu sampah haram membelenggu penduduk setempat dari masa ke masa dengan menggunakan kemudahan jentera dan kakitangannya.

“Bukan itu sahaja, kami mengenali dan melayani penduduk setempat untuk skop tidak membabitkan KDEBWM juga dimaklumkan kepada penduduk dengan cara berhemah turut menarik minat penduduk untuk memberi kerjasama baik,” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM juga secara konsisten membantu penduduk dengan memberi sumbangan tong sampah di kawasan sekolah, masjid, surau, dewan orang ramai, pasar dan perumahan kos rendah.

“Ia bagi memudahkan KDEBWM mengutip sampah dengan lebih mudah berbanding di kawasan tidak menyediakan tong sampah,” katanya.

Categories
SELANGOR

KDEBWM komited uruskan sampah di 64 kawasan berstrata PJ

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) komited menyelesaikan isu kutipan sampah khususnya 64 kawasan bertingkat (berstrata) di sekitar Petaling Jaya.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya akan melaksanakan kutipan setiap hari di rumah-rumah sampah berbanding tiga kali seminggu yang dilaksanakan sebelum ini.

“Isu sampah di kawasan berstrata tidak lagi asing, kita tahu kebimbangan orang ramai akan kemampuan KDEBWM menyelesaikan masalah sampah ini.

“Kita mengambil maklum penjanaan sampah setiap hari tinggi kerana jumlah penduduk yang ramai di kawasan ini.

“Namun, KDEBWM akan memastikan rumah-rumah sampah di kawasan ini dikutip setiap hari,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, setakat ini pihaknya turut berjaya mengendalikan kutipan sisa pepejal di kawasan berstrata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Di kawasan berstrata contohnya di MPAJ, KDEBWM mempunyai jumlah peralatan, tong dan lori yang cukup, jadi tiada masalah untuk mengendalikan kutipan,” katanya.

Pada masa sama, Ramli berkata, KDEBWM menyasarkan penurunan aduan sebanyak hanya tujuh aduan sehari di Petaling Jaya.

Katanya, sasaran itu berdasarkan jumlah penduduk yang ramai.

“Di kawasan Klang contohnya, hanya tiga aduan maksimum bagi sehari. Oleh itu, di Petaling Jaya ini, kita jangka ia akan menurun kepada tujuh sehari,” katanya.

Mulai 1 Ogos lalu, KDEBWM mengambilalih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam secara berperingkat, di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sebanyak 97 kawasan membabitkan 53 kawasan disediakan lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan 44 lori ‘amroll’ bagi pembersihan awam.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui pegangan sahaja di dalam Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Selangor.

MBPJ adalah Pihak Berkuasa Tempatan keenam selepas Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Categories
SELANGOR

KDEBWM hasrat ambil alih kutipan sisa industri

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) bercadang mengambil alih kutipan sisa industri di seluruh Selangor.

Pengarah Urusannya, Ramli Tahir berkata, pihaknya akan melihat dan membuat perancangan serius untuk dicadangkan kepada Kerajaan Negeri.

Katanya, hak itu akan diusahakan selepas pihaknya berjaya mengambil alih industri kutipan sampah domestik dan awam di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pihak KDEBWM mempunyai rancangan secara holistik untuk melaksanakan kutipan sisa industri ini.

“Namun, perancangan itu akan dicadangkan kepada Kerajaan Negeri selepas pihak kita mengambil alih kutipan domestik dan awam di semua PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian di forum Selangor Synergies Siri Ketiga yang berjudul ‘Sustainable Synergies in Selangor’ di Empire Hotel, di sini.

Ramli berkata, pengambilalihan kutipan sisa industri itu bagi memperkasakan industri kutipan sampah negeri itu supaya lebih berkesan.

“Bagi KDEBWM, jika tidak ada usaha memperkasakan kutipan sisa industri ini ia akan menimbulkan masalah kepada kita.

“Ia kerana, pembuangan sampah secara haram dari sektor ini akan menjadi punca kawasan yang sudah dibersihkan menjadi kotor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM lebar operasi ke 6 PBT

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal melebarkan operasinya dengan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Tahir berkata, pihaknya kini sudah mendapat arahan dari Kerajaan Negeri dan bersedia memikul tanggungjawab diamanahkan ke arah mereformasikan industri kutipan sampah di Selangor.

Katanya, enam PBT itu membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, Kerajaan Negeri sudah memutuskan KDEBWM untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di semua PBT negeri ini.

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan tahun ini enam PBT akan diambil alih KDEBWM. Kita baru selesai mengambil alih di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan mengadakan perbincangan dengan MPKj,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, pihaknya mengambil masa tiga hingga empat bulan sebelum mengambil alih pengurusan membabitkan termasuk pembelian peralatan di setiap PBT.

Setakat ini, KDEBWM sudah mengambil alih Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbadaran Selayang (MPS) dan MDKL.

Dalam perkembangan lain, Ramli memaklumkan KDEBWM akan menyediakan dua buah ‘Road Sweeper’ bersaiz sederhana dan mudah alih di setiap PBT bagi melancarkan kerja pembersihan di kawasan pusat bandar.

Katanya, setakat ini KDEBWM menyediakan peralatan itu di MPAJ.

“Tujuannya, kita mahu kawasan-kawasan padat atau lorong kecil dapat dibersihkan dengan baik dan cekap.

“Kebiasaanya, ‘road sweeper’ ini dibeli bersaiz besar tapi di jalan protokol seperti pusat bandar tidak dapat digunakan sebab bersaiz besar.

“Oleh itu, KDEBWM menyediakan ini untuk lebih memudahkan kerja pembersihan,” katanya.

KDEBWM dilantik sebagai Project Management Company (PMC) untuk mengorak langkah penambahbaikan pengurusan sisa pepejal.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipilih sebagai pilot project dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Terdahulu, pada 2008, KDEB mengambil alih syarikat Jetson Corporation Sdn Bhd yang turut memiliki 21 peratus pegangan saham di dalam Alam Flora Sdn Bhd.

Categories
SELANGOR

MPS saran KDEBWM terus tingkat mutu perkhidmatan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 8 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) disaran untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih padu di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Timbalan Yang Dipertua MPS, Juhari Ahmad berkata, bukan semua kawasan Selayang adalah terancang, sebaliknya terdapat juga kawasan kampung yang sukar dimasuki kompaktor besar dan memerlukan kaedah lori bersaiz kecil.

“Melihat kepada maklum balas Ahli Majlis, orang ramai dan pengurusan MPS, kita masih menerima aduan sampah dibeberapa kawasan.

“Walaubagaimanpun, KDEBWM menjanjikan akan memastikan setelah kesemua 44 kompaktor baru diserahkan dalam tempoh tiga bulan ini, perkhidmatan sisa pepejal akan dapat di pertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan enam lori kompaktor baru di Dataran MPS, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, enam lori kompaktor baru hari ini akan di serahkan kepada Sub-Kontraktor di kawasan yang banyak menerima aduan sampah.

KDEBWM KOMPAKTOR (2)“Kita berharap masalah sampah ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sementara kawasan lain masih menggunakan lori sampah sedia ada sehingga lori kompaktor baru diterima paling lewat Ogos ini,” katanya.

Pengurus Besar KDEBWS, Ramli Mohd Tahir berkata, selepas berbincang dengan MPS, pihaknya mengambil alih pengurusan sisa pepejal 1 Mac lalu dan mendapati kawasan itu mempunyai 44 zon.

“Kita telah bersetuju untuk menyerahkan minimum 44 lori kampaktor menjadikan setiap satu zon satu lori.

“Memandangkan Selayang terdapat kawasan tidak terancang, kita turut menggunkan kaedah penggunaan yang lebih kecil seperti lori roro dan motosikal roda tiga untuk masuk ke kawasan sempit,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPS yakin KDEBWM mampu urus sampah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) diyakini boleh menguruskan sisi pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad berkata, beliau juga yakin jumlah aduan MPS mampu dikurangkan selepas beberapa bulan operasinya berdasarkan laporan Majlis Perbandaran Klang (MPK)

“Walaupun kita tidak menolak akan menghadapi masalah diperingkat awal, namun kita dapat lihat KDEBWM boleh merangka beberapa perubahan di Klang hasil tinjauan dilakukan selama sebulan.

KDEBWM“Malahan kita telah meminta KDEBWM memulakan kerja lebih awal bagi menyokong kontraktor terdahulu yang gagal menjalankan skop tugas di saat akhir penamatan kontrak,” katanya dipetik Sinar Harian.

Selain itu, katanya zon operasi meningkat kepada 44 kawasan berbanding sebelumnya hanya 31 kawasan.

Tambahnya lagi, MPS akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam perubahan pengurusan disamping memantau aduan orang ramai.

“Dengan peralatan serba lengkap sistem pengesan bakal melicinkan lagi proses pengurusan sisa pepejal.

“Dijangka lori kompaktor dan RORO akan tiba secara berperingkat dalam tempoh satu hingga dua bulan ini,” katanya.

-nR-