Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian Malaysia akan lenyap tidak gambarkan keadaan banjir

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kajian Climate Central (Independent Research Organisation) yang menggambarkan bandar utama di Malaysia akan lenyap kerana akan berada di bawah paras laut menjelang 2050 tidak menggambarkan keadaan banjir pantai secara setempat di Malaysia.

Menurut kenyataan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) kaedah yang digunakan dalam hasil kajian yang diterbitkan dalam artikel Nature Communication pada 29 Oktober itu hanya bersesuaian untuk pelaksanaan penilaian secara umum di peringkat global.

“Kaedah analisis itu juga menyebabkan penghasilan maklumat kawasan banjir terlebih anggar dari keadaan sepatutnya untuk kawasan yang dilaporkan.

“Pihak Kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas terhadap dapatan kajian tersebut seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut laporan akhbar tersebut, beberapa bandar utama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak didakwa bakal ‘lenyap’ kerana akan berada di bawah paras laut menjelang tahun 2050.

Menurut kementerian itu, penghasilan maklumat kawasan banjir terlebih anggar disebabkan kajian menggunakan gabungan data nilai kenaikan aras laut dan kejadian banjir daratan tertinggi yang dijangka berlaku serentak yang memungkinkan kawasan pantai akan ditengelami dan lenyap berbanding kawasan sebenar yang terlibat.

Selain itu, disebabkan kajian berasaskan model topografi yang statik tanpa mengambil faktor-faktor dinamik semasa seperti struktur pelindungan pantai dan tebatan banjir yang tersedia ada dan akan dijalankan oleh KATS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kata kementerian itu.

“Pendekatan yang betul untuk membuat penilaian tersebut perlu menggunakan pemodelan dinamik dan data setempat yang bukan berasaskan kepada keterdedahan banjir berasaskan kepada ketinggian statik topografi kawasan tersebut semata-mata.

“JPS peka mengenai ancaman peningkatan paras air laut yang memberi kesan amat ketara kepada persisiran pantai negara.

“Ini kerana kenaikan paras laut secara relatifnya meningkatkan kedalaman air laut ketika air pasang serta menyebabkan fenomena ombak besar semasa kejadian ribut berlaku seterusnya meningkatkan frekuensi banjir air laut dan kadar hakisan pantai, ” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, JPS turut mempunyai perancangan untuk menaik taraf pertahanan pantai bagi menangkis ancaman tersebut dengan menyediakan peta hazard hakisan dan banjir pantai melalui program Pelan Pengurusan Zon Pantai Bersepadu untuk mengurangkan risiko bencana kawasan pesisir pantai negara.

“Pelaksanaan program berkenaan secara berterusan dapat mengelakkan bencana besar seperti yang digambarkan dalam senario kenaikan paras air laut jangka panjang tersebut.

Kajian secara terperinci berhubung kesan perubahan iklim serta kenaikan aras laut melibatkan bandar-bandar di pesisir pantai Malaysia turut dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) selain beberapa langkah pencegahan melalui pelaksanaan projek-projek oleh JPS, menurut kenyataan itu lagi

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KATS anjur mesyuarat sulung NBR

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menganjurkan mesyuarat Meja Bulat Biodiversiti Kebangsaan (NBR) buat pertama kali di Putrajaya, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan menterinya, Dr Xavier Jayakumar dihadiri seramai 16 ahli panel penasihat terdiri daripada ahli akademik, badan-badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

NBR ditubuhkan sebagai platform untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkat dan menambah baik tadbir urus (governance) biodiversiti di negara ini.

Antara butiran pasca mesyuarat semalam adalah NBR bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan dan pihak kepentingan bagi memastikan kelangsungan biodiversiti negara.

Selain itu, panel mesyuarat juga mengenal pasti bidang strategik pengurusan biodiversiti yang perlu diberi penekanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Agenda lain dibincangkan dalam NBR ialah hala tuju Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK).

Xavier berkata, NBR adalah bukti Kerajaan sentiasa peka dan mendengar aspirasi rakyat demi menjamin kesejahteraan generasi masa kini serta masa depan selain komited untuk menyokong usaha negara di peringkat serantau juga antarabangsa.

Categories
NASIONAL

Kementerian sambut baik denda tinggi terhadap pemburu haram

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang memerintahkan dua pemburu haram warga Vietnam dipenjara dua tahun dan didenda RM1.56 juta setiap seorang, semalam.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, jumlah denda terbabit adalah yang tertinggi pernah dikenakan bagi kenayah hidupan liar dalam sejarah negara.

Katanya, keputusan itu dilihat membuka harapan baharu dalam usaha kementeriannya memerangi jenayah terhadap hidupan liar.

“Keputusan ini akan menjadi pemangkin buat KATS untuk terus memperhebatkan usaha bagi memerangi jenayah hidupan liar dan anasir jahat yang membawa kemusnahan terhadap hidupan liar serta sumber alam Malaysia.

“Hukuman kepada dua warga Vietnam terbabit diharap menjadi penghalang kepada mereka yang berniat jahat untuk menganiayai hidupan liar demi keuntungan diri sendiri.

“KATS tidak berkompromi dengan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab ini dan akan memantapkan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menumpaskan sindiket pemerdagangan haram hidupan liar.

“Pemburu haram adalah pengkhianat negera dan tiada tempat untuk mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan di bawah empat seksyen dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memilik jerat dan menyimpan hidupan liar dilindungi sepenuhnya.

Pemburu haram terbabit ditangkap oleh pasukan taktikal khas PERHILITAN iaitu Special Protected Area Response Team (SPARTA) semasa menjalankan Ops Belang pada 15 April 2019 di Taman Negara Terengganu.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti cadangan KATS, pelarasan tarif air

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri akan meneliti semula cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang mencadangkan pelarasan tarif air hampir 50 peratus daripada tarif sedia ada.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menyifatkan pelarasan itu agak tinggi daripada tarif sedia ada yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri masih meneliti semua faktor terbabit bagi memastikan sebarang pelarasan tarif adalah pada kadar yang lebih munasabah supaya pengguna daripada golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan kini diberikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan jutawan selaras matlamat asal untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

“Tujuan Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus terhadap golongan sasar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Dewan Negeri(ADN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail pada sesi penggulungan perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjajaran pemberian air percuma khusus kepada golongan sasar masih lagi di peringkat semakan dan penelitian Kerajaan Negeri dan pelaksanaannya harus dilihat bersama dengan program Inisiatif Peduli Rakyat lain yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, bilangan keluarga yang layak masih belum dapat diputuskan dan Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan mana-mana penerima yang layak,” katanya.