Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Mentari Court tamat malam ini, sehari lebih awal

PETALING JAYA, 13 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mentari Court, PJS 8 dekat sini tamat secara rasmi malam ini.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata keputusan penamatan awal sehari dibuat selepas semua proses kesihatan termasuk saringan dan proses pemberian vaksin selesai dalam tempoh 12 hari.

“Kita mohon penamatan ini kepada Majlis Keselamatan Negara. Selepas 12 hari seramai 9,504 penduduk disaring dengan 419 disahkan positif,” katanya pada sidang media.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di kawasan berkenaan.

Sejak 1 Julai lalu lebih 17,000 penduduk di situ dikenakan PKPD selepas lebih 500 kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh dua bulan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Zon Kenanga, Mawar tamat tengah malam ini, zon Melor sambung

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di dua zon di Aman Jaya, Kedah iaitu zon Kenanga dan zon Mawar akan ditamatkan berkuat kuasa tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung bermula 14 hingga 27 September.

Keputusan menamatkan PKPD secara pentadbiran itu diambil selepas saringan kali kedua pada 9 September lalu menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan di zon Kenanga, manakala hanya satu kes positif direkodkan di zon Mawar.

“… kes positif direkodkan di zon Mawar telah pun dimasukkan ke pusat kuarantin yang ditetapkan. Bagaimanapun, PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung ekoran 12 kes positif Covid-19 pada saringan kali kedua.

“PKPD secara Pentadbiran di zon Melor ini akan melibatkan 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk. Semua penduduk yang terlibat diminta untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan PKPD secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang melibatkan tiga zon iaitu zon Kenanga, zon Mawar dan zon Melor dari 28 Ogos sehingga hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi kluster tamat, 28 hari tiada kes

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Dua lagi kluster Covid-19 iaitu, Kluster warga emas Kuala Selangor dan Kluster Labu Lanjut, Sepang ditamatkan tempoh pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas 28 hari tiada rekod kes positif baharu dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini berkata dengan penamatan dua kluster berkenaan, jumlah kluster tamat setakat ini ialah sebanyak 62 kluster.

Berdasarkan infografik di catatan sama, Kluster warga emas Kuala Selangor mencatatkan lapan kes positif Covid-19 melibatkan warganegara tanpa sebarang kematian sepanjang tempoh pemantauan.

Kluster Labu Lanjut pula mencatatkan lima kes positif melibatkan warganegara tanpa sebarang kematian dilaporkan.

Kluster warga emas Kuala Selangor mula dilaporkan pada 15 Jun selepas tiga kes positif dikesan di sebuah pusat jagaan, manakala Kluster Labu Lanjut, Sepang dilapor melibatkan lima kes positif pada 20 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP secara pentadbiran dua taman di Kuala Langat tamat

KUALA LANGAT, 16 JUN: Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif Covid-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 13 kluster diisytiharkan tamat – KKM

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Jumlah keseluruhan kluster Covid-19 yang tamat ialah 13 tempat, selepas dua kluster diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 Mei lepas.

Dalam satu hantaran laman Facebook rasmi KKM, kementerian itu memperincikan kesemua kluster berkenaan ialah Kluster Seksyen 6 Bandar Baru Bangi, Kluster Warga Emas (pusat jagaan warga emas), Kluster Bandar Baru Bangi (Majlis Perkahwinan), Kluster Selayang (Pasar Harian), Kluster Rembau, Kluster Tabligh Pakistan, Kluster Petugas Kesihatan Sungai Buloh, Kluster Pekan, Kluster Kilang Pasir Gudang, Kluster BBIM, Kluster Tabligh Makassar Sabah, Kluster Pengerang dan Kluster Istana Negara.

KKM turut menjelaskan, ‘Kluster Diisytiharkan Tamat’ bermaksud tiada lagi kes baharu dicatatkan dalam sesuatu kluster berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan.

“Kriteria utama untuk menamatkan sesuatu kluster adalah tiada kes baharu selepas dua kali tempoh inkubasi (14hari/satu inkubasi) iaitu 28 hari selepas tarikh gejala bagi kes yang terakhir atau tarikh positif Covid-19 jika kes terakhir tiada gejala.

“Contohnya, kluster A, tarikh positif kes terakhir (tiada gejala) dalam kluster itu ialah 1/4/2020, ini bermaksud jangkaan tamat bagi kluster A ialah 29/4/2020. Dalam hal ini, kita dapat lihat bahawa tempoh antara 1/4/2020–29/4/2020 adalah bersamaan 28 hari,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.

KPM dalam satu kenyataan berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan dilaksanakan bagi semester tersebut.

“Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II,” menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA