Categories
SELANGOR

Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

SHAH ALAM, 10 NOV: Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka adalah Low Chee Boon, 41, beralamat terakhir di nombor 87, Jalan 14, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang dan Lim Chee Hau, 39, beralamat terakhir di nombor 586, Lorong 23, Jenjarom.

“Turut dikesan adalah Tan Kok Pin, 34, beralamat terakhir di nombor 8, Jalan Bacang 7, Sri Jarom, Jenjarom dan Yap Chin Hock, 58, beralamat terakhir di nombor 40, Jalan Melati 21, Taman Melati, Jenjarom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata setakat ini pihaknya telah menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun itu.

Beliau berkata kesemuanya sedang direman hingga 13 Nov ini dan pihaknya sedang mengesan saki-baki suspek lain.

“Sehingga kini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai punca dan motif mangsa dibunuh,” katanya.

Beliau sehubungan itu memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Mohamad Syahrir Zabidi di talian 012-6650895.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Gaduh di tempat kerja faktor utama kes bunuh sejak 2009

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pertengkaran dan perselisihan faham di tempat kerja dalam kalangan warga asing menjadi motif utama kes bunuh di negara ini sejak 2009 hingga 2019, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada 5,403 kes bunuh yang dicatat sepanjang tempoh itu, 844 kes adalah melibatkan pertengkaran di tempat kerja.

“Sebanyak 484 kes bunuh sepanjang tempoh itu pula berkaitan dengan insiden rompak, samun dan curi. Sebanyak 5,542 mangsa menjadi mangsa bunuh dengan 3,453 mangsa adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya melibatkan warga asing,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti kira-kira 50 peratus motif kes bunuh di negara ini, manakala selebihnya tidak dapat dipastikan antaranya kerana mayat yang sudah reput menyukarkan proses bedah siasat.

Huzir berkata sepanjang tempoh itu, seramai 9,398 individu ditahan kerana terbabit dalam kes pembunuhan.

Sementara itu, beliau berkata jenayah indeks di negara ini, yang dikategorikan mengikut jenayah kekerasan dan harta benda, menunjukkan tren penurunan sejak 11 tahun lepas.

Katanya, sebagai perbandingan jumlah keseluruhan kes jenayah kekerasan pada 2009 adalah 42,365 berbanding 16,902 pada 2019, manakala jenayah harta benda pula, jumlah kes dicatatkan pada 2009 ialah 170,313 berbanding 71,760 pada 2019.

Jenayah kekerasan antaranya membabitkan kes rogol bunuh dan samun manakala jenayah harta benda antaranya melibatkan curi dan ragut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 1,444 premis judi telah dipotong bekalan elektrik di seluruh negara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis jejaki empat warga Sierra Leone susulan kes bunuh

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Seorang lelaki ditahan reman hari ini manakala empat lagi sedang diburu susulan kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang rakan senegara di hadapan sebuah hotel bajet di Bandar Puteri Puchong dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kesemua lelaki berkenaan dan mangsa lelaki berusia 31 tahun adalah warga Sierra Leone.

Kejadian dikatakan berpunca daripada salah faham dan ejek-mengejek.

“Mangsa dipercayai dipukul dengan tangan dan kaki oleh kumpulan itu sehingga mengalami kecederaan dalaman,” katanya dalam kenyataan berhubung kejadian 1 pagi itu.

Perintah reman dikeluarkan sehingga 30 Julai ini terhadap lelaki yang ditahan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ismadi berkata, akibat diserang, mangsa dilaporkan rebah sebelum dikejarkan ke sebuah hospital di Puchong namun disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, tiada kesan darah atau sebarang objek ditemui di lokasi kejadian dan punca sebenar insiden itu masih disiasat. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kes suami isteri mati kebakaran diklasifikasi kes bunuh

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Kes pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Sepang, semalam diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ia berdasarkan laporan awal bedah siasat mangsa wanita mendapati terdapat kesan kecederaan ekoran hentakan benda keras, di kepala.

“Berdasarkan keterangan ini dan beberapa keterangan yang diperoleh di tempat kejadian, kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya kepada BERNAMA.

Bagaimanapun, katanya, laporan bedah siasat terhadap mangsa lelaki belum diperoleh.

Ekoran itu, katanya, polis kini masih dalam proses merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.

Semalam, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, ditemui mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, dekat sini.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali dalam kenyataan semalam dilapor berkata, pihak bomba terpaksa memecahkan jeriji di pintu utama serta pintu rumah itu yang berkunci dari dalam.

“Anggota bomba yang berjaya masuk ke bilik utama menemui seorang lelaki di dalam tandas bilik utama rumah itu, manakala mayat wanita itu ditemui ditemui terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar,” katanya.

Jurucakap bomba sebelum ini berkata, Norwahidah maut di tempat kejadian manakala suaminya yang menerima rawatan daripada anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) juga gagal diselamatkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.13 tengah hari.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suspek kes bunuh penggal kepala kanak-kanak 18 bulan mungkin lemas

SHAH ALAM 31 MEI: Suspek dalam kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, dipercayai lemas selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Klang berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata suspek berbuat demikian selepas dihampiri saksi dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, lapor Bernama.

10402623_823404931003034_396681475706390251_nBeliau berkata polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pada 29 Mei jam 9.00 malam lepas, polis menerima satu panggilan telefon dari orang awam, memberitahu ternampak seorang lelaki, sedang cuba untuk melemaskan seorang kanak-kanak di tepi Sungai Klang berhampiran dengan Station KTM Jalan Tun Sambathan, Kuala Lumpur.

Bertindak dari maklumat tersebut sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian menemui seorang kanak-kanak berusia lebih kurang 2 tahun 6 bulan, di dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian, mengalami cedera parah dibahagian belakang kepala pecah akibat hentakan dan kepalanya terputus dari badan.

Turut ditemui ditempat kejadian pecahan seramic bersama kesan-kesan darah dan sepasang selipar disyaki milik suspek.

Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh yang disiasat di bawah sekyen 302 Kanun Keseksaan.

EZY