Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: CDC ramal lebih 100,000 maut di AS menjelang Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) meramalkan lebih 100,000 kematian akibat Covid-19 dicatatkan menjelang akhir Mei, lapor agensi berita Anadolu.

“CDC mengesan 12 model berbeza yang meramalkan kemungkinan kematian Covid-19 di AS. Sehingga 11 Mei, semua meramalkan kematian akan meningkat pada minggu berikutnya dan jumlah kumulatif melebihi 100,000 menjelang 1 Jun,” tulis pengarah CDC Dr Robert Redfield di twitternya pada Jumaat.

Institut Kesihatan di Washington University meramalkan 140,000 penduduk AS akan maut pada awal Ogos.

Sehingga Jumaat malam, AS melaporkan lebih 1.4 juta kes dan angka korban melebihi 87,400, menurut Johns Hopkins University.

Sejak virus Covid-19 mula dikesan di Wuhan, China Disember lalu, wabak itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Di seluruh dunia ada lebih 4.5 juta orang dijangkiti dan lebih 300,000 pesakit meninggal dunia manakala 1.6 juta lagi sembuh.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02