Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Zon Kenanga, Mawar tamat tengah malam ini, zon Melor sambung

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di dua zon di Aman Jaya, Kedah iaitu zon Kenanga dan zon Mawar akan ditamatkan berkuat kuasa tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung bermula 14 hingga 27 September.

Keputusan menamatkan PKPD secara pentadbiran itu diambil selepas saringan kali kedua pada 9 September lalu menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan di zon Kenanga, manakala hanya satu kes positif direkodkan di zon Mawar.

“… kes positif direkodkan di zon Mawar telah pun dimasukkan ke pusat kuarantin yang ditetapkan. Bagaimanapun, PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung ekoran 12 kes positif Covid-19 pada saringan kali kedua.

“PKPD secara Pentadbiran di zon Melor ini akan melibatkan 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk. Semua penduduk yang terlibat diminta untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan PKPD secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang melibatkan tiga zon iaitu zon Kenanga, zon Mawar dan zon Melor dari 28 Ogos sehingga hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pertumbuhan KDNK suku kedua dijangka susut ketara – Kenanga

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka susut secara ketara pada suku kedua 2020 yang berkemungkinan besar berlanjutan sehingga separuh kedua tahun ini susulan impak penularan Covid-19.

Bagaimana pun, Kenanga Research (Kenanga), cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata pertumbuhan itu akan pulih secara beransur-ansur pada suku keempat 2020, didorong oleh rangsangan dasar fiskal dan monetari.

“Penularan Covid-19 itu dijangka memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2020 dan mungkin berterusan sehingga akhir tahun akibat pelaksanaan sekatan pergerakan dan langkah penjarakan sosial bagi membendung penularannya.

“Ini sebaliknya akan terus menjejaskan rantaian bekalan dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Kenanga, sektor perkhidmatan khususnya yang berkaitan industri pelancongan dan pengangkutan akan terus terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan di peringkat global.

Dalam pada itu, ia menyifatkan industri pembuatan khusus industri berteraskan eksport perlu terus berdepan gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan akibat sekatan pergerakan dan permintaan luaran yang rendah.

“Pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang meletus semula selepas seorang senator AS mencadangkan rang undang-undang membenarkan Presiden Donald Trump mengenakan sekatan terhadap China akibat Covid-19, akan menjejaskan lagi perdagangan global dan pasaran komoditi dalam masa terdekat.

“Selain itu, syarikat gergasi perkapalan Maersk turut mengunjurkan sebarang kemerosotan permintaan perkapalan sebanyak 20-25 peratus merupakan angka terbesar pernah dicatatkan.

“Ini hanya mengesahkan lagi jangkaan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai kemerosotan perdagangan global antara 13-32 peratus,” katanya.

Kenanga juga menyifatkan pembukaan semula ekonomi yang terlalu awal dan mengakibatkan kluster jangkitan baharu di negara utama seperti Korea Selatan, China dan Jerman, akan turut memberi kesan terhadap pasaran kewangan.

Malah, ini akan disusuli dengan langkah sekatan pergerakan lebih lama dan ketat yang akan hanya mengheret ekonomi tumbuh dalam aliran lekuk ‘U’.

“Dalam persekitaran sedemikian, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan suku kedua 2020 pada kadar lebih rendah kepada -7.5 peratus berbanding jangkaan awal -4.9 peratus.

“Sehubungan itu, jangkaan awal kami bagi pertumbuhan KDNK 2020 turut disemak semula kepada -2.9 peratus berbanding -1.9 peratus sebelum ini,” katanya.

-BERNAMA