Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding angka pada bulan yang sama 2020 dan ia merupakan angka tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh sejak Julai 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagaimanapun indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis bagi mengulas laporan IPP Malaysia, Mac 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut jabatan itu, IPP bagi suku pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan namun sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus, jelasnya.

DOSM melaporkan subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (14.1 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (13.8 peratus).

Ia menambah, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia, tambah jabatan itu.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh yang sama 2020 disebabkan oleh penurunan indeks minyak mentah dan kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli berkembang 4.3 peratus, menurut DOSM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

IMF ramal ekonomi Malaysia pulih namun ada risiko turun

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ekonomi Malaysia dijangka pulih untuk tempoh berbaki 2021 dengan inflasi dan baki akaun semasa kembali normal dalam jangka sederhana.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Negara yang terkini berkata, pertumbuhan negara diunjurkan meningkat semula kepada 6.5 peratus pada 2021, dipacu oleh pemulihan yang kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan dan impak pelaksanaan pemvaksinan pada Februari.

“Pemulihan ini tidak akan sama dalam semua sektor dengan kelembapan yang berterusan dalam industri sentuhan tinggi. Dari sudut permintaan, perbelanjaan kerajaan dan pemulihan permintaan domestik dan luaran akan menguatkan pertumbuhan,” kata IMF.

Lebihan akaun semasa akan merosot kepada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berikutan permintaan membabitkan peralatan berkaitan pandemik yang berkurangan dan peningkatan permintaan domestik menaikkan import.

Katanya, defisit imbangan perjalanan akan berterusan memandangkan sekatan perjalanan antarabangsa yang berlanjutan pada separuh pertama 2021.

Inflasi itu akan pulih kepada 2.0 peratus apabila rebat tarif elektrik berakhir dan harga tenaga meningkat.

“Pertumbuhan jangka sederhana akan tertumpu kepada 5.0 peratus, inflasi stabil pada 2.0 peratus dan lebihan akaun semasa kembali kepada penurunan seperti pra-pandemik,” katanya.

Sementara itu, IMF berkata pandemik yang semakin buruk atau wujudnya risiko-risiko lain berupaya membantutkan pemulihan ini.

Gelombang pandemik pada masa ini boleh berpanjangan atau diikuti gelombang lain yang lebih buruk, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini akan meningkatkan lagi kekangan dari segi penawaran aktiviti ekonomi dan seterusnya menjejaskan permintaan domestik. Dalam kes ini, pemulihan pada 2021 akan menjadi lebih lemah.

“Dari segi penurunan juga, ekonomi Malaysia yang terbuka adalah mudah terjejas terhadap tindakan perdagangan yang meningkat dan pertumbuhan rakan dagang yang lebih lemah daripada jangkaan,” kata IMF.

Di peringkat domestik, risiko fiskal daripada liabiliti luar jangka boleh berlaku manakala ketidaktentuan dasar domestik berupaya menjejaskan keyakinan dan pelaburan perniagaan.

Penyerahan vaksin Covid-19 yang lebih cepat daripada jangkaan menunjukkan risiko penurunan, katanya.

Kedudukan luaran Malaysia pada 2020 dinilai menjadi lebih kukuh berbanding asas dan dasar yang diinginkan, kata IMF, dan menurutnya penilaian itu akan mengambil kira ciri sementara kejutan melibatkan pandemik Covid-19.

Walaupun lebihan akaun semasa membantu memberi keyakinan kepada pelabur, ia bagaimanapun mewakili jurang KDNK sebanyak 3.6 peratus yang tidak boleh dijelaskan sepenuhnya oleh asas dan dasar yang diinginkan Malaysia dan sebahagiannya dipacu perbelanjaan lebih rendah ke atas jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

Pada masa depan, IMF berkata dasar yang akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan terus menggalakkan pelaburan swasta, boleh membantu memudahkan imbangan semula luaran.

Mengenai hutang luaran, ia berkata hutang luaran Malaysia kekal tinggi namun dapat diuruskan.

Hutang luaran meningkat kepada 67.5 peratus daripada KDNK menjelang akhir September 2020 (63.4 peratus pada 2019), sebahagiannya disebabkan pemegangan instrumen hutang dalam denominasi ringgit yang tinggi oleh golongan bukan pemastautin.

Bahagian hutang luar negara dalam denominasi mata wang asing berjumlah kira-kira dua pertiga daripada jumlah keseluruhan.

“Rizab rasmi kasar adalah mencukupi (US$107.6 bilion pada akhir Disember 2020), pada 126 peratus daripada metrik Menaksir Kecukupan Rizab bagi rejim kadar pertukaran apungan.

“Apabila diselaraskan dengan kedudukan bersih hadapan, rizab itu adalah pada 117 peratus metrik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pertumbuhan KDNK suku kedua dijangka susut ketara – Kenanga

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka susut secara ketara pada suku kedua 2020 yang berkemungkinan besar berlanjutan sehingga separuh kedua tahun ini susulan impak penularan Covid-19.

Bagaimana pun, Kenanga Research (Kenanga), cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata pertumbuhan itu akan pulih secara beransur-ansur pada suku keempat 2020, didorong oleh rangsangan dasar fiskal dan monetari.

“Penularan Covid-19 itu dijangka memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2020 dan mungkin berterusan sehingga akhir tahun akibat pelaksanaan sekatan pergerakan dan langkah penjarakan sosial bagi membendung penularannya.

“Ini sebaliknya akan terus menjejaskan rantaian bekalan dan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Kenanga, sektor perkhidmatan khususnya yang berkaitan industri pelancongan dan pengangkutan akan terus terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan di peringkat global.

Dalam pada itu, ia menyifatkan industri pembuatan khusus industri berteraskan eksport perlu terus berdepan gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan akibat sekatan pergerakan dan permintaan luaran yang rendah.

“Pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang meletus semula selepas seorang senator AS mencadangkan rang undang-undang membenarkan Presiden Donald Trump mengenakan sekatan terhadap China akibat Covid-19, akan menjejaskan lagi perdagangan global dan pasaran komoditi dalam masa terdekat.

“Selain itu, syarikat gergasi perkapalan Maersk turut mengunjurkan sebarang kemerosotan permintaan perkapalan sebanyak 20-25 peratus merupakan angka terbesar pernah dicatatkan.

“Ini hanya mengesahkan lagi jangkaan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai kemerosotan perdagangan global antara 13-32 peratus,” katanya.

Kenanga juga menyifatkan pembukaan semula ekonomi yang terlalu awal dan mengakibatkan kluster jangkitan baharu di negara utama seperti Korea Selatan, China dan Jerman, akan turut memberi kesan terhadap pasaran kewangan.

Malah, ini akan disusuli dengan langkah sekatan pergerakan lebih lama dan ketat yang akan hanya mengheret ekonomi tumbuh dalam aliran lekuk ‘U’.

“Dalam persekitaran sedemikian, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan suku kedua 2020 pada kadar lebih rendah kepada -7.5 peratus berbanding jangkaan awal -4.9 peratus.

“Sehubungan itu, jangkaan awal kami bagi pertumbuhan KDNK 2020 turut disemak semula kepada -2.9 peratus berbanding -1.9 peratus sebelum ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

KDNK sebenar Malaysia diunjur -3.5 peratus tahun ini – Affin Hwang Capital

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjurkan pada -3.5 peratus tahun ini, menurut Affin Hwang Capital.

Menurut bank pelaburan itu, pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia dijangka dalam lingkungan negatif bagi suku pertama dan kedua 2020 walaupun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan.

Ini berikutan permintaan domestik mengalami penguncupan mendadak manakala eksport pula lemah ekoran ketidakpastian akibat wabak Covid-19.

“Agregat sebenar permintaan domestik dijangka susut kepada 4.0 peratus bagi 2020 secara keseluruhan, berbanding 4.3 peratus pada 2019,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berdasarkan kesan negatif ke atas permintaan domestik serta gangguan rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan dan luaran Malaysia, Affin Hwang menetapkan semula unjuran pertumbuhan KDNK sebenar kepada -3.5 peratus bagi 2020, daripada jangkaan awal pada 3.3 peratus.

“Bagi permintaan domestik, dalam jangka pendek, kami yakin pertumbuhan penggunaan swasta susut ketara, terutama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April, 2020.

“Penguatkuasaan PKP, contoh kesannya adalah pembelian alat-alat elektronik terkini oleh pengguna domestik (seperti telefon pintar dan tablet) serta semua barangan isi rumah lain, barang elektrik dan pengguna, mungkin lebih rendah dan terjejas,” menurutnya.

AffinHwang berkata bagi jangka pendek hingga sederhana, pertumbuhan penggunaan swasta tidak menjadi normal memandangkan isi rumah dijangka terjejas ekoran kemungkinan kejutan sementara ke atas pendapatan mereka dan turunnya kuasa beli.

Bank pelaburan itu berkata isi rumah juga dijangka mengambil langkah berhati-hati dalam perbelanjaan disebabkan situasi pekerjaan tidak menentu serta terkesan dengan pertumbuhan lemah pendapatan boleh guna sebenar yang dijangkakan.

“Pendapatan mereka yang berada di kawasan luar bandar, dan terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti perladangan, mungkin terjejas jika penurunan harga harga komoditi berterusan, oleh itu sumbangan mereka kepada perbelanjaan pengguna juga turut lebih rendah,” katanya.

-BERNAMA