Categories
AGENDA NASIONAL

Upacara wangkang, pantun diiktiraf dalam Senarai Wakil Unesco

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Dua warisan kebudayaan tidak ketara negara, upacara wangkang dan pantun, telah berjaya dimasukkan dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, secara pencalonan multinasional.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengiktirafan pada kali ini amat bermakna kerana buat pertama kalinya Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan Unesco bersama negara lain, dengan upacara wangkang telah dicalonkan bersama China, manakala pantun dicalonkan bersama Indonesia.

“Keputusan ini telah diumumkan pada 17 Dis sewaktu Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara Unesco yang sedang berlangsung sehingga 19 Dis.

“Penyenaraian yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh jawatankuasa itu yang dianggotai oleh 24 Negara Anggota 2003 Konvensyen bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara yang dipengerusikan oleh wakil negara Jamaica,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pengiktirafan itu telah menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai di bawah Senarai Wakil kepada lima iaitu kali pertama pada tahun 2005 menerusi pengiktirafan mak yong, dondang sayang (2018) dan silat (2019).

Wangkang bermaksud ‘kapal Wang’ diadakan sejak tahun 1854 di Melaka merupakan upacara perarakan kapal untuk menjemput roh-roh jahat keluar dari dunia ini dan menurut kepercayaan masyarakat Cina, upacara wangkang adalah usaha mereka mendapatkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran masyarakat di sesuatu tempat.

Pantun pula merupakan puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap dengan dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan dua baris kedua mengandungi maksudnya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata sehingga kini sebanyak 180 negara telah menjadi Negara Anggota Konvensyen berkenaan dan sejumlah 463 warisan kebudayaan tidak ketara dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Senarai Wakil.

“Pengiktirafan ini sekali gus akan mengukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama dengan Unesco dan Negara Anggota Konvensyen 2003 yang lain dalam hal-hal berkaitan warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global.

“Kejayaan ini merupakan testimoni kepada hubungan Malaysia dengan China dan Indonesia yang terjalin sejak berkurun lamanya, yang menyumbang kepada kepelbagaian dan keunikan warisan kebudayaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata penyenaraian itu juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia dan secara tidak langsung mengangkat Malaysia di mata dunia sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang boleh menjadi produk pelancongan negara.

Dalam pada itu, Nancy turut mengingatkan bahawa pengiktirafan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tidak kira kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti atau individu untuk memastikan warisan tersebut terus dilindungi dan disampaikan kepada generasi akan datang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Silat terima pengiktirafan UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan oleh badan dunia itu yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi- Foto BERNAMA

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu sekali gus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

– BERNAMA