Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 rekod 360 kematian, tertinggi sejak pandemik melanda

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Malaysia merekodkan sejumlah 360 kematian akibat Covid-19 hari ini iaitu angka tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata angka baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat virus berbahaya tersebut di negara ini ialah 10,749 orang.

Pecahan kes kematian itu membabitkan 296 warganegara dan 64 bukan warganegara manakala 85 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan atau sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital (BID) yang membabitkan 56 rakyat tempatan dan 29 warga asing.

“Sejumlah 221 kematian (berlaku) di Selangor, 41 di Kuala Lumpur, Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15), Johor (14), Kedah (tujuh) serta masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Pahang sementara masing-masing lima kes di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya serta satu di Kelantan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham melalui ciapan di Twitter memaklumkan sebanyak 18,688 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes kini 1,262,540.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 15,755 melibatkan warganegara dan 2,923 bukan warganegara dengan majoriti iaitu 97.9 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 manakala hanya 2.1 peratus daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Jumlah ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu yang didiagnosis Covid-19. Terdapat kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata hanya 4,460 (23.9 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata kes aktif kini mencecah 225,393 manakala pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 1,095 orang dengan 571 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata 39 kluster baharu dikesan hari ini merangkumi 18 kluster di tempat kerja, 15 kluster komuniti, masing-masing dua bagi kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi serta masing-masing satu bagi kluster keagamaan dan institusi pendidikan tinggi.

Katanya setakat semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia ialah 1.08 manakala negeri yang mencatatkan RT tertinggi ialah Perlis dengan 1.47 diikuti Kelantan (1.25), Sabah (1.18) dan Pulau Pinang (1.18) sementara negeri lain mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan (sifar).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja 13 tahun antara 63 kematian akibat Covid-19

SHAH ALAM, 4 JULAI: Remaja perempuan warga tempatan berusia 13 tahun antara 63 kematian dicatat akibat Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata remaja itu mempunyai latar belakang penyakit epilepsi dan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian hari ini juga membabitkan tiga individu berusia 33 hingga 38 tahun yang berpenyakit kencing manis, saraf dan obesiti.

Selain itu, 33 kematian pula adalah warga emas yang majoritinya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan paru-paru.

Selangor terus mencatat kematian tertinggi iaitu 25 kes diikuti 15 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, tiga masing-masing di Johor dan Kedah, di Pulau Pinang dan Pahang (dua) serta di Sarawak, Terengganu dan Melaka (satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes kematian kembali lepasi tiga angka

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kes kematian akibat Covid-19 kembali mencatat tiga angka iaitu sebanyak 107 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban di negara ini mencecah 5,434 kes.

Kali terakhir Malaysia merekod kes kematian tiga digit ialah pada 29 Jun lalu, juga sebanyak 107 kematian.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut hampir separuh kematian yang dicatat adalah di Selangor dengan 51 kes diikuti Kuala Lumpur (21) dan Negeri Sembilan (11).

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Johor mencatat enam kematian, masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang, Melaka (empat) serta masing-masing (satu) di Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan.

Berdasarkan carta yang dikongsi, lebih 70 kematian mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi dengan membabitkan individu berusia antara 34 hingga 92 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata data terkini nilai kebolehjangkitan (RT) mengikut kes harian seluruh negara pada 2 Julai adalah 1.07.

Katanya, negeri yang mencatatkan RT tertinggi adalah Pahang iaitu 1.27. Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (1.13), Selangor (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.07), Kuala Lumpur (1.03), Kedah (1.03), dan Perak (1.00).

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki 26 tahun antara 81 korban Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 26 JUN: Lelaki berusia 26 tahun yang menghidap obesiti antara 81 kes kematian direkodkan dalam negara akibat Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan jenazah mangsa bukan warga tempatan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan turut memberitahu dua kematian membabitkan individu berusia 30-an.

Mangsa terdiri daripada:

-Perempuan 31 tahun meninggal di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi.

-Lelaki 38 tahun meninggal di Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas dengan penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Sebanyak 30 kes dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (14), Johor (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Sarawak (lima).

Pahang dan Melaka pula masing-masing mencatat tiga kes, Labuan (dua) manakala Pulau Pinang, Kedah serta Terengganu (satu).

Keseluruhannya, sebanyak 4,884 individu maut di seluruh negara ekoran pandemik yang melanda sejak lebih setahun.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: CDC ramal lebih 100,000 maut di AS menjelang Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) meramalkan lebih 100,000 kematian akibat Covid-19 dicatatkan menjelang akhir Mei, lapor agensi berita Anadolu.

“CDC mengesan 12 model berbeza yang meramalkan kemungkinan kematian Covid-19 di AS. Sehingga 11 Mei, semua meramalkan kematian akan meningkat pada minggu berikutnya dan jumlah kumulatif melebihi 100,000 menjelang 1 Jun,” tulis pengarah CDC Dr Robert Redfield di twitternya pada Jumaat.

Institut Kesihatan di Washington University meramalkan 140,000 penduduk AS akan maut pada awal Ogos.

Sehingga Jumaat malam, AS melaporkan lebih 1.4 juta kes dan angka korban melebihi 87,400, menurut Johns Hopkins University.

Sejak virus Covid-19 mula dikesan di Wuhan, China Disember lalu, wabak itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Di seluruh dunia ada lebih 4.5 juta orang dijangkiti dan lebih 300,000 pesakit meninggal dunia manakala 1.6 juta lagi sembuh.

-BERNAMA