Categories
AGENDA SUKANKINI

Pematuhan SOP penting kelangsungan Liga M

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipandang serius oleh semua pihak, bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setelah kerajaan memberikan kebenaran kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), untuk mengadakan Liga-M menerusi pendekatan kuarantin di kem atau rumah di bawah konsep gelembung sukan, komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan Covid-19 tidak menular, sepanjang saingan liga berlangsung.

Pemain Penang FC Abdul Latiff Suhaimi berkata SOP kali ini sedikit berbeza, namun beliau akan sedaya upaya mengikuti arahan yang ditetapkan, selain menyeru semua pihak ada kesedaran yang sama.

“Ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) jika sayangkan bola sepak kita, selain memastikan kita dapat melangsungkan semua perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia musim ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan MFL.

Sementara itu, pemain pertahanan UiTM FC Afif Asyraf Mohamad Zabawi berasa SOP kali ini menuntut disiplin yang tinggi daripada pemain dan pasti memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu berkenaan.

Namun, Afif Asyraf berkata apa yang mustahak adalah peluang yang telah diberikan oleh MKN untuk semua pasukan turun berlatih bermula semalam, dan beliau selaku pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi.

“Ini jelas satu norma baharu yang perlu dilalui, namun saya rasakan tiada masalah buat pemain-pemain bagi ikuti SOP ini sebaik mungkin. Peluang telah diberikan dan kami akan gunakan masa yang ada untuk pastikan pasukan bersedia hadapi Liga,” katanya.

Pemain Perak Amirul Azhan Aznan pula berpandangan, tempoh persiapan yang singkat bagi hadapi pembukaan Liga-M berbanding sebelum ini bukan satu masalah yang besar, asalkan pemain-pemain mampu ikuti program yang telah direncanakan jurulatih.

Liga musim ini dijadual bermula 5 Mac ini dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, di antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M teruja boleh kembali berlatih mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pasukan yang bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) teruja untuk kembali memulakan sesi latihan berpasukan bermula Isnin depan menjelang sepak mula saingan musim 2021 pada 5 Mac depan.

Majoriti pengendali pasukan bersedia mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) bakal dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dengan ketua jurulatih Universiti Teknologi Mara (UiTM) Frank Bernhardt mengakui lega tidak perlu menunggu lama untuk mempersiapkan pasukan.

Meskipun tidak dapat mengendalikan sesi latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lepas, beliau optimis pemainnya masih berada di tahap terbaik selepas mengikuti program latihan secara dalam talian.

“Kami tidak ada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan iaitu program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan kerana kami mempunyai kemudahan mencukupi untuk tempatkan kesemua pemain,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Pada masa sama, ketua jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto melihat kebenaran kerajaan itu amat penting dalam kelangsungan saingan musim ini sekali gus dapat mengelakkan daripada penganjuran Liga-M ditangguh.

Beliau berkata semua pasukan sudah tentu mempunyai perancangan masing-masing sejak bermula awal tahun ini dan perkembangan itu diharap akan memberi keselesaan kepada jurulatih dalam merangka sistem latihan bersesuaian.

“Apa jua SOP digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), kami sedia ikutinya kerana tidak mahu sebarang masalah membabitkan kesihatan pemain demi memastikan liga kita mampu berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kami betul mahukan Liga Malaysia dapat bermula seperti biasa musim ini dengan semua perlawanan dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC P. Maniam menegaskan pemain serta barisan kejurulatihan pasukannya telah bersedia dari segi mental untuk mengikuti latihan secara kuarantin.

“Sememangnya SOP (gelembung sukan) itu antara kaedah baharu yang akan digunakan namun apa jua langkah ditetapkan, demi memastikan Liga-M kembali bersambung, kami sedia ikuti SOP sepertimana diarahkan kerajaan,” jelas beliau.

Jadual Liga-M musim 2021 dijadual bermula 5 Mac ini.

Semalam, kerajaan membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi semua pasukan bertanding dalam Liga-M, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Latihan berpusat Liga Malaysia, hoki dan takraw dibenar mulai 15 Februari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kerajaan membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai 15 Februari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah perbincangan dan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu ‘kuarantin di kem’ dan ‘kuarantin di rumah’ seperti yang telah ditetapkan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata penelitian akhir sedang dibuat dan keputusan akan diumum dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga membuat keputusan membenarkan operasi sektor industri kreatif bermula esok.

Senarai aktiviti terlibat adalah produksi animasi/muzik, pascaproduksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio dan penggambaran praproduksi.

Turut dibenarkan penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitcom, livestreaming, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Katanya, SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my/

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Malaysia ditunda, sepak mula 5 Mac

SHAH ALAM, 26 JAN: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 4 Februari.

Ketua pegawai eksekutif berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan semalam.

Menurutnya, MFL bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti tatacara operasi piawai (SOP) latihan yang lebih ketat termasuk di kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia berjalan lebih efektif, selamat serta menghindari segala prospek pandemik Covid-19.

“Selain permintaan rakan kongsi liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama.

“MFL bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan bebas daripada sebarang gelaja Covid-19,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan hanya Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran diteruskan musim ini sementara Piala FA tiada dalam perancangan.

Mengikut perancangan awal, Liga Malaysia bakal membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari ini.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL berhak tentukan format pertandingan Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhak menentukan mekanisme sesuatu pertandingan termasuk mengekalkan format Liga Super dan Liga Premier.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata badan induk itu tidak menghalang sekiranya MFL, selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), ingin mengekalkan format sedia ada termasuk menyingkirkan dua pasukan tercorot Liga Super ke Liga Premier.

MFL mengambil keputusan mengehadkan perlawanan Liga Super dan Liga Premier daripada 22 perlawanan kepada 11 perlawanan sahaja pada musim ini, susulan penularan pandemik Covid-19.

“Bagi AFC, kami akan menghormati jika keputusan itu diambil oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL, selain perkara itu ada dibincangkan bersama oleh semua pihak yang berkepentingan yang mewakili semua pasukan yang bertanding,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

“Dalam situasi penularan Covid-19 masih berleluasa, mungkin banyak pertimbangan perlu diperhalusi termasuk soal promosi serta penurunan dan bagi AFC, asalkan sesuatu pertandingan itu masih berjalan pada musim ini, kami boleh menerima pendekatan yang dipilih, asalkan ia bukan bersifat di luar semangat kesukanan dalam sesuatu pertandingan,” tegas Windsor.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa penganjur Liga-M itu telah menerima cadangan daripada enam pasukan yang memohon supaya tiada proses penyingkiran daripada Liga Super ke Liga Premier pada musim hadapan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh terdekat untuk pertimbangan sewajarnya.

Ab Ghani sebelum ini mengesahkan format Liga-M 2020 kekal, dengan dua pasukan terbawah Liga Super 2020 tersingkir ke Liga Premier 2021, manakala dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, naik ke Liga Super pada musim depan.

Pasukan Felda United dan Polis Diraja Malaysia tersingkir ke saingan Liga Premier pada musim depan setelah menduduki tangga ke-11 dan ke-12, manakala pasukan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang menduduki dua tangga teratas Liga Premier musim ini, layak ke Liga Super 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

KBS puas hati patuh SOP Covid-19 aksi Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding sepanjang aksi Liga Malaysia (Liga-M) disambung semula, bermula hujung bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan demikian selepas pihaknya mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga-M, selain beliau sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras membabitkan aksi Liga Super antara Kedah dengan Sabah, malam tadi.

“Alhamdulillah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang ditetapkan…mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dengan Sabah. Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan lain dan semuanya berjalan lancar.

“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, SOP ketika pendaftaran masuk sehingga ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik. Saya berharap ia akan berterusan kerana jika terus positif seperti ini, kita akan (seterusnya) dapat ke Fasa Lima dan Enam,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Liga-M kembali bersambung bermula 26 Ogos lepas sejak ditangguhkan pada 16 Mac akibat penularan pandemik Covid-19, dan kini berada di Fasa Empat iaitu kerajaan membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton.

Reezal Merican berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga-M sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih ke fasa seterusnya yang membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.

“Tapi saya tidak mahu letak harapan lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Sebanyak 48 perlawanan Liga Super dan Liga Premier telah berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat, setakat ini.

Aksi Liga Super dan Liga Premier kini berbaki tiga perlawanan bagi setiap pasukan sebelum saingan Piala Malaysia bermula pada 17 Oktober ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sistem Kawalan Ekonomi mula dilaksana dalam Liga M musim ini

SHAH ALAM, 16 JAN: Sistem Kawalan Ekonomi (ECP) akan mula dilaksana secara berperingkat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, kata Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu disifatkan sebagai langkah tepat untuk sesebuah pasukan menguruskan kewangan masing-masing.

“Kita telah memaklumkan kepada semua pasukan (mengenai ECP) melalui seminar atau surat yang mana sistem itu akan dilaksanakan bermula tahun ini secara berperingkat sebelum melaksanakan secara penuh tahun hadapan.

“Namun, kita juga perlu memberitahu semua kelab bahawa ECP ini adalah baik terutamanya melibatkan aspek perbelanjaan pasukan. Saya lihat ia (pemahaman mengenai ECP) bermula dengan baik apabila pasukan telah mula mengemukakan bajet masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Liga-M musim 2020, di sini semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Bagaimanapun kata Hamidin, keberkesanan sistem ECP itu akan dapat dilihat selepas dua atau tiga tahun ia dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak bercadang untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga-M musim ini.

“Dalam keadaan sekarang, saya rasa tidak mungkin kami akan menggunakan teknologi VAR kerana antara faktornya berkaitan perbelanjaan. Namun, apabila kami sampai pada tahap berbeza, mungkin kami akan mempertimbangkan penggunaan teknologi itu,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, sebanyak 24 pasukan Liga Super dan Liga Premier diumumkan bakal berentap merebut kejuaraan perlawanan bola sepak terunggul negara sebaik saingan Liga-M 2020 dilancarkan hari ini.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan bermula pada 28 Februari ini dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di antara pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

EVC nilai pakej penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia

SHAH ALAM, 5 SEPT: Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) mengumumkan proses penilaian tawaran dan pakej pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia musim depan lengkap dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid berkata, sejak pelantikan EVC sebagai rakan kongsi MFL Julai lalu, kedua-dua pihak menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugas diberikan.

Katanya, kedua-dua pihak juga melaksanakan pelbagai inisiatif secara proaktif dalam usaha memenuhi tarikh akhir yang diberikan.

“Bagaimanapun, pengumuman berhubung tawaran dan pakej penyiaran Liga Malaysia berkenaan hanya akan didedahkan kepada umum selepas kertas kerja itu dibentangkan terlebih dahulu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Ia mengambil sedikit masa memandangkan beberapa Ahli Lembaga Pengarah MFL kini berada di Jakarta untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya dalam aksi pusingan dua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Nizamuddin berkata, MFL dan ECV akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan tawaran serta pakej pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia sejurus kertas kerja terbabit dibentangkan.

“MFL dan EVC harus mengambil pertimbangan dan saranan daripada semua pemegang taruh iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

“Apa yang pasti, projek mega ini turut membabitkan syarikat korporat dan pertubuhan di dalam serta luar negara, malahan EVC sudah memulakan komunikasi dengan pelbagai pihak termasuk firma modal teroka,” katanya.

Penstrukturan semula ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

“Ini juga membolehkan penyokong memainkan peranan membantu pasukan apabila bayaran langganan siaran langsung perlawanan disalurkan terus kepada setiap pasukan,” katanya.

Categories
NASIONAL

MFL umum EVC rakan kongsi hak penyiaran Liga M

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUL: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, penstrukturan semula hak penyiaran adalah salah satu anjakan paradigma yang mampu menjadi perintis kepada industri penyiaran serta mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Inilah cetusan idea Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting menjana pendapatan pasukan. Ini kerana DYAM Tunku Ismail menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia.

“Kini, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga Malaysia sebaliknya MFL juga memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC dalam memastikan liputan meluas bola sepak terus kepada penyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Group of Companies, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, penstrukturan semula Liga Malaysia menyaksikan hak penyiaran secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Kevin berkata, berbeza dengan sebelum ini, hak penyiaran Liga Malaysia dipegang oleh syarikat-syarikat korporat dan stesen televisyen tempatan.

“Bermula musim hadapan, MFL tidak lagi bergantung kepada syarikat penyiar bagi mendapatkan dana pembayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan bertanding.

“Sebaliknya, penyokong bakal memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan dengan melanggan aplikasi yang bakal diperkenalkan oleh EVC dalam masa terdekat,” katanya.

Menerusi landasan yang disediakan itu, penyokong dapat menonton siaran langsung perlawanan Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Challenge Cup.

Mengikut perancangan, MFL ingin menjemput persatuan sukan-sukan lain untuk turut bersama dalam landasan yang disediakan bagi menjana pendapatan hak penyiaran mereka.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

MFL bawa perubahan positif Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Pelbagai perubahan positif dapat dilihat dalam saingan Liga Malaysia sejak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilantik sebagai pentadbir liga bola sepak utama di negara ini sejak empat tahun lepas.

Bekas ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, antara perubahan ketara adalah kejayaan pasukan bertanding meraih hak penyiaran sebagaimana yang diperjuangkan tokoh bola sepak negara yang juga merupakan bekas pengurus pasukan Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

“Dalam kebanyakan organisasi di dunia, (perbandingan) kebaikan dan kelemahan adalah satu perkara tidak dapat dielakkan. Ia adalah lumrah semula jadi apabila ada seseorang cuba memberikan perbandingan.

“Namun jika ada seseorang mengatakan tiada langsung perubahan bagus kepada Liga Malaysia selepas MFL mengambil alih, saya memberikan nada sebaliknya kerana saya melihat banyak kebaikan yang telah berlaku,” jelas Mohd Azraai yang dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr. Zulakbal Abd. Karim baru-baru ini yang meragui kemampuan MFL menguruskan Liga Malaysia dalam tempoh empat tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Azraai, yang berpengalaman luas mengendalikan beberapa pasukan tempatan, berharap agar semua pihak memberi kerjasama erat kepada MFL dalam usaha menjadikan Liga Malaysia lebih dikenali dan mendapat nama di pentas antarabangsa.

“Masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Cuma nasihat saya MFL harus lebih tegas dan konsisten dalam setiap kali melakukan keputusan atau sebagainya.

“Ini kerana MFL sebagai pentadbir liga bola sepak negara harus memiliki pendirian dan mereka tidak perlu takut kerana matlamat MFL mahu memberikan kualiti lagi kepada Liga Malaysia,” jelas Mohd Azraai.

— BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

The Red Ants sasar kelompok lima terbaik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC enggan menoleh ke belakang apabila bertekad untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam kancah Liga Super musim ini sekali gus mengulangi pencapaian hebat musim lalu.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, skuad digelar The Red Ants itu juga dicabar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan pada musim ini.

Katanya, adunan pemain lama dan baharu yang dibawa masuk diyakini mampu mengekalkan momentum sedia ada seterusnya memberi cabaran sengit kepada pasukan gergasi Liga Malaysia lain.

“Pasukan ini melakukan perancangan lebih awal dengan membawa masuk hampir 60 peratus pemain muda yang rata-rata berumur lingkungan 26 tahun seperti Ariff Farhan Abu Bakar, Syafiq Shaharudin, Fandi Othman dan Tommy Mawat.

“Pemain berpengalaman yang menyertai pasukan pula bagi membimbing pemain muda adalah Shahrom Kalam dan R Surendran malahan turut membawa kembali pemain import musim 2015-2016 iaitu Gabriel Guerra selain Kpah Sean Sherman (Liberia) dan Chan Vatanaka (Cambodia).

“Saya lihat PKNS FC juga membuat persiapan pra musim dengan rapi sejak Disember tahun lalu dan mengadakan beberapa siri perlawanan. Mereka turut ke selatan tanah air untuk bertemu satu pasukan di Johor serta dua pasukan di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Baharu PKNS FC 2019 di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid dan Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal.

Sementara itu, K Rajagobal tidak mahu anak buahnya menghadapi tekanan meskipun pihak pengurusan meletakkan sasaran tinggi sekurang-kurangnya merangkul satu trofi musim ini.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan perlu diletakkan kepada pemain muda yang boleh memberi sepenuh komitmen untuk menerima tunjuk ajar daripada pemain lebih berpengalaman.

“Kita nampak tanda positif ditunjukkan antara pemain muda dan berpengalaman, tetapi kita mahu lihat perlawanan demi perlawanan apabila liga bermula kerana dari situ kita boleh buat kesimpulan ke mana perancangan dan haluan seterusnya buat pasukan.

“Paling penting, kita mahu kekalkan mentaliti pemain untuk menempuh setiap perlawanan itu secara positif. Kalau fikir positif tidak mustahil pasukan kita boleh jadi kompetitif untuk musim 2019,” katanya.

Detik terhebat PKNS FC sepanjang tahun lalu apabila berjaya menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga selain layak ke separuh akhir Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan Juara Piala Sultan Selangor.

Pasukan itu akan membuka tirai Liga Super bertemu Naib Juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 1 Februari ini.

Categories
SUKANKINI

Tirai Liga Malaysia 2018 dibuka esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 FEB: Liga Malaysia musim 2018 membuka tirai minggu ini dengan enam perlawanan dijadualkan berlangsung pada 9 malam, esok.

Empat perlawanan berlangsung pada 3 Februari dengan Juara Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Juara Piala FA, Kedah bertemu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos bagi perebutan trofi pertama musim ini, Piala Sumbangsih.

Dua pasukan beraksi di Liga Perdana musim lalu, PKNP FC dan Negeri Sembilan bertemu di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Terengganu FC pula dijadual menerima kunjungan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sementara Melaka akan bertemu Kelantan di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua aksi dijadualkan berlangsung pada Ahad, 4 Februari melibatkan pertembungan Pahang dan Perak di Stadium Darul Makmur, manakala aksi dua pasukan dari Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.