Categories
AGENDA NASIONAL

Penjara Reman Pulau Pinang laksana PKPD pentadbiran

PUTRAJAYA, 12 OKT: Penjara Reman Pulau Pinang menguatkuasakan langkah pencegahan Covid-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan ialah memperketatkan pergerakan fizikal masuk dan keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang termasuk pergerakan bersyarat bagi anggota yang bekerja.

“Perjumpaan dan lawatan keluarga, peguam kedutaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak luar adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Menurut jabatan itu, aktiviti seperti kursus, komuniti, sukan, riadah dan majlis keraian di dalam kawasan penjara dan kuarters adalah dilarang sama sekali.

Selain itu, katanya sekatan penuh akan dilaksanakan ke atas blok penempatan banduan yang positif Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian mengenai Covid-19 berkata Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan keseluruhan 19 kes serta satu kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD pentadbiran Amanjaya tamat, tiada lagi kes Covid-19

SHAH ALAM, 27 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Zon Melor, Amanjaya, Kedah tamat hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penamatan dibuat selepas tiada kes baharu positif Covid-19 direkodkan untuk tempoh 13 hari sejak 14 September lalu.

“Sebanyak 4,931 sampel diambil di Zon Melor dan bilangan kes positif Covid-19 kekal 13 kes seperti yang direkodkan pada 13 September yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya membabitkan Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melor yang bermula dari 28 Ogos sehingga 13 September.

Bagaimanapun pelaksanaan disambung di Zon Melor bermula 14 September hingga 27 September susulan 12 kes positif Covid-19 dikesan pada saringan kali kedua. Ia membabitkan 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Zon Kenanga, Mawar tamat tengah malam ini, zon Melor sambung

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di dua zon di Aman Jaya, Kedah iaitu zon Kenanga dan zon Mawar akan ditamatkan berkuat kuasa tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung bermula 14 hingga 27 September.

Keputusan menamatkan PKPD secara pentadbiran itu diambil selepas saringan kali kedua pada 9 September lalu menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan di zon Kenanga, manakala hanya satu kes positif direkodkan di zon Mawar.

“… kes positif direkodkan di zon Mawar telah pun dimasukkan ke pusat kuarantin yang ditetapkan. Bagaimanapun, PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung ekoran 12 kes positif Covid-19 pada saringan kali kedua.

“PKPD secara Pentadbiran di zon Melor ini akan melibatkan 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk. Semua penduduk yang terlibat diminta untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan PKPD secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang melibatkan tiga zon iaitu zon Kenanga, zon Mawar dan zon Melor dari 28 Ogos sehingga hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD pentadbiran di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini – menteri

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan 22,360 isi rumah (265 rumah) di tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata penduduk di zon itu tidak dibenarkan keluar dari zon tersebut manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan itu.

“Individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran, dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada para majikan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pekerja terlibat yang tidak hadir bekerja memandangkan ia adalah perintah oleh kerajaan, dan menyarankan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

Beliau berkata tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk sekolah, taska dan pusat tuisyen turut diarah tutup sepanjang tempoh PKPD pentadbiran.

Ismail Sabri berkata hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

“Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, serta kedai menjual ubat-ubatan juga boleh beroperasi sehingga 8 malam sahaja,” katanya menambah klinik dan hospital pula dibenar beroperasi 24 jam.

Operasi pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan dan hanya pasar harian boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala bagi stesen minyak dan kedai runcit pula, waktu operasi ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam.

Menurut Ismail Sabri, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.

Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka yang terlibat dibenarkan keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Sivagangga: Empat mukim dikenakan PKPD pentadbiran

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kira-kira 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (Temco) bermula hari ini sehingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan pertambahan 11 kes baharu kluster Sivagangga.

“Pelaksanaan PKPD Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar,” katanya hari ini.

Menurutnya, mukim terbabit adalah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah,Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Ismail menjelaskan petugas Kementerian Kesihatan akan membuat saringan Covid-19 terhadap semua penduduk di kawasan terbabit.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat. Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid tersebut,” katanya.